MEMILIKI umur panjang dan kesihatan yang baik merupakan impian hampir semua orang di dunia.
Ia tidak mustahil kerana boleh dicapai sekiranya individu itu mengamalkan gaya hidup sihat seperti mengambil makanan berkhasiat dan kekal aktif.
Namun, seorang wanita dari Ohio, Amerika Syarikat (AS) percaya minuman arak kegemaran menjadi ‘rahsia’ usianya boleh mencapai 106 tahun.
Sewaktu menyambut ulang tahun ke-106 pada 16 Disember lalu, Florence Hackman mendedahkan usianya kini bukanlah disebabkan oleh gaya hidup aktif atau mengamalkan petua makanan tertentu seperti buah-buahan atau sayuran.
Sebaliknya, beliau percaya rahsia umur panjang itu adalah ‘berkat’ minuman arak kegemaran, Fireball iaitu wiski yang dicampur dengan perasa kayu manis.
“Saya suka wiski Fireball dan tahun lepas rakan serta keluarga diberikan untuk menikmati minuman tersebut dalam pesta ulang tahun kelahiran saya,” kata Florence.
Wiski Fireball adalah produk syarikat Sazerac di New Orleans, di AS. Minuman tersebut menggabungkan wiski dari Kanada dan kayu manis sebagai perasa tambahan.
Florence yang sebelum ini pernah berkhidmat dalam sektor insurans, turut mendedahkan bahawa wiski bukan semata-mata rahsianya panjang umur.
“Saya percaya berbuat baik kepada orang lain itu perlu dan menjalani setiap hari dengan penuh bermakna.
“Jika anda berjaya melalui satu hari, percayalah anda juga boleh teruskan hari-hari berikutnya,” kata wanita berkenaan.
Sementara itu, keluarga Florence pula percaya sikap positif wanita itu menjadi petua umurnya mencapai lebih 100 tahun dan bukan semata-mata kerana wiski.
Mereka pernah mengagumi semangat Florence terutama ketika beliau mengalami patah tulang pelvis pada tahun 2018.
BERJAYA LEPASI REKOD IBU
Florence yang dilahirkan pada tahun 1918, merupakan anak bongsu daripada sembilan beradik.
Beliau dilahirkan di Cincinnati, Ohio, setelah Perang Dunia Pertama berakhir, bahkan mendiang Ratu Elizabeth II juga belum dilahirkan ketika itu.
Mengimbas kembali tahun beliau dilahirkan, Florence berkata, terdapat beberapa peristiwa penting berlaku di Amerika ketika itu.
“Saya dilahirkan hanya beberapa minggu selepas Perang Dunia Pertama berakhir, ketika Woodrow Wilson menjadi presiden.
“Pada tahun yang sama, wabak influenza mengurangkan jangka hayat di AS sebanyak 12 tahun, pejabat pos AS memulakan perkhidmatan mel udara pertama di dunia dan Boston Red Sox mengalahkan Chicago Cubs di Siri Dunia,” katanya.
Florence diketahui tinggal di rumah jagaan Tradisi Deerfield dan sering menghabiskan masa dengan aktiviti yang disukai, seperti menonton bola sepak
Beliau turut berbangga kerana berjaya melepasi rekod ibunya yang meninggal dunia pada usia 104 tahun.
“Sekarang saya sudah bergelar seorang moyang. Saya sudah semakin tua,” katanya.
Sebelum Florence, terdapat seorang lelaki berusia 110 tahun yang turut menganggap meminum alkohol sebagai rahsia umur panjangnya.
Mark Behrends dari Nebraska dilaporkan minum satu tin bir setiap hari selama beberapa dekad.- UTUSAN