Makanan kurang zat jadi pilihan sebab murah? - Utusan Malaysia

Makanan kurang zat jadi pilihan sebab murah?

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam banyak jenis makanan, sajian pemanis mulut yang paling cepat mengalami evolusi. Pisang goreng yang dulu-dulu kita makan begitu saja, kini dicantikkan dengan aneka warna tepung bancuhannya.

Nak tambah cantik lagi ia dilimpahi dengan keju meleleh dan taburan serbuk coklat. Jadi lawa dan nampak sedap.Kalau sudah ada depan mata, pantas saja kita mahu membelinya sebab cantik dan menggoda selera.

Sedap atau tidak belakang kira, yang penting kita mahu mencuba sajian yang tengah hangat diperkatakan di media-media sosial. Sekarang ini, bukan setakat pisang, aneka menu sudah diubah penampilan bagi nampak lawa.

Kadangkala timbul rasa lucu pula pada diri sendiri yang berhajat mengekalkan berat seimbang, tetapi sukar sekali menolak menu yang manis dan cantik-cantik rupanya itu, biarpun ia hanya diperkaya gula tanpa zat.

Itulah realiti berlaku dalam masyarakat kita yang cenderung tertarik dengan penampilan sesuatu hidangan tanpa memilikirkan khasiatnya. Salah siapa kalau kita jenis mudah tergoda dengan makanan? Aduhai.

Sebenarnya tabiat menyalahkan makanan menjadi punca berat badan naik, sikap yang buruk. Kalau kita jenis makan ikut formula suku-suku separuh, tak mengapa. Tapi yang menjadi masalah bila kita suka ambil menu selingan disusuli minuman manis.

Bagi anak muda, makan apa pun mungkin tidak memberikan kesan sangat pada tubuh berbanding dalam kalangan dewasa yang sudah berusia tetapi hidup tidak aktif. Pemakanan tidak sihat memang akan ternampak jelas menerusi kesihatan individu. Pilihan ada di depan tinggal lagi mahu pilih menu sihat ikut keperluan atau selera tekak.

Kita jangan lupa yang itu sebenarnya hanyalah aspek pemasaran. Lagi banyak warna, lagi menarik, sedangkan pewarna tidak tiruan itu tiada manfaat kepada tubuh.

Kita yang keluar duit tetapi perlulah berpada-pada dan berfikir sebelum membeli. Sekali cukup, bukan setiap hari.

Separuh daripada 32 juta rakyat kita berdepan masalah berat berlebihan yang dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan. Malah Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (Maso) mendedahkan kumpulan umur 35 hingga 39 tahun adalah kumpulan yang paling tinggi mempunyai masalah obesiti iaitu 25.3 peratus diikuti yang berumur 40 hingga 44 tahun (24.4 peratus) dan ia mengundang peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) juga.

Hasil Tinjauan Kebangsaan dan Morbiditi (NHMS) 2023 meletakkan rakyat Malaysia kini hidup ditengah-tengah krisis NCD apabila 2.3 juta rakyat dewasa berhadapan masalah itu berbanding 1.7 juta seperti pernah direkodkan pada 2019.

Ada orang kata situasi lebih buruk bila makanan tidak sihat inilah lebih mampu dimiliki dan mudah dibeli, berbanding makanan sihat yang agak mahal tetapi tidak lama kenyang. Benarkah?

Muda bukan masa untuk bereksperementasi dengan ketahanan tubuh. Bacaan kolesterol kita tadi, mungkin normal namun kalau tidak dikawal ia akan menimbun, seterusnya memberi impak kepada kesihatan secara keseluruhannya. Beringatlah sebelum kena.

Nor Afzan Mohamad Yusof Pengarang Rencana, Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya