Ungkapan peribahasa, ‘bapa borek, anak rintik’ membawa maksud segala bentuk sifat dan perbuatan bapa diwarisi anak.
Baik buruk, sedikit sebanyak turun kepada anaknya.
Walaupun ada antaranya terpisah dan tidak dibesarkan oleh bapa akibat penceraian, darah yang mengalir tetap sama merah di tubuh.
Minggu ini saya kongsikan kisah Mimi, (bukan nama sebenar) seorang wanita yang berpengalaman hidup bermadu dan diceraikan kerana orang kedua.
Kini, dia berkongsi kisah sama dengan menantu, apabila anak lelakinya, Amirul, (bukan nama sebenar) pula mengikut jejak bekas suami, dengan berkahwin lagi.
Membuka cerita, kata Mimi, pada awalnya hubungan dengan menantu, Zalikha (bukan nama sebenar) tidak baik.
Ini kerana kehadiran Zalikha dianggap hanya mengganggu hubungannya dengan Amirul, satu-satunya anak lelaki tunggal dalam keluarga.
Dia takut kehilangan sekali lagi lelaki yang disayangi selepas apa yang berlaku antaranya dan bekas suami yang sanggup meninggalkannya semata-mata untuk bersama wanita lain.
Kata Mimi, dia menyayangi Amirul melebihi dirinya sendiri.
Sendirian membesarkan Amirul, menyebabkan sejak kecil dia mengawal dan mengatur hidup anak lelakinya itu.
Ini termasuk dalam soal memilih teman wanita untuk dijadikan isteri.
“Sebelum Zalikha, ada dua wanita diperkenalkan Amirul sebagai teman wanitanya. Saya berusaha untuk cuba menghalang hubungan mereka agar tidak sampai ke peringkat lebih serius iaitu perkahwinan.
“Ternyata jodoh mereka kuat dan disatukan juga akhirnya,” kata Mimi.
Kata Mimi, sebelum berkahwin dia meletakkan beberapa syarat kepada Amirul dan Zalikha termasuk perlu menetap bersamanya.
Sepanjang hidup serumah, walaupun Zalikha dilayan buruk, menantunya itu tidak pernah membalas.
Hatinya semakin lembut selepas pasangan itu dikurniakan anak sulung lelaki selepas setahun berkahwin.
Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.
Memasuki tiga tahun usia perkahwinan, Amirul dalam senyap bernikah seorang lagi.
“Ketika itu saya benar-benar kecewa dengan Amirul. Namun, apa yang boleh dilakukan. Simpati saya mula beralih kepada Zalikha.
“Saya faham bagaimana perasaannya diduakan suami kerana saya pernah berada di tempat itu,” ujarnya.
Menceritakan kisah silam dengan bekas suami, Sufian, (bukan nama sebenar) yang sudah berlalu hampir tiga dekad itu, kata Mimi, mereka saling menyintai satu sama lain.
Pertemuan di sebuah majlis diakhiri dengan ijab dan kabul selepas enam bulan mengenal hati budi dan keluarga masing-masing.
Bahtera perkahwinan yang dilayari pada awalnya sangat indah.
Namun, memasuki tahun kedua perkahwinan, rumah tangga mereka diuji.
Suami mengakui telah bernikah sekali lagi. Ketika itu Amirul berusia satu tahun.
Dalam perkongsiannya, bekas suami menjelaskan bahawa rasa simpati berlebihan terhadap wanita berstatus janda itu membuatkan dia mengambil keputusan untuk berkahwin dua.
“Ketika itu hanya Allah yang tahu perasaan ini. Namun, saya cepat-cepat muhasabah diri dan enggan terlalu larut dalam kesedihan .
“Saya cuba berdamai dengan takdir dan menganggap itu sebahagian ujian daripada Allah,” ujarnya.
Realiti kehidupan seorang lelaki yang berkahwin lebih daripada seorang isteri tidak seindah disangka.
Ini kerana bukan semua lelaki dapat berlaku adil dengan kedua-dua isteri.
“Walaupun selepas apa yang bekas suami lakukan, marah saya cuma seketika.
“Yang saya harapkan ketika itu hanya kasih sayang daripada lelaki bergelar suami dan bapa kepada seorang anak yang masih kecil,” ujarnya.
Bercerita mengenai kehidupan berpoligami, Mimi mendakwa ia sememangnya tidak indah.
Sejak wanita itu masuk ke dalam kehidupan mereka, Sufian sudah tidak seperti dahulu.
Sikap suami berubah dan sudah mula berlaku tidak adil serta sering melebihkan isteri kedua terutama giliran bermalam di rumah.
Sabar ada hadnya
Rumah tangga yang cuba dipertahankan akhirnya kecundang juga.
Kemuncaknya apabila madu meminta bekas suami membuat pilihan untuk kekal bersamanya atau menceraikan isteri pertama.
“Saya fikir, bekas suami memilih saya, namun ia tidak berlaku. Sebaliknya, saya diceraikan dengan talak dua,” ceritanya.
Hampir setahun Mimi cuba menyesuaikan diri sebagai janda dan membesarkan anak sendirian.
“Kami berpisah pada pertengahan Februari 1995 dan saya mendapat hak penjagaan Amirul sepenuhnya.
“Selepas diceraikan, bekas suami langsung tidak bertanya khabar Amirul. Jangankan datang menziarah anaknya, nafkah yang dijanjikan jauh sekali,” ujarnya mengimbas kembali kisah silam.
Memang perit membesarkan anak sendirian, namun Mimi berjaya membuktikan.
Pejam celik, sedar-sedar anaknya sudah besar.
Amirul berjaya menamatkan pengajian peringkat ijazah di universiti tempatan .
Dia bekerja dalam industri minyak dan gas di Kuala Lumpur.
Kata Mimi, walaupun Amirul tidak dibesarkan oleh bekas suami, ternyata sedikit sebanyak perangai dan sifatnya mewarisi bapa.
Dia faham bagaimana perasaan Zulaikha selepas mengetahui lelaki disayangi ada wanita lain.
Ini kerana fasa yang dialami menantunya itu pernah dilalui.
Pedih dan sakit
“Sebagai ibu saya hanya mampu menasihatkan Amirul agar tidak meninggalkan Zulaikha dan berlaku adil kepada kedua-dua isteri.
“Namun sehingga ke hari ini saya sendiri tidak dapat mentafsirkan apa yang dikatakan sebagai adil dalam perkahwinan berpoligami,” ujarnya.
Sebelum mengakhiri perbualan lewat petang itu, Mimi berkata, dalam setiap sujudnya tidak pernah putus berdoa agar anak Amirul dapat menjalani kehidupan yang baik.
Sesungguhnya doa ibu termasuk salah satu doa mustajab.
Apabila seorang anak sedang berjuang dalam meniti hidupnya, dengan keredaan ibu, pasti akan memberikan motivasi dan doa.
Sungguh, doa ibu amat dahsyat sekali, sama seperti doa nabi kepada umatnya.
Sebagaimana Rasullullah SAW bersabda: “Doa orang tua untuk anaknya sama seperti doa nabi terhadap umatnya.” (HR Ad Dailami).