SOALAN
Hidup berumahtangga, kadang-kadang hati terasa berbolak balik. Bagaimana cara memperbaharui kasih sayang dalam rumahtangga untuk kekal sehingga akhir hayat?
Rashid, Sepang
JAWAPAN
Rumahtangga bahagia bermula daripada perasaan kasih dan sayang antara pasangan tanpa syarat. Mereka saling memberi sokongan dan mencintai antara satu lain. Walaubagaimanapun, dalam mengharungi kehidupan berumahtangga, sudah pasti akan ada onak duri yang harus ditempuhi.
Mempertahankan rumahtangga cabaran besar bagi setiap pasangan. Namun pasangan perlu mengharungi setiap cabaran dengan hati terbuka kerana ketenangan dalam rumahtangga, tidak akan hadir tanpa usaha keras untuk memperolehinya. Berikut antara cara mencipta kebahagian dalam rumahtangga:
Menghormati pasangan – Siapapun pasangan anda, pastikan, raikan mereka. Sebesar mana jawatan kalian diluar sana, pastikan apabila tiba dirumah kalian menjadi pasangan suami isteri yang saling menghormati antara satu sama lain.
Zero perbandingan dalam rumahtangga – Bahagia keluarga bergantung pada setiap pasangan. Elakkan membuat perbandingan dengan memuji keluarga orang lain melebihi keluarga sendiri. Cipta sendiri kebahagiaan keluarga.
Sentiasa beri pujian dan ucapan baik kepada pasangan – Selalulah memberi penghargaan kepada pasangan dengan ucapan seperti, ‘Terima kasih abang’, ‘Sedapnya masakan sayang’. Walaupun ayatnya simple, tetapi dengan satu ucapan pasti dapat memberi kebahagiaan kepada pasangan anda.
Jangan beri kritikan keterlaluan – Makin lama bersama pasangan, pasti semakin banyak kekurangan ditemui. Justeru, belajar bersama-sama memperbetulkan kekurangan. Elakkan memberi kritikan tanpa jalan penyelesaian sehingga menguris hati pasangan.
Jangan menegur pasangan di hadapan anak-anak – Lumrah berumahtangga, sesekali pasti ada situasi yang tidak menyenangkan anda atau pasangan. Marah atau geramnya anda, elakkan menegur di hadapan anak-anak kerana perbuatan itu seolah-olah anda tidak menghormati pasangan dan boleh menyebabkan anak-anak hilang hormat.
Tidak mengungkit kisah silam – Setiap pasangan pasti ada pengalaman pahit tersendiri. Belajar untuk memaafkan dan berazam memulakan hidup baru. Kalian berhak untuk hidup bahagia, kisah silam yang menyakitkan tidak dapat mengubah masa depan sekiranya anda masih terus berdendam.
Terima keluarga pasangan – Baik buruk keluarga masing-masing raikan bersama. Jika terdapat konflik dalam keluarga sebelah suami atau isteri, pastikan kalian saling memberi sokongan kerana tiada siapa yang dapat menyelamatkan rumahtangga anda tanpa sokongan daripada kalian sendiri.
Mendekatkan diri dengan Allah – Sentiasa mendekatkan diri dengan Allah. Perbanyakkan aktiviti bersama keluarga agar dapat mengeratkan hubungan yang baik antara satu sama lain.