‘Kenapa Pak Cik tu bertekak ramai-ramai?’ - Utusan Malaysia

‘Kenapa Pak Cik tu bertekak ramai-ramai?’

SUMBER INTERNET.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Persidangan Dewan Rakyat yang lepas-lepas dan yang baru saja lepas iaitu, 30 November lalu, yang paling anak buah saya ingat ialah sesi ‘memekak’.

Lagi-lagi dalam kalangan usia kanak-kanak sekolah rendah, yang kerjanya berkepit dengan mak. Apa bahan yang ditonton mak, anak akan ikut menontonnya.

Saya pernah berpesan kepada kakak saya, tak tonton tak mengapa, ikuti sahaja laporannya di akhbar utama seperti Utusan Malaysia, yang memang ada ruang khusus untuk itu.

Banyak update kami laporkan untuk berita yang memberikan kepentingan kepada rakyat. Katanya ‘drama’ itulah penyedap dan sebab itulah juga mendorong orang nak tengok siaran langsung.

“Kita boleh perhatikan gelagat masing-masing. Nanti kita tahu mana satu nak pangkah,” kata Normah tersengih-sengih mengingatkan beberapa ‘insiden’ pertikaman lidah antara YB menegakkan hujah masing-masing tentang sesuatu isu.

Normah sendiri mengakui, sebenarnya dalam banyak-banyak hujah, drama lebih diingati daripada bahan dibentangkan.

“Tak penat ke tengok. Kasihan Speaker nak mengawal ahli-ahli parlimen untuk tunduk patuh pada teguran?,” kata saya dan pantas di jawab Mina, “Kan aunty, Pak Cik tu tak penat ke bertekak,” sampuk Mina yang menyebabkan kami bertiga ketawa besar dengan rujukan gelaran diberikan Mina itu. Lucu rasanya tetapi itulah, budak memang jujur kalau bercakap.

Normah dan anaknya Mina yang saya kira baru berusia enam tahun, bolehlah melayan sebab bekerja dari rumah. Nak gelak besar berdua di rumah pun boleh, tiada siapa yang larang.

Kalau macam saya dan orang lain yang bekerja di pejabat dan tercogok depan TV atau PC, jawabnya, terbengkalailah tugas hakiki.

Namun bila menyaksikan banyak drama, termasuk isu bahasa kesat dan ketidakhadiran ke Parlimen, saya kira ia eloklah untuk tidak disiarkan secara langsung menerusi kaca televisyen.

Lagipun situasi tidak menyenangkan ini sentiasa berlaku semasa persidangan. Secara peribadi saya naik segan melihat keletah pemimpin pilihan rakyat yang berhujah sedemikian rupa.

Waktu kecil dulu saya seronok menonton Mini Parlimen yang dikendalikan Allahyarham Jamal Muhamad atau lebih dikenali sebagai Pak Cik Jamal di anggotai kanak-kanak yang meniru perbahasan di Parlimen.

Waktu itu, memang saya rasa sangat seronok dan teruja malah turut berimpian untuk berhujah dalam dewan bila dewasa kelak.

Keseronokan itu terhakis jua akhirnya bila hari ini saya lihat peraturan mesyuarat dilanggar dan dicemari dengan pernyataan buruk, menghilangkan adab dan santun seorang pemimpin. Lebih banyak tidak manis dapat disaksikan di situ.

Saya takut sebenarnya seandainya penggunaan bahasa kesat dan situasi berkenaan mempengaruhi generasi akan datang. Bagaimana dengan anda?

Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya