WANITA terutama isteri sentiasa dan tidak pernah putus asa berharap. Ini terutamanya untuk perkara yang baik-baik, kehidupan yang tenang
dan berharap untuk sebuah kebahagiaan dan perubahan yang lebih baik dalam hidup.
Yang pasti mereka bukan berharap kosong, tetapi dengan usaha, doa dan tawakal kepada Allah Taala.
Dalam menanti Allah memakbulkan apa diminta, selagi boleh bersabar, mereka akan terus bersabar.
Sebab itu kenapa setiap kali ada isteri diuji suami berkahwin lagi, masih ramai yang setia dan sanggup mempertahankan rumahtangga dan perkahwinan dibina itu.
Bukan setahun, dua, mahukan sedekad bahkan kesetiaan itu hingga ajal menjemput.
Minggu ini saya kongsikan kisah Airin (bukan nama sebenar) antara isteri yang diuji suami berkahwin lagi.
Walaupun dilukai, dia tetap cuba mempertahankan rumahtangga yang dibina atas dasar cinta itu.
Katanya, dia memang tidak sehebat isteri-isteri lain yang berjaya mempertahankan rumah tangga sehingga akhir hayat, namun tempoh 15 tahun hidup bermadu sudah cukup menguji kesabarannya.
Dia dan bekas suami sah bercerai pertengahan Januari lalu.
“Selama lebih sedekad saya hidup dalam pembohongan. Mulut berkata ya, hati berkata tidak. Orang lihat saya kuat, namun bila sentuh soal hati, hanya mereka yang mengalami akan merasai,” katanya memulakan perbualan dalam pertemuan bersama saya semalam.
Wanita berusia 47 itu bertemu saya untuk berkongsi pengalaman susulan pernikahan kedua pempengaruh media sosial yang sedang hangat dibualkan ketika ini.
Airin mengakui sebab dia terus mempertahankan rumah tangga walaupun terpaksa hidup bermadu ketika itu kerana berasa berhak dan demi anak-anak.
“Sepanjang sembilan tahun berkahwin, saya sudah buat yang terbaik, maka saya berpandangan saya ada hak mempertahankan rumah tangga. Saya tolak tepi dahulu hati dan perasaan yang remuk redam ketika itu,” kata Airin.
Sambungnya, sepanjang perkahwinan beban ditanggung melebihi bebanan bekas suaminya, Kamal (bukan nama sebenar).
Bukan mahu mengungkit, tetapi katanya terlalu banyak pengorbanan dilakukan terhadap lelaki itu.
Bercerita lanjut, kata Airin suami berhenti kerja sebagai salah seorang kakitangan bank ketika usia perkahwinan memasuki dua tahun dan
dikurniakan sepasang anak kembar perempuan.
Bekas suami mahu mengubah angin dengan berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.
Walaupun kurang bersetuju, suami berjaya menyakinkan Airin tentang rezeki diatur Allah.
Namun, nasib tidak berpihak kepada suami apabila perniagaan diusahakan gagal beberapa kali dan terpaksa menanggung kerugian yang bukan sedikit.
Sejak itu, Airin sebagai isteri yang masih bekerja menjadi tempat suami meminta bantuan,
“Apa yang suami minta, semua saya tunaikan. Bukan sahaja buat pinjaman bank untuk bayar hutang, bahkan pinjaman untuk buat modal buka perniagaan baru.
“Belum lagi guna nama untuk pinjaman kenderaan dan rumah. Saya cuba jalankan kewajipan mengikut kemampuan sebagai ibu dan isteri, walaupun tidak sesempurna orang lain,” katanya.
Atas alasan itu jugalah, dia enggan mengalah dan tidak mudah berputus asa untuk perkahwinan suami kali kedua.
“Saya tidak akan sesenangnya membiarkan hubungan yang dibina hancur.
“Bagi saya ketika itu, mempertahankan itu perlu, memperjuangkan untuk hubungan itu juga perlu,” ceritanya lagi.
Kata Airin lagi, antara sebab lain dia mengambil keputusan mempertahankan rumahtangga adalah kerana sayang kepada anak-anak dan keluarga dibina.
Sebelum membuat keputusan diijab kabul dengan lelaki pilihan sendiri itu, Airin sudah berfikir masak-masak, berulang kali, baik buruknya.
“Andai kata ada sesuatu berlaku antara kami, saya kena hadapi, terima dan reda.
“Apabila Allah beri ujian suami berkahwin lagi, saya terpaksa menilai semula. Saya cuba memberi peluang dan tempoh masa yang panjang untuk berdamai dengan diri dan masih meletakkan harapan kerana masih sayangkan suami,” katanya.
Pun begitu, kata Airin hatinya tidak sekuat apa yang dilihat orang lain.
Kata Airin, dia sedar selama ini dia tidak adil untuk dirinya sendiri.
Dia sering utamakan kebahagian orang lain, cuba untuk sukakan orang lain terutama suami sehingga mengabaikan kebahagiaan
sendiri.
Katanya, sepanjang tempoh hidup bermadu juga sudah cukup untuknya mempelajari sesuatu bahawa, tidak perlu menyintai seseorang melebihi diri sendiri.
“Selama ini saya fikir, suami akan lebih menyayangi dan menghargai selepas penerimaan saya terhadap perkahwinan keduanya, namun saya silap.
“Ternyata suami masih meneruskan sikap lamanya. Malah semakin teruk apabila dia seolah-olah mengambil kesempatan terhadap kebaikan saya. Bekas suami melebihkan isteri kedua dan hanya mencari saya di saat-saat dia memerlukan sesuatu, terutama daripada segi
kewangan,” cerita Airin.
Tambah Airin lagi, bukan mudah mengumpul kekuatan untuk beralih status isteri kepada janda.
Namun dia yakin dengan segala apa yang diatur Allah Taala.
Mereka berpisah secara baik dan tiada dendam yang terpendam.
Sesungguhnya, dalam melayari bahtera kehidupan berumah tangga, setiap suami atau isteri wajib berlaku adil kepada pasangan masing-masing dengan melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan sama ada keperluan fizikal atau emosi, nafkah, pergaulan dan sebagainya.
Dalam Surah an- Nisa ayat 19, Allah SWT berfirman bermaksud: Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri kamu itu)
dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (rasa) benci kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah kamu
terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu
kebaikan yang banyak (untuk kamu).