Mocha, si kura-kura eksotik manja - Utusan Malaysia

Mocha, si kura-kura eksotik manja

MOCHA sebahagian daripada keluarga Noor Fatahiyyah dan Mohammad Thoriq.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI yang memilih kucing atau haiwan berbulu lain sebagai haiwan peliharaan. Tetapi Noor Fatahiyyah, 38 dan suaminya, Mohammad Thoriq, 37 memilih jalan berbeza. Mereka memelihara seekor kura-kura Sulcata bernama Mocha sebagai penyeri keluarga.

Menurut Fatahiyyah, ketika pertama kali membelinya pada harga RM400, Mocha hanyalah sebesar tiga inci. Kini, setahun berlalu, Mocha telah membesar hingga hampir sebesar tapak tangan orang dewasa. Nilainya dengan saiz itu juga mencecah sehingga RM5,000!

Namun, bagi pasangan itu, Mocha lebih daripada sekadar peliharaan eksotik berharga tinggi. Tingkah lakunya yang manja menjadikan Mocha sebahagian daripada keluarga, menambah warna dan keunikan dalam kehidupan seharian mereka.

Penyediaan habitat khas serta pemakanan yang selektif, menjaga kura-kura Sulcata memerlukan perhatian khusus. Namun, bagi pasangan itu, semuanya berbaloi.

SPESIES TERBESAR DI DUNIA

Kura-kura Sulcata atau lebih dikenali sebagai kura-kura darat Afrika adalah antara spesies kura-kura terbesar di dunia yang berasal dari kawasan padang pasir Afrika.

Sebelum mengenali Mocha, Fatahiyyah sekeluarga memelihara kucing baka Mainecoon. Namun, apabila anak-anaknya sering selesema dan batuk akibat alahan, mereka terpaksa melepaskan kucing-kucing itu.

“Demi kesihatan anak-anak, saya mencari haiwan yang tidak berbulu dan selamat untuk anak- anak. Selepas melihat beberapa pilihan, saya tertarik dengan kura- kura Sulcata.

“Saya pilih kura-kura sebab ia tidak berbulu dan nampak unik. Lagipun anak-anak saya juga boleh bebas alahan,” ujar Thoriq. 

Maka dengan itu, Mocha si kura-kura Sulcata manja pun menjadi ahli keluarga baharu pasangan itu.

BUKAN KURA-KURA BIASA

Mocha adalah kura-kura darat yang tidak memerlukan air untuk berenang. Sebaliknya, Mocha memerlukan tempat tinggal yang kering dengan lampu haba bagi meniru suasana habitat asalnya yang panas di Afrika.

Thoriq menyiapkan satu sudut khas di rumahnya dilengkapi dengan lampu haba dan ruang yang sesuai untuk Mocha berjemur. Kandangnya juga ditempah khas diinspirasikan daripada TikTok.

“Kalau kura-kura air biasa kena ada kolam tetapi berbeza dengan Mocha yang perlukan tempat kering dan hangat kerana Mocha tidak tahan sejuk.

“Mocha juga cerewet dalam bab makanan. Kesukaannya? Sawi, tapi hanya yang lembut! Saya pernah cuba beri sayur lain tetapi Mocha cepat-cepat tolak,” cerita Fatahiyyah sambil ketawa.

Setiap bulan, Thoriq memperuntukkan perbelanjaan untuk membeli sayur-sayuran segar, memastikan habitat Mocha bersih dan mendapat haba yang cukup untuk mengelak daripada jatuh sakit.

“Kura-kura Sulcata mudah terkesan dengan suhu, jadi lampu haba adalah keperluan utama bagi memastikan Mocha sentiasa sihat dan aktif.

“Kalau suhu tidak betul, Mocha mudah jatuh sakit. Jadi, saya jaga betul-betul sebab nak dia sihat. Macam kita jaga anak sendiri, saya mahukan yang terbaik juga untuk Mocha,” kata Thoriq.

SI PEMALU YANG MENARIK PERHATIAN

Di sebalik saiznya yang agak besar, Mocha sebenarnya pemalu. Fatahiyyah dan Thoriq berkongsi bahawa Mocha akan menarik kepala dan menyorok apabila ada orang lain selain keluarganya datang.

Namun bagi Thoriq, sifat Mocha yang pemalu ini yang menjadikannya unik. Kalau ada tetamu datang, Mocha lebih suka diam dan bersembunyi, seolah- olah tidak mahu diganggu.

“Mocha ni pemalu, jadi kalau ada orang dia tidak kenal, dia terus menyorok! Tetapi bila lama- lama, dia pun selesa.

“Walaupun Mocha agak pemalu, dia tetap menjadi perhatian dalam kalangan jiran-jiran,” jelas Thoriq.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya