Tak tahu siang ikan pun nak kecoh...

Tak tahu siang ikan pun nak kecoh…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU tidak kerana jurukamera fokus pada teknik menyiang ikan dua pengacara wanita jelita dalam siaran langsung sebuah program TV, tidaklah netizen bergaduh pasal isu wanita tak pandai siang ikan.

Biarpun dua pengacara berkenaan sudahpun memberikan reaksi, tetapi gaduh dalam kalangan warganet bagaikan belum surutnya.

Bila baca bahagian komen di media sosial, ramai pula yang sebenarnya cuba mengaitkan situasi tidak pandai siang ikan itu, sebagai itulah kualiti wanita yang kita ada hari ini.

Sangat tidak adil kerana pandangan diberikan seolah-olah menegaskan individu bergelar wanita itu, perlu tahu buat kerja rumah.

Memasak, mengemas rumah atau serba serbi kena tip top sebelum layak diiktiraf sebagai wanita berkualiti. Amboi!.

Sebetulnya bukan semua daripada kita makan ikan bersaiz besar. Kalau besar sekalipun boleh dapatkan khidmat siang ikan yang diberikan secara percuma. Kan bijak tu?

Bayangkan kalau yang menyiang ikan itu pengacara lelaki? Adakah komen sama akan diberikan? Entah-entah, situasinya juga sama, terkial-kial. Maklumlah wanita selalu menang, pantang ada yang silap sikit, mulalah nak membahan.

Nampaknya mentaliti masyakat kita masih tidak berubah terhadap wanita. Hal remeh yang sibuk diperbesarkan, sedangkan banyak lagi perkara penting lain seperti pencapaian mereka ungguli, dipandang sebelah mata.

Janganlah stereotaip kerana kalau tak tahu, boleh belajar dan jika ada kelemahan jangan memburukkan keseluruhan wanita.

Saya kira, sebahagian ramai wanita, khususnya yang mula melangkah ke gerbang perkahwin, bukan saja siang ikan kekok, basuh daging dan ikan pun tak berapa nak bijak.

Itu belum lagi masuk part memasak. Memang skill tu tumpul. Tetapi suamilah yang tunjuk ajar. Yang penting kita sanggup belajar. Bukan semua benda, buka-buka mata terus pandai.

Tak tahu siang ikan pun nak kecoh?’ Kenapa tidak kecohkan soal lelaki yang tidak liat bantu isteri di dapur, bukankah tugas berkenaan tertanggung di bahu suami?

Untuk saya, sejak lebih 20 tahun lalu, memang suami yang tugasnya ke pasar dan basuh siap-siap bahan mentah.

Dah siap barulah isteri masak. Kan senang bila ada pembahagian dalam rumahtangga? Bukannya semua di lambakkan kepada isteri dan isteri yang tidak ada ilmu, jadi pak turut sahaja.

Maka kitaran itu akan berterusan dilakukan anak-anak mereka nanti. Memang tidak patut.

Tahun 2023 melabuhkan tirainya. Selamat datang 2024. Berazamlah kepada sesuatu yang realistik dan mampu dicapai, sebab kalau tidak tercapai kita yang akan rasa kecewa.
– Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya