Nilai artistik kipas tangan Kim

Nilai artistik kipas tangan Kim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KIPAS tangan bukan sahaja berfungsi menyejukkan badan, malah ia juga merupakan peralatan penting dalam sejarah dan budaya di Korea Selatan.

Alat yang dihiasi dengan lukisan dan kaligrafi teliti ini sering digunakan dalam upacara ritual dan tarian tradisional.

Namun, pernahkah kita terfikir siapakah gerangan yang menghasilkan kipas itu?

Kim Hyun-Joo antara artis dan pereka seni pelbagai disiplin yang terkenal dengan ketelitian dalam aspek kerjanya.

Beliau menjadikan unsur alam semula jadi dan amalan tradisional dalam karya seni kontemporari yang dihasilkan.

Baginya, reka bentuk kipas bukan sekadar pada fungsi, tetapi perlu mempunyai nilai artistik dalam masa sama.

Beliau sering mengimbas kenangan ketika zaman kanak-kanak melihat orang ramai berjalan-jalan sambil memegang kipas tangan di negara itu, sebagai pencetus idea.

Malah, kebanyakannya turut direka sebagai hiasan kerana dapat berdiri tegak pada tapak apabila tidak digunakan.

“Bagi saya, kipas perlu mempunyai unsur hiasan dan bukan semata-mata alatan penyejuk badan.

“Saya melihat setiap kipas yang dihasilkan sebagai pokok.

“Pokok bersatu untuk mencipta hutan diikuti angin sejuk yang bertiup sekali gus membangkitkan rasa yang menyenangkan,” katanya dalam laporan Channel News Asia.


GUNA HANJI
Antara kejayaan peribadinya adalah menghasilkan kipas menggunakan hanji iaitu sejenis kertas tradisional yang diperbuat daripada kulit pokok mulberi.

“Saya fikir, kegunaan hanji boleh diluaskan dan tidak terhad kepada kertas dinding, lantai atau pencahayaan sahaja.

“Idea ini sangat bagus untuk mempelbagaikan fungsi hanji dan mencipta barangan baharu yang mungkin tidak ramai terfikir mengenainya,” jelasnya.

Hanji dibuat daripada dahan pokok mulberi berusia satu tahun tanpa perlu menebang keseluruhan pokok.

TEMPA KEJAYAAN
Kim menempa kejayaan sehingga ke negara luar apabila hasil seninya dipersembahkan di Pameran Maison et Objet 2023 di Paris.

Pencapaian itu mengukuhkan lagi kedudukannya dalam kalangan pereka bentuk dan seni pertukangan di peringkat global.

Hasil seninya turut dijulang dan dipertontonkan semasa pameran reka bentuk dan kraf di New York, London serta Franfkurt.

Bagaimanapun, nikmat dan kepuasan terbesar baginya adalah apabila berpeluang bertemu dengan orang biasa yang menghargai hasil ciptaannya.

“Saya teringat ada seorang pembeli di Itali. Ketika itu, dia berada di laluan bawah tanah dan melihat orang lain menggunakan kipas saya.

“Jadi, dia ambil gambar dan hantar kepada saya. Saya sungguh kagum melihat kipas yang dihasilkan sudah digunakan di Paris,” katanya.


HALANGAN KELUARGA
Kim memberitahu perjalanan menjadi anak seni bukan mudah apabila mendapat tentangan daripada ahli keluarga.

Terdahulu, katanya, minat terhadap seni sudah disemai sejak zaman kanak-kanak lagi.

“Saya suka melukis dan bercita-cita menjadi pelukis ketika di sekolah menengah.

“Tetapi, ibu tidak mengizinkan saya belajar seni, namun hasrat itu dapat direalisasikan selepas memilih kos reka bentuk produk semasa di universiti,” katanya.

Pada 2013, Kim menubuhkan sebuah studio untuk mencipta kepingan hiasan dan peralatan rumah daripada marmar dan bahan semula jadi lain termasuk tanah liat serta kayu.

“Saya suka bereksperimen dengan teknik baharu kerana dapat mencipta sesuatu yang sukar ditiru oleh orang lain.

“Motivasi saya adalah ikhlas dan dedikasi dalam setiap kerja yang dihasilkan,” katanya. – CNA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN