Perlis padat dengan acara pelancongan sepanjang 2025

Perlis padat dengan acara pelancongan sepanjang 2025

Abu Bakar Hamzah menunjukkan kalendar acara pelancongan negeri Perlis 2025. – utusan/ MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETAKAT Oktober lalu, seramai 2.6 juta pelancong direkodkan berkunjung ke Perlis dan jumlah itu dijangka terus meningkat menjelang tahun depan bersempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.

Perlis kaya dengan keindahan alam semula jadi yang tidak pernah diterokai selain sawah padi menghijau serta bukit batu kapur berusia jutaan tahun.

Keunikan itu menjadi tarikan pelancong khususnya untuk menikmati ketenangan atau sebagai lokasi healing.

Sepanjang tahun hadapan yang memasuki tahun terakhir TMPs, pelbagai aktiviti dan program pelancongan terus rancak diatur.

Semalam, kerajaan negeri turut melancarkan kalendar atau takwim acara pelancongan sepanjang tahun hadapan yang cukup padat dari Januari hingga Disember.

Pelbagai aktiviti dan program disusun atur dalam kalendar berkenaan yang juga berlatar belakangkan konsep pelancongan, seni dan budaya serta pelbagai acara lain melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi.

Tidak mengambil masa lama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Abu Bakar Hamzah yang tidak sampai sebulan memegang jawatan tersebut bersama pasukan menyusun atur pelbagai acara dan aktiviti sepanjang tahun itu.

Berdasarkan kalendar, 24 hingga 27 Januari bakal berlangsung acara besar iaitu Konvensyen Sunnah Peringkat Antarabangsa Perlis 2025 selain pasar terapung larut malam.

Februari pula Pesta Angin Timur 2025 dan acara paling mencuri tumpuan iaitu Fiesta Layang-Layang Antarabangsa Perlis 2025 membabitkan penyertaan 32 negara.

Bulan Mac iaitu Ramadan bakal berlangsung Global Baitulmal Convention yang dikelolakan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan agensi.

Bulan April pula sambutan Jubli Perak bersempena 25 tahun pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dengan pelbagai pengisian menarik dan istimewa.

Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat kebangsaan dari 27 April sehingga 2 Mei. Pada bulan itu juga diadakan Festival Harumanis Perlis 2025 serta Fiesta Aidilfitri Perlis 2025.

Sepanjang Mei, pengisian penuh dengan aktiviti seperti Perkampungan Sunnah kali-10, Citra Warna Kuala Perlis bersempena sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis, Perlis International Open Fight Night, Nakawan Rainforest dan pelbagai lagi.

Aktiviti pelancongan menarik seperti Pesta Kopi dan Seni, Fiesta Seni 2025, Pasar Warisan Se-Jati, program silang budaya, Kampung Wai eco challenge akan diadakan pada bulan Jun.
Julai dan Ogos terdapat acara seperti Pesta Buku Perlis, Wang Gunung Trail Run 3.0, Festival Industri Asas Tani, Wang Gunung Trail Run 3.0, Perkhemahan Sunnah Perlis, Festival Warisan Nusantara, Pesta Jiwa Merdeka dan banyak lagi.

September juga pastinya antara dinanti pengunjung apabila bakal berlangsungnya Pesta Air 2025 di Kuala Perlis.

Antara acara lain pada bulan berkenaan seperti pementasan teater karya agung, Keretapi Sarong, Festival Fosil Perlis Geopark, Kejohanan Kuda Lasak negeri Perlis dan Treasure Hunt Jejak Warisan.

Menjelang Oktober dan November, Perlis Ultra Maraton (Putra) 3.0, Perkhemahan Sunnah Perlis Muslimah, Perlis Cyclo Fest 2.0, Persidangan Majlis Ilmuan Nusantara dan Gastronomi Makanan Malaysia 2025 telah dirancang.

Perlis Mountain Day, Hooligan Camp 2025, Karnival Membeli Belah (Boarder Fiesta) dan Perlis International Rock Festival menutup kalendar pada Disember.

Tambah Abu Bakar, TMPs 2024/2025 merupakan kempen yang penting serta langkah awal ke arah Tahun Melawat Malaysia 2026 dan berbaki setahun lagi, semua pihak perlu berganding bahu untuk terus menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Katanya, pelbagai aktiviti dan program dirancang bagi tahun 2025 untuk merancakkan lagi kempen Tahun Melawat Perlis.

Kalendar acara pelancongan itu merupakan satu medium utama yang akan menjadi rujukan kepada pengiat industri pelancongan serta para pelancong yang ingin datang ke Perlis.

“Dengan adanya kalendar acara pelancongan tersebut, ia sedikit sebanyak dapat membantu para pelancong dalam merancang percutian mereka ke Perlis dan penggiat industri pelancongan pula akan dapat merangka pakej-pakej yang bersesuaian untuk ditawarkan kepada para pelancong.

“Kalendar itu juga akan dimuat naik di laman sesawang Tourism Perlis dan boleh diakses secara umum. Kalendar ini akan sentiasa dikemas kini daripada masa ke semasa mengikut kepada perkembangan dan penambahan aktiviti-aktiviti pelancongan yang bakal dijalankan.

“Terdapat 56 acara pelancongan yang telah dirancang dan bakal dijalankan sepanjang tahun 2025. 36 acara daripadanya dirancang oleh jabatan dan agensi kerajaan negeri serta Persekutuan manakala terdapat 20 acara yang dirancang oleh NGO,” katanya.

Ia merangkumi pelbagai kluster pelancongan antaranya pelancongan eko, membeli belah dan makanan, pelancongan agro, pelancongan sejarah, warisan, seni dan budaya serta pelancongan sukan dan rekreasi yang akan menarik lebih ramai pengunjung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya