Suka sakitkan hati orang itu, penyakit

Suka sakitkan hati orang itu, penyakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-baru ini seorang pempengaruh media sosial dilaporkan mengambil tindakan membunuh diri selepas tidak tahan dengan pembuli siber di media sosial.

Ramai melahirkan rasa kesal dengan kisah tragis ini, tetapi bak kata pepatah Melayu, nasi sudah menjadi bubur, menangis air mata darah pun tidak dapat mengembalikan nyawa yang hilang.

Ada akta yang boleh mengheret pembuli siber kemuka pengadilan tetapi ia seolah-olah tidak cukup menggerunkan.

Kata-kata kesat dalam komen di media sosial tetap ditinggalkan termasuk di laman sosial insan ternama negara.

Mereka kira apa yang ditulis itu tidak terlalu teruk, lebih-lebih lagi yang tertangkap dan didakwa atas kesalahanpun, boleh dibilang dengan jari.

Mula-mula mungkin takut-takut tetapi lama kelamaan rasa senorok dan ketagih mengata orang. Hati puas agaknya menyakitkan hati orang lain.

Buli siber bukan hanya isu dalam talian. Peningkatan gangguan dalam talian yang membimbangkan ini sebetulnya memberi kesan buruk kepada individu dan komuniti.

Statistik terbaru dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menunjukkan trend membimbangkan, dengan 51,638 kes kandungan berbahaya tersebar di media sosial dan platform digital dalam hanya tiga bulan pertama tahun ini.

Situasi ini berlaku di seluruh dunia dan menyaksikan ramai mangsa yang mengambil tindakan drastik dengan meragut nyawa sendiri. Malang sungguh apabila kemajuan teknologi maklumat, digunakan untuk menyebarkan kebencian.

Pupuklah rasa tanggungjawab dan hormat ketika berinteraksi dalam talian. Bagi pempengaruh, fikirlah dahulu sebelum berkongsi dan tidak perlu menjadikan plaftorm itu sebagai laman bertikam mulut dengan netizen atau berkongsi sematamata mahu meraih like mahupun jumlah tontonan.

Jangan rasa bersalah block atau unfriend orang yang anda tidak selesa, sebaliknya fikirkanlah apakah implikasinya terhadap diri sendiri.

Kalau rasa tidak kuat, usah cabar diri membaca komen atau paling senang hide comment.

Kalau serius menjadi pencipta kandungan, ikutilah kursus pemantapan diri. Kalau tidak kuat tak perlulah main media sosial.

Buat netizen, komen biarlah beradab. Kalau tidak takut kepada hukuman dan tindakan, fikirkan bagaimana tulisan itu memberi implikasi pada diri sendiri pada masa depan.

Menyakitkan hati orang itu suatu penyakit. Cubalah rawat diri dan dapatkan bantuan kerana anda mungkin kemurungan dan memerlukan bantuan daripada pakar.

Penyedia kandungan seperti FaceBook, TikTok dan Instagram pun janganlah berpeluk tubuh. Agresiflah lakukan sesuatu supaya anda tidak berterusan dianggap sebagai platform yang mempromosi unsur-unsur yang tiada harmoni dan aura negatif dalam kalangan masyarakat dunia.

Kalau terlalu banyak unsur negatif daripada positifnya, perlukah kita ada media sosial dan setia membuka akaun di situ?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya