SAYA dapat kepuasan.
Itu reaksi Pengasas bersama Yayasan Chow Kit (YCK) Datuk Dr. Hartini Zainudin sewaktu diajukan soalan mengenai kerja-kerja amal beliau lakukan melibatkan kanak-kanak yang memerlukan di Chow Kit, Kuala Lumpur.
Tambahnya, soalan itu sememangnya sudah acap kali ditanyakan kepada dirinya, lantaran jika difikirkan secara logik, ia bukan sesuatu yang boleh menjana keuntungan.
Sebaliknya beliau mencari kepuasan dalam setiap titik peluh dilakukan demi kebajikan kanakkanak di situ.
“Saya rasa puas bila melihat kanak-kanak gembira dan berasa selamat dengan kemudahan kami sediakan.
“Sehinggakan ada yang tidak mahu pulang ke rumah kerana terlalu seronok dengan aktiviti dan kemudahan kami sediakan di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) di Chow Kit ini. Itu yang saya mahu lihat, anak-anak gembira,” katanya ketika ditemui di PAKK baru-baru ini.
Aktivis kanak-kanak itu sememangnya tidak asing lagi di negara ini, sementelah beliau antara aktif menyuarakan hak dan melindungi kanak-kanak, tidak kira apa jua latar belakang mereka.
PAKK adalah salah satu institusi di bawah YCK yang menjadi tempat persinggahan dan asuhan sementera buat anak-anak di kotaraya itu ketika ibu bapa mereka keluar bekerja.
YCK diasaskannya pada 2007 mendapat kerjasama daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Pusat itu berfungsi sebagai pusat krisis dan drop-in 24 jam yang menyediakan makanan, aktiviti, terapi, pengurusan kes, dan program pendidikan untuk kanak-kanak dan remaja yang berisiko di sekitar kawasan Chow Kit.
Program pendidikan itu disediakan kepada golongan kanak-kanak yang tidak dapat bersekolah di sekolah kerajaan.
Misalnya, kerana ketiadaan dokumen lengkap untuk pendaftaran sebagai warganegara, walaupun lahir di Malaysia.
Malah ada juga dalam kalangan mereka adalah pelarian. Menceritakan kisah kewujudan YCK, kata figura berusia 61 tahun itu, beliau pulang ke Malaysia pada tahun 2001 selepas menamatkan Ijazah Kedoktoran dalam bidang Pendidikan di Columbia University, New York.
Pada waktu itu beliau bercitacita mahu menjadi guru Bahasa Inggeris.
Namun, selepas menjadi sukarelawan untuk sebuah pertubuhan bukan kerajaan, beliau mula mengubah fikiran dan melupakan cita-citanya itu.
“Saya hendak jadi cikgu, tetapi apabila melihat anak-anak di ibu kota ini ada yang tidak makan dan hidup dalam serba kekurangan, saya rasa terpanggil untuk buat sesuatu.
“Daripada situ timbulnya idea untuk membuat satu tempat berteduh dan perlindungan yang akhirnya membentuk YCK.
Setiap kanak-kanak tidak kira latar belakang, akan dijaga, diberi perlindungan dan pendidikan,” katanya.
TEMPAT BERLINDUNG
Walaupun tidak mempunyai zuriat sendiri, ibu tunggal kepada empat orang anak angkat ini tetap mempunyai naluri keibuan
yang mendalam apatah lagi apabila melihat anak-anak kecil yang ‘dahagakan’ perhatian dan sokongan.
“Saya hanya nak memberikan perlindungan yang mereka perlukan. Sediakan keperluan mereka daripada segi tempat untuk makan, mandi dan bersosial dengan selamat.
“Kebanyakan yang ada di sini adalah anak daripada keluarga B40, 40 peratus pelarian dan 60 peratus lagi anak tempatan,”
katanya.
Kasih sayangnya itu bukan sekadar omong kosong, wanita asal Johor Bahru, Johor itu memang benar-benar berjiwa keibuan apabila sering memerah otak walaupun sekadar untuk menghantar selimut dan selipar kepada anak-anak pelarian di pusat transit.
“Pernah suatu ketika di pusat transit tahanan di Nilai, saya mengusahakan satu kontena untuk dibawa masuk demi keselesaan mereka.
“Pada ketika itu, kontena itu tidak dapat melepasi pagar dan saya mencari cara dengan memanggil kren untuk mengangkat kontena itu ke dalam kawasan tersebut.
“Malah, saya juga pergi mencari tuala serta selipar untuk kegunaan mereka supaya anak-anak itu rasa selesa,” ujarnya lagi.
Usaha murni itu sekaligus membuktikan betapa wanita berdarah campuran Melayu dan Cina ini mempunyai jiwa besar terhadap kanak-kanak.
Perkara itu juga jelas dilihat melalui tutur katanya, sementelah pertemuan kami pada petang itu banyak berkisarkan soal anak-anaknya.
UBAH STIGMA NEGATIF
Usahanya selama 16 tahun itu adalah untuk mengubah stigma negatif masyarakat terhadap anak-anak Chow Kit.
Jiwanya yang penyayang, tidak tega melihat insan kecil itu didiskriminasi hanya kerana latar belakang dan asal-usul.
“Kanak-kanak ni, walau dari mana asal-usul mereka, sama ada dari kejiranan kaya atau tidak, mereka tetap kanak-kanak.
“Saya yakin mereka boleh berjaya dan menjadi seseorang yang hebat asalkan ada sokongan dan dukungan,” kongsinya Tegas beliau, setiap anak-anak di bawah jagaanya akan dibantu sedaya-upaya menggunakan sumber-sumber yang ada bagi membentuk generasi masa depan
yang berjaya.
LOKASI LEBIH LUAS
Penerima anugerah Social Activist of the Year 2015 itu, bercita-cita memindahkan institusi mereka ke tempat lebih
besar dan luas.
Beliau mahu menjadikan ia pusat sehenti untuk inovasi sosial, impak dan pelaburan dengan memperkemas programnya selain memberi
tumpuan kepada beberapa tonggak perlindungan sosial.
“Giliran menunggu kanak-kanak yang tidak bersekolah adalah seramai 300 orang, jadi kami memerlukan ruang lebih luas untuk aktiviti dan
pembelajaran yang selesa.
“Kami mengharapkan lebih ramai yang akan menghulur tangan membantu kami untuk membantu anak-anak kecil ini.
“Huluran bantuan diharapkan bukanlah semata-mata wang ringgit, namun sokongan ikhlas yang akan membantu kanak-kanak
membesar dengan baik. Masa depan mereka, bergantung sepenuhnya kepada tindakan kita, orang dewasa,” katanya mengakhiri bicara.