DIIKTIRAF antara 10 Artis Muda Cemerlang Malaysia 2015 seawal usia 20 tahun bukanlah satu pencapaian yang diraih dalam sekelip mata sementelah ia menuntut banyak keringat dan pengorbanan.
Antara tuah dan nasib baik, Fong Yeng Yeng antara yang saya lihat, memiliki semua itu.
Graf kerjayanya sentiasa menunjukkan peningkatan sejak sembilan tahun membabitkan diri sebagai pelukis seni halus akrilik.Kesungguhannya
menampilkan kelainan dalam karya seni mendapat perhatian dalam kalangan peminat seni lukisan.
Setiap ‘air tangan’ Yeng Yeng memiliki keunikan tersendiri kerana beliau menggunakan teknik yang berlainan daripada pelukis akrilik lain.
Pelukis akrilik kebiasaannya akan menggunakan teknik akrilik tetapi beliau gemar menggunakan teknik cat air.
“Maknanya saya guna cat akrilik tetapi saya aplikasikan ia ke kanvas dengan menggunakan teknik cat air.
“Sebab saya lebih suka main effect yang membuatkan boleh nampak perkara yang ingin ditonjolkan dalam lukisan walaupun ia bukan abstrak.
“Sebab itu ramai yang melihat lukisan saya, mengatakan ia ibarat pertengahan di antara abstrak dan realiti,” kongsinya kepada Seri sewaktu saya bertemunya baru-baru ini.
Tuah masih sahaja mengiringi perjalanan kariernya, apabila ditawarkan menjadi pensyarah di Malaysia Institute of Art (MIA) selepas menghabiskan pengajian diplomanya dalam bidang seni halus.
Peluang menjadi tenaga pengajar bagaikan bulan jatuh ke riba kerana memberi satu pencapaian baharu kepada dirinya.
“Selepas tamat pengajian diploma saya memulakan kerjaya sebagai pensyarah di MIA.
“Tetapi kemudian saya terfikir saya mahu menjadi pekerja atau mahu menjadi seorang artis.
“Akhirnya, saya membuat pilihan untuk menjadi artis dan berhenti kerja,” katanya yang kini menyambung pelajaran peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Sudah pasti, keputusan untuk sambung belajar dalam bidang seni halus itu datang daripada keinginannya sendiri bagi meningkatkan
kemahirannya.
Beliau percaya, setiap minat yang disertakan dengan ilmu tidak akan pernah sia-sia.
Memilih haluan sebagai artis seni halus akrilik menuntut semangat yang kental dalam diri wanita berusia 29 tahun ini.
Si cantik manis yang murah dengan senyuman ini berkata, sebagai seorang yang mendedikasikan diri sepenuhnya kepada karya seni, beliau perlu
terus berjalan menongkah arus dalam dunia sebagai pengkarya.
“Tidak boleh sesekali berputus asa dan perlu terus kekal kreatif mencurah idea kepada ruang kanvas.
“Tidak boleh berhenti dan perlu kuat menghadapi kehidupan pemandiri kerana saya adalah artis seni freelance,” katanya.
Beliau yang menjana pendapatan melalui karya seni berkata, dalam dunia berkenaan, bukanlah soal pendapatan sahaja dititikberatkan, sebaliknya perlu sentiasa kreatif untuk terus relevan dalam berkarya.
“Saya gembira apabila mendapat projek-projek seperti lukisan mural dinding dan sebagainya kerana ia adalah satu kepuasan bagi saya.
“Bagi saya, jika bercakap soal pendapatan, setakat ini semuanya okay sahaja. Fokus saya lebih kepada untuk terus meningkatkan kualiti kerja,” jelasnya.
Bukan tidak pernah mencuba kerjaya lain, namun Lulusan Diploma Seni Halus dari itu tidak lari daripada ‘cengkaman’
seni.
Mula memegang berus lukisan seawal usia lima tahun membuatkan beliau mempunyai minat mendalam dalam bidang tersebut.
IMBAS NOSTALGIA LALU
Jika diteliti, lukisan Yeng Yeng banyak berkisar mengenai keindahan negeri Pulau Pinang.
Mengulas mengenai perkara itu, kata anak tunggal itu, pulau mutiara menjadi inspirasi dalam setiap lukisan kerana ia adalah kampung kedua-dua orang tuanya.
Kenangan kegembiraan tatkala pulang ke kampung di zaman kecil, kekal terpahat di kotak memori menjadikan beliau mahu mengabadikan kenangan itu dalam karya seni.
“Semua idea lukisan saya adalah daripada memori masa kecil ketika saya pulang ke kampung ibu dan ayah di Pulau Pinang.
“Daripada situ saya rasa terilham untuk menceritakan keindahan dan warisan yang berada di negeri itu,” katanya.
Malah, kreativitinya dalam ‘menghidupkan’ kecantikan dan seni budaya di negara ini berjaya membawa dirinya ‘terbang’ ke luar negara.
Beliau berjaya membawa hasil seninya ke beberapa buah negara Asia seperti China, Indonesia, Thailand dan juga akan datang, Filipina.
“Kerana lukisan saya mengetengahkan keindahan Malaysia, saya berpeluang menyertai beberapa pameran secara berkumpulan di luar negara.
“Ia pengalaman yang menarik kerana melancong adalah aktiviti kegemaran saya. Dengan melancong saya dapat melihat seni budaya dan keindahan negara lain juga,” jelasnya.
Setakat ini, sepanjang sembilan tahun berkarya, Yeng Yeng sudah menyertai hampir 54 pameran secara berkumpulan. Mengenai perancangan
mengadakan pameran solo, katanya ia memang menjadi impian terbesarnya selama ini.
Malah beliau turut meletakkan sasaran untuk mengadakan pameran solo sebelum menjengah ke usia 40.
Usia lima tahun masuk kelas seni
MENGGAPAI impian sejak kecil untuk bergelar pelukis tidak mungkin terlaksana tanpa sokongan padu kedua ibu bapanya.
Walaupun ibu bapanya lebih terarah ke bidang perniagaan, namun mereka sedikitpun tidak pernah membantah atau menghalang minat anak
tunggal mereka itu.
Malah, apabila dia mula menunjukkan minat melukis seawal umur tiga tahun setiap kali mendapat pensel, ibunya mendaftarkan beliau ke
kelas seni pada usianya seawal lima tahun.
“Saya seorang saja yang minat seni dalam keluarga ini tetapi ibu bapa tidak halang. Mereka masukkan saya ke kelas seni untuk
belajar melukis.
“Sehinggalah saya selesai menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan saya buat keputusan untuk sambung pelajaran dalam bidang seni halus.
“Mereka menyokong saya sehingga ke hari ini. Setiap kali saya ada pameran lukisan berkumpulan mereka pasti datang untuk memberikan
sokongan moral,” katanya sambil tersenyum