Elak jangkitan influenza ketika berhari raya

Elak jangkitan influenza ketika berhari raya

KES kematian akibat influenza dianggarkan antara 290,000 hingga 650,000 setahun dengan 99 peratus melibatkan kanak-kanak bawah usia lima tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Meraikan Aidilfitri adalah saat yang dinanti-nantikan untuk berkumpul bersama ahli keluarga dan sanak saudara sekali gus mengeratkan silaturahim.

Namun, kebahagiaan ini boleh terganggu jika aspek kesihatan diabaikan, terutamanya dalam menghadapi risiko penyakit berjangkit seperti influenza.

Influenza merupakan penyakit pernafasan yang serius dan mudah merebak, terutamanya dalam suasana perayaan yang melibatkan perhimpunan ramai.

Justeru, langkah pencegahan seperti pengambilan vaksin influenza sekurang-kurangnya dua minggu sebelum pulang ke kampung boleh membantu melindungi diri dan keluarga daripada jangkitan.

Vaksin ini dapat mencegah komplikasi serius yang boleh mengakibatkan kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), malah dalam kes yang lebih teruk, ia boleh meragut nyawa.

Data global menunjukkan kes kematian akibat influenza dianggarkan antara 290,000 hingga 650,000 setiap tahun dan lebih membimbangkan, 99 peratus daripada kematian yang melibatkan kanak-kanak adalah bawah usia lima tahun. Ini menekankan kepentingan langkah pencegahan, khususnya bagi golongan yang lebih terdedah kepada risiko jangkitan.

Golongan Berisiko Tinggi
Pakar Perunding Pediatrik & Neonatalogi, Dr. Salehuddin Samsudin berkata, kanak-kanak berusia bawah lima tahun dan warga emas adalah golongan yang paling berisiko dijangkiti influenza serta mengalami komplikasi serius.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan agar golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, wanita hamil dan individu yang menghidap penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, asma, kanser dan jantung perlu mengambil vaksin influenza setiap tahun,” katanya.

Di Malaysia, kerajaan telah menumpukan pemberian vaksin kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas serta pesakit yang menghidap penyakit kronik.

Namun, kanak-kanak juga perlu diberikan perhatian dalam menerima vaksin ini kerana sistem imun masih lemah dan lebih mudah dijangkiti.

Pesakit mungkin mengalami sakit sendi, sengal badan, menggigil, muntah-muntah, cirit-birit dan keletihan melampau.

Tambahnya, gejala boleh bertahan antara tiga hingga tujuh hari, tetapi keletihan dan batuk mungkin berlanjutan lebih lama dan jika tidak dirawat, keadaan boleh bertambah teruk dalam tempoh dua hingga tiga hari, malah ada yang memerlukan rawatan di ICU.

Rawatan awal seperti ubat antiviral dapat membantu pemulihan yang lebih cepat.

Namun, sekiranya pesakit mengalami jangkitan sekunder seperti streptococcus atau mycoplasma, komplikasi boleh menjadi lebih teruk.

SALEHUDDIN SAMSUDIN

Cara Merebak

Virus influenza mudah merebak terutama apabila berada dalam khalayak ramai seperti ketika perayaan Aidilfitri dan disebar menerusi udara (ketika individu dijangkiti batuk atau bersin) dan sentuhan (misalnya ketika bersalaman).

Dr. Salehuddin berkata, apabila bersin atau batuk, titisan air liur boleh menjangkiti orang lain dan lebih menyedihkan jika virus ini tersebar kepada warga emas atau individu yang mempunyai penyakit kronik kerana golongan itu berisiko tinggi mengalami komplikasi serius.

Langkah Pencegahan

Selain vaksinasi, beberapa langkah pencegahan lain yang boleh diamalkan ialah memakai pelitup muka, terutamanya jika bergejala.

Seterusnya, mencuci tangan dengan kerap serta menggunakan cecair penyahkuman.
Individu juga disarankan untuk mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul.
Namun, ramai yang tidak menyedari mereka telah dijangkiti kerana tiada gejala jelas pada peringkat awal, justeru langkah pencegahan amat penting bagi mengurangkan risiko penularan.

Kepentingan Vaksin

Dr. Salehuddin berkata, vaksin influenza adalah perlindungan terbaik dan hanya perlu diambil sekali setahun manakala kanak-kanak bawah sembilan tahun yang belum pernah divaksin memerlukan dua dos.

Katanya, virus influenza sentiasa berubah dan ia perlu dikemas kini setiap tahun bagi melindungi daripada strain virus terkini.

“Stok vaksin influenza terkini sepatutnya sudah tersedia di kebanyakan klinik dan hospital swasta, namun orang ramai disarankan menghubungi klinik terlebih dahulu bagi mengesahkan ketersediaan stok,” ujarnya.

Kesan sampingan vaksin adalah ringan dan jarang berlaku seperti sengal di tempat suntikan atau sedikit demam malah hakikatnya, vaksin ini telah digunakan selama lebih 80 tahun dan disarankan oleh WHO.

Individu yang menerima vaksin juga lebih terlindung ketika mengembara, termasuk melaksanakan ibadah Haji dan Umrah di mana risiko jangkitan lebih tinggi di luar negara, lebih-lebih lagi dalam penerbangan yang terdedah kepada pelbagai virus.

Katanya, vaksin berfungsi memberi amaran kepada tubuh supaya mengenali jangkitan.

“Ia mengandungi empat jenis antigen yang membantu sistem imun bertindak balas dengan lebih cepat terhadap virus sebenar.

Apabila dijangkiti virus baharu, tubuh mungkin mengambil masa lebih lama untuk bertindak balas, namun, individu yang telah divaksin lebih sukar dijangkiti dan jika terkena jangkitan, komplikasi yang dialami biasanya tidak begitu serius,” katanya.

Kesimpulannya, kos vaksin jauh lebih rendah berbanding kos rawatan di hospital berikutan jika dimasukkan ke hospital, ia membebankan pesakit dan keluarga malah boleh menjejaskan ekonomi kerana ketidakhadiran ke tempat kerja sepanjang tempoh pemulihan.

“Menerusi pengambilan vaksin dan mengamalkan langkah pencegahan, kita mampu meraikan Aidilfitri dengan lebih sihat dan selamat, sekali gus melindungi insan tersayang daripada risiko penyakit yang boleh dicegah,” katanya.

Maklumat lanjut rujuk www.actoflove.ifl.my/ms. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya