Dekorasinya ringkas dan tampak minimalis.
Namun, jika diamati, setiap sudut ruangan di kediaman milik pasangan Mohd. Aidil Janatun Razali dan Aminah Manaf ini menampilkan rekaan dalaman berkonsepkan gaya abad pertengahan.
Pasangan berusia 34 tahun ini memilih untuk memadankan gaya abad pertengahan bersama elemen moden pada setiap ruang rumah jenis berkembar setingkat itu.
Kata Mohd. Aidil, dia dan isteri turut menerapkan sedikit elemen muji yang menampilkan reka bentuk bersih dan kemas pada susun atur perabot dan dekorasi.
“Kami memilih reka konsep ini kerana rasa lebih nyaman dan semula jadi.
“Elemen yang melengkapkan keseluruhan konsep adalah elemen kayu dan disertakan rekaan klasik daripada palm spring 70s. Selain itu, hiasan turut disulam dengan pokok-pokok dan kaktus,” katanya kepada Seri.
Kediaman yang berkeluasan lebih 2,000 kaki persegi secara keseluruhannnya ini tampil lebih luas dengan gaya yang dipilih.
Penggunaan rona warna yang lembut dan neutral seperti putih dan warna kayu membantu menaikkan pencahayaan ruang sekali gus menjadikan ia kelihatan lebih lapang dan selesa.
Sedikit rona moden seperti hitam pada beberapa bahagian turut menaikkan seri kediaman.
Susun atur dan pemilihan perabot dengan rekaan ringkas juga berjaya membuatkan rumah tidak kelihatan padat atau serabut.
Walaupun ringkas, kehadiran pepohon hijau pada dekorasi dinding dan beberapa sudut sangat membantu memberikan kontra yang baik pada dinding putih.
Misalnya, kehadiran pokok kaktus dan pokok-pokok kecil lain pada dekorasi dinding ruang tamu membuatkan ruang itu tampak segar meskipun hanya dilatari rona-rona asas.
Pokok hijau memberikan kontra yang menarik pada sofa rona coklat dan dinding polos rona putih.
Kata Siti Aminah, penjagaan gaya berkenaan tidak sukar kerana penjagaan kaktus yang mudah dan kebanyakan perabot menggunakan kayu yang kukuh.
“Jadi, sudah semestinya lebih tahan lama dan kukuh.
“Namun, sedikit mencabar kerana memerlukan ilmu penjagaan kayu yang betul supaya lebih tahan lama daripada segi permukaan, kualiti dan daripada serangga perosak seperti anai-anai,” katanya yang banyak membuat rujukan di laman dekorasi dalam talian.