Mengejar cita-cita dan minat dalam satu masa yang sama bukan perkara yang mudah.
Namun, kembar pelari pecut negara, Zaidatul Husna Zulkifli dan Zaidatul Husniah Zulkifli membuktikan dengan keazaman tinggi, tiada
yang mustahil walaupun terpaksa menempuh laluan berliku.
Berkorban demi secebis ilmu
Sembilan tahun! Itu tempoh masa yang diambil oleh Husna (kakak) dan Husniah (adik) demi menggenggam segulung ijazah.
Walaupun sudah berjaya menempa nama dalam arena sukan negara dengan Husniah sudahpun memegang takhta sebagai Ratu Pecut Negara, namun kedua beradik kembar ini tetap tidak memandang enteng terhadap akademik.
Malah, mereka berdua juga berjaya menghabiskan pendidikan di peringkat tinggi itu bersama-sama dalam sebuah majlis Konvokesyen
yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang baru-baru ini.
Biarpun lambat lima tahun daripada tempoh masa sepatutnya, namun atlet kelahiran negeri jelapang padi itu punya alasan tersendiri.
Kata Husniah yang juga merupakan graduan Ijazah Sarjana Pendidikan Jasmani UPM, dia terpaksa mengorbankan pengajian selama tiga tahun atas tuntutan menjalani latihan di luar negara.
“Pada tahun 2017, 2018 dan 2020 saya terpaksa menangguhkan pengajian sementara kerana perlu menjalani latihan di luar
negara.
“Bukan mudah sebenarnya hendak bahagikan masa antara belajar dan bersukan tetapi saya tetap mahu habiskan
(pengajian) sebab saya rasa rugi dan penat lelah tidak terbayar jika berhenti separuh jalan,” katany kepada SERI.
Mempunyai pandangan sama, Husna juga berpendapat menghabiskan pengajian adalah tanggungjawab mereka sebagai
anak.
“Ibu dan ayah meletakkan harapan tinggi kepada kami sebagai anak tunggal mereka untuk melihat kami berjaya dalam kehidupan kelak.
“Sampai bila kami hendak berlari (bersukan)? Kami mungkin tidak larat hendak berlari untuk selama-lamanya, namun ilmu dan pendidikan itu yang akan kami pegang selama-lamanya,” katanya yang juga merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Sumber Manusia universiti sama.
REZEKI SELEPAS TUNAI HASRAT BAPA
Tambah Husniah, mereka meluangkan masa selama tiga jam setiap hari untuk berlatih dan bersukan malah perlu memperuntukkan
lebih masa sekiranya bakal menghadapi kejohanan.
Stamina, kesihatan dan pemakanan sentiasa dipantau dengan rapi bagi membolehkan mereka beraksi denganm cemerlang.
Biarpun penat dan adakalanya seakan mahu berputus asa, namun tatkala terbayangkan wajah bapa, Zulkififli Hassan dan ibu, Zalimah
Ibrahim , semangat yang hampir terlucut kembali semula.
“Kami mula-mula masuk ke dalam bidang sukan ini pun kerana atas permintaan ayah yang mahu melihat kami berjaya dalam hidup.
“Ketika usia 13 tahun ayah mendaftarkan kami di sekolah sukan di Pulau Pinang kerana ayah yakin melalui sukan bukan sahaja akan bantu kami ke universiti, malah boleh mencapai sesuatu yang lain.
“Berkat kepercayaan ayah kepada kamilah yang menjadikan siapa kami pada hari ini. Sehingga hari ini ayah dan ibu tidak pernah putus memberikan sokongan terhadap kami,” jelasnya.
Celah Husna, walaupun pada awalnya ibu agak tidak gemar dengan pembabitan mereka dalam sukan kerana mahu lebih fokus kepada pendidikan, namun sokongan kuat daripada bapa mencairkan hati ibu mereka.
“Kini, kami berikan keduaduanya. Kami ada pencapaian dalam sukan dan juga ada segulung ijazah untuk dihadiahkan pada ibu dan
ayah,” katanya yang menambah bapanya yang merupakan pesara tentera juga turut aktif dalam sukan suatu ketika dahulu.
Ditanya adakah pernah timbul perasaan bersaing sesama sendiri, kata Husna perasaan itu hanyalah di trek olahraga.
“Setiap orang sudah pasti mahu melakukan yang terbaik, begitu juga kami. Tetapi kami bersaing secara sihat. Siapa yang menang pun tak apa kami akan raikan kerana kami darah daging,” ujarnya.
RANCANG MASA DEPAN
Selain aktif di padang, kedua atlet yang berusia 30 tahun ini juga giat merancang masa depan mereka.
Merancang untuk bersara dalam tempoh beberapa tahun lagi, kata mereka, dengan ijazah yang dimiliki memudahkan mereka untuk membina kerjaya dalam bidang profesional.
Bagi Husniah, dia memilih untuk menjadi guru pendidikan jasmani sementelah kemahiran itu sudah dipelajari sewaktu
di universiti.
Pemenang Pingat Perak Sukan SEA 2017 itu yakin dengan pengalaman dan ilmu yang dimiliki itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk generasi muda.
“Memandangkan saya ambil jurusan pendidikan jasmani jadi saya memilih profesion sebagai guru selepas bersara nanti,” jelasnya.
Tambah suri hati kepada atlet Olahraga, Firdaus Mazalan ini juga, dia mahu membina keluarga selepas bersara dalam bidang
sukan.
Meskipun perkahwinan yang dibina telah berusia tiga tahun, namun sehingga kini pasangan atlet itu belum memikirkan soal zuriat.
“Buat masa ini belum (zuriat) kerana perlu fokus dalam sukan. Inshaa-Allah selepas bersara nanti saya akan mula tumpukan perhatian untuk membina keluarga pula,” katanya lagi.
Bagi Husna pula, dia mahu membina kerjaya selari dengan jurusan yang diambil di universiti iaitu menjadi pegawai pusat sukan atau yang setara dengannya.
PUNYA CITA RASA SAMA
Pertemuan kami pada petang itu di Petaling Jaya, Selangor tidak kering gusi memandangkan kedua kembar ini gemar berseloroh.
Dengan loghat utara dan sikap bersahaja, dapat dilihat mereka memiliki personaliti yang seakan sama. Iyalah, nama pun kembar.
Hanya berbeza 15 minit waktu kelahiran, kata kembar seiras ini mereka punya cita rasa yang serupa dari segi berpakaian dan minat.
“Jika berkelapangan dan ada waktu senggang, kami gemar menghabiskan masa bersamasama dengan mencuba pelbagai makanan tular.
“Walaupun nampak kurus begini tetapi kami berdua sebenarnya suka makan dan mencuba makanan-makanan baharu. Bak kata orang, food
hunting,” kata Husna yang pernah memenangi pingat Gangsa Asean University Games Myanmar.