Gila kait anak patung comel

Gila kait anak patung comel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEBAH, katak, arnab, kucing, lembu dan itik merupakan antara binatang peliharaan wanita berasal dari Kuala Lipis, Pahang ini.

Tetapi, kesemua haiwan itu tidak diletakkan di dalam sangkar atau kandang, sebaliknya ditempatkan di atas meja.

Sebenarnya, ia bukanlah haiwan sebenar, tetapi anak patung yang dihasilkan secara kait oleh Nur Alia Syafiqah Mohd. Noor, 29.

Katanya, penglibatan dalam hobi itu bermula sejak tiga tahun lalu, setelah berhenti kerja di ibu kota dan pulang ke kampung.

Jemu tidak berbuat apa-apa di rumah, masa terluangnya kemudian dimanfaatkan dengan mengait.

Ia bertitik tolak daripada dorongan arwah ibu, Zalinah Adnan yang mahir membuat seni kraftangan itu terutama alas meja dan topi bayi.

“Hampir setahun saya duduk sahaja di rumah dan sepanjang tempoh itu juga berkali-kali emak pesan supaya belajar mengait.

“Walaupun dari kecil tengok emak bergelumang dengan hobi itu tetapi saya tidak berminat untuk membuatnya, sampailah pada satu hari, hati tiba-tiba terbuka mahu belajar.

“Hasil berguru dengan emak, saya boleh menguasai asas-asas mengait dalam masa empat bulan sahaja,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Antara barangan yang dihasilkan di peringkat permulaan itu adalah topi dan beg.

Keseronokan dan keterujaannya makin bertambah apabila mendapat pujian daripada kenalan di laman sosial.

“Pada awalnya saya sekadar muat naik gambar di Instagram untuk kenangan dan tidak sangka ada yang berminat menempah.

“Cuma, bukan beg atau topi yang dimahukan mereka, tetapi anak patung dan jambangan bunga,” katanya yang berusaha mempelajari teknik pembuatan barangan itu menerusi video Youtube.

Malah, inspirasi rekaan turut diperolehi daripada laman itu dan Instagram.

Sehingga kini lebih 100 produk yang dihasilkan Nur Alia Syafiqah sudah terjual menerusi platform Instagram dan TikTok, The Studio Behbee Co.

Baginya, mengait bukan hobi yang susah jika seseorang dapat menguasai kemahiran asas di samping perlu kerap berlatih sehingga kaitan kemas.

Muka paling susah
Untuk menyiapkan anak patung bersaiz dua inci, lepasan diploma hotel dan katering, Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) ini memerlukan masa selama dua minggu.

Manakala anak patung sebesar 12 inci pula boleh disiapkan dalam tempoh kira-kira sebulan.

Masa yang panjang itu diperuntukkan bagi memastikan hasil akhir yang sempurna dengan kaitan kemas tanpa cacat cela.

Kata Nur Alia Syafiqah, bahagian paling susah untuk dihasilkan ialah muka haiwan-haiwan terutama hidung, mata, mulut dan telinga.

“Pernah sehingga empat kali saya ubah jahitan pada muka anak patung sebab senget.

“Selagi hasilnya tidak sempurna, terpaksalah buka dan jahit semula berkali-kali sampai puas hati,” katanya.

Ujarnya, mengait anak patung lebih sukar berbanding membuat jambangan bunga.

Atas faktor itu, anak-anak patung yang dijual adalah seperti yang dipaparkan dalam katalog sahaja.

Katanya, tempahan khas tidak dibuat kerana bimbang jika hasil kurang kemas berikutan masih baharu dalam bidang itu.

“Selain itu, saya juga tidak ambil banyak tempahan bagi menjamin kualiti dan kekemasan.

“Jika tergesa-gesa mahu siap, hasilnya tidak akan jadi cantik,” katanya.

Setelah siap, anak patung tersebut dilayurkan di atas api agar benang tidak mudah berbulu.

Harga anak patung haiwan dan jambangan bunga bermula dari RM20 hingga ke lebih RM100.

Kini, pelanggan Nur Alia Syafiqah meliputi sehingga ke Sabah dan Sarawak.

Tempahan paling kerap diterima adalah ketika musim graduasi atau konvokesyen di samping untuk kejutan hari lahir.

Dalam pada itu, katanya, peralatan yang diperlukan untuk hobi itu ialah benang kapas bersaiz tiga dan lima lapis, benang baldu, jarum kait, kapas fiber, jarum tapestry, mata, gam dan dawai bunga.

“Mungkin ada yang risau tentang kos, tetapi ia tidaklah semahal hobi-hobi lain.

“Bagi saya, berbaloi untuk seseorang berjinak-jinak dengan mengait anak patung kerana ia boleh dibuat di mana-mana dan pada bila-bila masa,” katanya.

Tutorial, jual pola
Dalam lima adik-beradiknya, hanya anak bongsu ini yang mewarisi minat arwah ibu mereka.

Nur Alia Syafiqah lega kerana sempat menuntut ilmu tersebut sebelum ibunya meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang pada Oktober
tahun lalu.

Bagi mengembangkan lagi sayap dan potensinya, pelbagai perancangan jangka pendek dan panjang sudah diatur.

Dalam tempoh jangka pendek, wanita ini giat mengumpul pola jahitan anak patung untuk dijual kepada orang ramai.

“Jika tiada aral, insyaAllah tahun depan ia boleh direalisasikan kerana saya masih dalam proses merangka dan menyiapkan pola.

“Selain itu, saya juga sedang mengumpul bahan untuk kandungan tutorial mengait secara live di laman sosial,” katanya.

Manakala untuk perancangan jangka panjang, wanita ini mengimpikan membuka studio kait yang dilengkapi kedai kopi.

Ia secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai golongan muda untuk menceburi bidang kaitan.

“Bagi saya semua orang patut memiliki hobi bagi mengisi masa lapang mereka dan untuk kepuasan diri.

“Usah pedulikan pandangan orang apakah kraf kita cantik atau tidak, kerana dalam 10 orang pasti ada separuh yang akan membencinya.

“Jangan takut untuk mencuba dan tumpukan fokus pada hobi anda,” katanya.

===

===

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN