Seorang wanita Sazlina Kamaralzaman membangunkan khidmat peneman, Jom Makcik sejak 2018.
Ia menyediakan perkhidmatan menemani individu yang memerlukan. Contohnya menemani ibu dan ayah kita yang sudah tua untuk urusan ke klinik, pejabat pos atau segala urusan yang perlu keluar dari rumah. Peneman terdiri daripada wanita yang dinamakan Adinita.
Katakanlah permohonan cuti kita tak lulus dan tidak dapat menemankan ibu dan ayah untuk ke klinik, Adinita inilah yang akan membantu dalam urusan menjemput, sekaligus menghantar ibu dan ayah kita balik ke rumah, usai segala urusan yang diamanahkan.
Apa yang cuba saya sampaikan ialah bagaimana Sazlina, Lulusan Sarjana Sains Rehabilitasi dari University of Nottingham, United Kingdom ini bijak mencari peluang dalam kita mungkin tidak tahu membaca situasi.
Bukan semata-mata membantu orang lain, tetapi turut memberi sumber kewangan kepada lebih 500 Adinita yang berdaftar menerusi Jom Makcik.
Situasi negara menua dipandang pada sudut peluang yang boleh diubah kepada sumber kewangan.
Bertuahlah kalau ada jiran tetangga yang boleh membantu, namun sampai bila?.
Wang sagu hati yang kita hulurkan atas bantuan dilakukan itupun, entah sepadan atau tidak dengan tenaga yang mereka berikan.
Saya kira negara memiliki ramai bijak pandai seperti Sazlina dan mahu menjana keuntungan daripada persekitarannya, tetapi tidak tahu mahu bermula dari mana.
Apatah lagi perkhidmatan baharu ditawarkan itu, sudah tentu berdepan banyak rintangan pada awal kemunculannya, khususnya daripada segi kepercayaan.
Jepun, negara yang sentiasa bersedia termasuk menerima status negara menua. Selain kemajuan teknologi itu dan ini yang sudahpun dinikmati oleh warga emasnya, negara turut mencari cara mendatangkan keseronokan dan ketenangan minda dalam kalangan orang tua.
Sebuah pusat jagaan warga emas di selatan Jepun dilaporkan ‘mengupah’ beberapa orang bayi bagi menemani dan menceriakan penghuni di pusat berkenaan.
Rekrut di pusat jagaan terletak di Kitakyushu itu haruslah bayi dan kanak-kanak bawah usia empat tahun.
Ramai kanak-kanak bergaul dengan penghuni pusat jagaan warga emas malah mereka sudah seperti datuk nenek dan cucu sebenar.
Data Banci Penduduk dan Perumahan 2020, peratus penduduk Malaysia berumur 60 tahun dan ke atas meningkat daripada lapan peratus (dua juta) pada 2010 kepada 10.4 peratus (3.4 juta) pada tahun 2020.
Malaysia turut mencatatkan peningkatan jangka hayat kepada 75.6 tahun pada tahun 2020 berbanding 63.6 tahun pada tahun 1970.
Carilah solusi mengikut acuan negara kita sendiri. Sampai bila kita nak ikut-ikut cara orang dari negara lain yang budayanya sah-sah tak sama dengan kita.
Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia.