PEWARIS L’Oréal, Françoise Bettencourt Meyers menjadi wanita pertama mengumpul kekayaan berjumlah AS$100 bilion (RM463.59 bilion) dalam ranking terbaharu individu terkaya di dunia.
BBC melaporkan, kekayaan Bettencourt Meyers, 70, yang dicatatkan pada Indeks Bilionair Bloomberg itu menjadikan wanita itu, individu ke-12 terkaya di dunia.
Empayar kecantikan Perancis yang diasaskan oleh datuknya, Eugène Paul Louis Schueller berada di landasan untuk prestasi terbaik di pasaran saham sejak beberapa dekad lalu.
Saham L’Oréal meningkat ke paras tertinggi di Paris, pada Khamis lalu.
Bagaimanapun, nilai harta dimiliki wanita itu masih jauh dibandingkan bilionair Perancis, Bernard Arnault, yang berada di tempat kedua dalam senarai itu dengan nilai bersih kekayaan AS$179 bilion (RM822.5 bilion).
Arnault merupakan pengasas LVMH, kumpulan mewah terbesar di dunia yang memiliki portfolio jenama mewah termasuk Fendi dan Louis Vuitton.
Bettencourt Meyers kini menyandang jawatan naib pengerusi lembaga pengarah Kumpulan L’Oréal.
Beliau dan keluarganya merupakan pemegang saham tunggal terbesar L’Oréal dengan kepentingan sekitar 35 peratus.
Beliau menjadi pewaris L’Oréal pada tahun 2017 selepas ibunya, Liliane Bettencourt meninggal dunia pada usia 94 tahun.
Liliane yang dinobatkan sebagai orang terkaya Perancis, mengekalkan hubungan rapat dengan pemimpin Perancis dan sering mendapat perhatian media.
Ketika tahun-tahun akhir kehidupannya, Liliane dilaporkan pernah terpalit dengan pergaduhan dengan anak tunggalnya, Bettencourt Meyers.
Perselisihan dua beranak itu tercetus selepas Bettencourt Meyers menuduh seorang jurugambar dan sosialit mengambil kesempatan atas kelemahan mental ibunya ketika itu.
Pada 2011, mahkamah Perancis memutuskan bahawa Liliane mempunyai demensia dan memberikan Bettencourt Meyers kawalan ke atas kekayaan dan pendapatannya.
Sementara seorang lagi ahli keluarga ditugaskan menjaga kesihatan dan fizikal Liliane.
Bettencourt Meyers juga berkhidmat sebagai presiden yayasan dermawan keluarganya, yang menggalakkan kemajuan Perancis dalam sains dan seni.
Beliau dikatakan lebih mengutamakan privasi daripada menghadiri acara sosial yang sering dikunjungi oleh kebanyakan golongan elit.
Wanita pendiam itu lebih gemar bermain piano selama beberapa jam sehari dan pernah menulis dua buah buku mengenai kajian Bible dan salasilah tuhan Yunani.
Beliau berkahwin dengan ahli perniagaan, Jean-Pierre Meyers dan dikurniakan dua anak.
“Beliau benar-benar hidup di dalam kepompongnya sendiri.
“Beliau lebih gemar menghabiskan masanya dalam lingkungan keluarganya sendiri,” kata Tom Sancton, yang mengarang buku The Bettencourt Affair. – AGENSI