Festival Warisan’24 angkat keunikan budaya Perlis

Festival Warisan’24 angkat keunikan budaya Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail merasmikan Festival Warisan Nusantara 2024 (Warisan’24) di Dewan 2020, Kangar, Perlis, baru-baru ini . – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penganjuran Festival Warisan Nusantara 2024 (Warisan’24) di Perlis selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad ini menjadi medium mengangkat semula warisan kebudayaan khususnya dari negeri itu.

Acara itu mendapat sambutan luar biasa yang dijangka mengamit kehadiran lebih 30,000 pengunjung.

Pengunjung yang datang dari seluruh negara disajikan dengan pelbagai pengisian menarik sepanjang penganjuran festival yang merupakan salah satu acara kebudayaan terbesar di rantau ini.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang penganjuran Festival Warisan’24 yang mencerminkan budaya dan tradisi nusantara antaranya seperti explorace jejak warisan, demonstrasi permainan tradisional, bengkel cantingan batik dan Warisan Fun Run.

Pengarah Festival Warisan’24, Amir Izwady Abu Bakar berkata, antara acara lain yang dilihat menjadi tumpuan adalah seperti jelajah warisan berkonsepkan kereta api sarong yang bermula dari Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Alor Setar ke Stesen Arau di mana peserta turut mengenakan pelbagai jenis kain sarung dan pakaian tradisional.

Katanya, rombongan tersebut terdiri daripada 100 orang yang berpakaian zaman dahulu dan bersama-sama menaiki kereta api berkenaan.

“Mereka turut dibawa ke festival ini dari Stesen KTM Arau dengan menaiki kereta klasik seperti Volkswagen Kombi, Beatle, Mini Cooper, Mercedes W123 dan Mercedes W124,” katanya.

Pelancaran festival tersebut yang berlangsung di Dewan 2020, disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Abu Bakar Hamzah.

Festival Warisan’24 itu dianjurkan oleh Geliong Venture Sdn. Bhd. dengan kerjasama Persatuan Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis (SPORTREC), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Perlis (MAIPs), Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin dan Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

Festival tersebut turut mendapat kerjasama dan sokongan daripada Tourism Malaysia dan diserikan dengan kehadiran penyanyi terkemuka tanah air, Aris Ariwatan.

Antara aktiviti lain seperti demonstrasi gastronomi warisan tradisinal, pameran khas oleh MAIPs, persembahan kebudayaan, sembang santai warisan dan pelbagai lagi.

Dalam mengembalikan keunikan kesenian di Perlis, festival berkenaan turut mengetengahkan persembahan warisan antaranya Awang Batil, Alu Bunyi dan Wayang Kulit buat pengunjung.

PASAR DULU

Tambah Amir, terdapat ruangan ‘pasar dulu’ yang menampilkan suasana pasar seperti zaman 60-an dan semua dekorasi juga turut mengikut tema berkenaan.

“Untuk ‘pasar dulu’, kita menyediakan 21 gerai dan barangan yang dipasarkan juga adalah seperti hasil kraftangan, produk kecantikan, makanan warisan dan pelbagai lagi.

“Secara keseluruhan terdapat lebih 80 vendor dan pempamer membabitkan pelbagai agensi turut terlibat sama bagi memeriahkan penganjuran festival tersebut,” katanya.

Penganjuran festival berkenaan turut membantu menyemarakkan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025 di samping mempromosikan negeri itu sebagai destinasi pelancongan unggul dengan memperkenalkan keunikan budaya serta warisan tempatan.

Katanya, selain menyajikan suasana warisan nusantara kepada pengunjung, festival berkenaan turut mengetengahkan permainan dan tarian tradisional daripada pelbagai kaum.

“Selain menggalakkan pelancongan dan memperkenalkan warisan negeri, festival ini juga turut membantu dalam menjana ekonomi setempat,” katanya.

Di samping itu, Amir berkata, Festival Warisan’24 turut menampilkan pelancaran Jati of Perlis-Warisan Semula Jadi yang merupakan satu projek bagi merealisasikan potensi pokok Jati dalam menyokong kelestarian alam dan kemampanan ekonomi di Perlis.

Katanya, Jati of Perlis-Warisan Semula Jadi itu melibatkan penghasilan produk bernilai tinggi daripada pokok berkenaan dan bakal diketengahkan sebagai produk kebanggaan rakyat negeri itu.

“Usaha untuk ketengahkan Jati Perlis sebagai warisan semula jadi sangatlah bertepatan yang akan memberi impak kepada pembangunan ekonomi komuniti secara inklusif di samping sokongan terhadap kelestarian alam sekitar dapat dilaksana.

“Penjenamaan Jati Perlis sebagai Petunjuk Geografi (GI) akan meningkatkan reputasinya ke arah penarafan Kraf Jati Diraja Perlis atau Royal Perlis Jati Craft. Jabatan Perhutanan negeri turut bekerjasama rapat dengan FRIM bagi membawa Jati of Perlis itu arah penarafan tersebut,” katanya.

Selain itu, katanya, festival berkenaan juga akan dijadikan sebagai acara tahunan di negeri itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya