Isteri tua pilih jaga jarak dengan madu, lindungi emosi - Utusan Malaysia

Isteri tua pilih jaga jarak dengan madu, lindungi emosi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menerima kenyataan suami memilih untuk berkahwin lagi bukanlah perkara yang mudah.

Namun atas rasa kasih, tanggungjawab dan demi menjaga keutuhan rumah tangga, ramai isteri cuba untuk reda dan berdamai dengan takdir.

Minggu ini saya kongsikan kisah Nora (bukan nama sebenar) yang hidup bermadu selama hampir enam tahun.

Sepanjang tempoh itu, hubungannya dengan madu kekal dingin.

Bagaimanapun, menurut wanita berusia pertengahan 40-an itu, mereka tidak pernah bertengkar atau menyakiti antara satu sama lain.

“Hubungan kami lebih kepada formal. Kami saling menghormati tetapi tidak mesra,” ujarnya yang ditemui baru-baru ini.

Menurut Nora, sepanjang tempoh perkahwinan kedua itu, suami tidak pernah putus asa memujuk agar dia berbaik dengan madu.

Namun, sehingga ke hari ini dia memilih untuk menjaga jarak.

“Saya tidak membantah poligami, kerana ia dibenarkan oleh agama, tetapi apa yang sukar diterima adalah permintaan suami untuk berbaik dengan madu.

“Memberi keizinan untuk berkahwin lagi sudah cukup besar sebagai tanda penghormatan terhadap kepada suami,” katanya.

Menurut Nora, dia tidak berasa perlu menambah pengorbanan itu dengan membina hubungan baik dengan madunya.

“Saya tidak membenci mahupun bergaduh dengan madu, tetapi untuk rapat seperti adik-beradik atau kawan, ia sesuatu yang melampaui kemampuan saya.

“Ketika ini saya hanya mahu menjalani kehidupan dengan lebih tenang tanpa melibatkan hubungan dengan orang lain,” katanya lagi.

Tambah Nora, dia tetap menghormati wanita itu sebagai isteri kedua suami.

Bagaimanapun, dia juga ada hak untuk menjaga emosi dan batas ruang peribadi.

“Suami sering berkata kalau saya sudah menerima poligami, kenapa tidak menerima madu sekali? Hakikatnya, pada awal suami memberitahu untuk berkahwin lagi, sudah cukup berat. Namun, saya relakan. Jadi faham-faham sahajalah,’ katanya.

Menyambung cerita, kata Nora, dia kini hanya mahu fokus kepada diri sendiri, anak-anak dan tanggungjawab sebagai isteri tanpa perlu memaksa diri untuk rapat dengan orang lain.

“Bukan saya tidak ikhlas, tetapi setiap orang ada cara masing-masing untuk berdamai dengan keadaan.

“Bagi saya, kedamaian itu datang dengan menjaga jarak dan tidak memaksa diri ke arah sesuatu yang hati saya belum sedia,” sambungnya lagi.

Menyingkap kisah rumah tangganya, kata Nora, dia berkahwin dengan Murad, (bukan nama sebenar) selama hampir 20 tahun.

Mereka membina kehidupan bersama dari bawah, melalui suka duka dari bawah sehingga perniagaan Murad berkembang maju.

Hidup mereka sederhana tetapi penuh kasih sayang bersama empat orang anak.

Sehinggalah pada penghujung Disember 2018, suami meminta izin untuk berkahwin lagi.

Hanya tuhan yang tahu perasaannya ketika itu, dunia terasa gelap.

Nora berasakan ia adalah satu tamparan hebat kepada dirinya.

Namun dia memberi izin kerana menghormati permintaan suami dan berusaha untuk mengutamakan agama.

Walaupun memberi izin, perasaan wanitanya bercampur baur.

Sedih, kecewa, terhimpit antara reda dan rasa tidak adil.

Hidup berpoligami tidak mudah bagi Nora.

Dari hari pertama diijab kabul kali kedua sehingga ke hari ini, suami sentiasa berharap dia dan madu dapat berbaik, memulakan hubungan sebagai kakak dan adik, namun realitinya tidak semudah itu.

“Saya rasa sukar untuk berbual mesra atau bergelak ketawa dengan wanita yang secara tidak langsung telah mengambil sebahagian daripada cinta suami.

“Walaupun suami cuba mengatur pertemuan keluarga dengan harapan hubungan menjadi rapat, ia tidak pernah berjaya.

“Saya lebih banyak mendiamkan diri dan hadir sebagai tanda menghormati suami,’ ujarnya.

Menurut Nora, hanya memasuki tahun keempat perkahwinan kedua suami, dia mula belajar untuk reda dan menerima takdir.

Dia kini banyak mendekatkan diri kepada Allah, dalam aktiviti keagamaan dan kerja-kerja kesukarelawan.

Banyak pengajaran yang boleh diambil daripada kisah Nora, suami dan madunya.

Kisah mereka turut mencerminkan realiti pahit dalam hubungan poligami.

Perasaan manusia sangat kompleks. Walaupun agama membenarkan poligami, perasaan manusia bukan sesuatu yang mudah untuk diuruskan.

Bahkan dalam menanganinya ia memerlukan kebijaksanaan dan empati daripada suami.

Suami perlu memahami, bahawa cinta dan kepercayaan yang dibina bertahun-tahun tidak boleh dipulihkan dengan sekelip mata.

Ini lebih-lebih lagi dengan permintaan untuk berbaik dengan wanita kedua yang hadir dalam hidup lelaki dicintai.

Mungkin ramai melihat Nora seorang wanita dan isteri yang keras kepala, tetapi tindakan itu lahir dari hatinya yang luka.

Isteri tua seperti Nora juga memerlukan ruang dan waktu untuk belajar menerima keadaan dan menguruskan emosi.

Pengorbanan yang diminta daripada isteri tua seperti Nora sangat besar dan tidak semua mampu melakukannya.

“Saya sentiasa berharap agar suami menghormati keputusan saya untuk tidak berbaik dengan madu seperti yang diimpikan.

“Apa yang lebih penting ketika ini usaha suami untuk menjaga kebajikan kami, kedua-dua isterinya,” ujar Nora mengakhiri perbualan lewat petang itu.

Dalam Islam, poligami dibenarkan dengan syarat termasuk berlaku adil.

Sebagaimana firman Allah SWT, “Dan jika kamu khuatir tidak mampu berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yatim(bilamana kamu menikahinya), maka nikahilah perempuan (lain) yang kamu senangi, dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu khuatir tidak mampu berlaku adil, maka (nikahilah) seorang sahaja, atau hamba sahaya yang kamu miliki.Yang demikian, itu lebih dekat agar kamu tidak berbuat zalim,”(an-Nisa, ayat 3,4).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya