Ruang yang luas dan tidak sarat dengan barang tampak begitu menenangkan.
Itu yang boleh digambarkan mengenai kediaman milik Rashima Sharudin yang ditatarias menggunakan konsep moden dan minimalis.
Setiap ruangan disusun atur dengan penuh teliti berteraskan konsep kesederhanaan sekaligus menjadikan kediaman yang dihuni bersama anak dan suami itu kelihatan sungguh mendamaikan.
Perabot yang minima kemudian dipadankan pula dengan rona dinding cerah menyejukkan pandangan mata.
Katanya, konsep minimalis menjadi pilihan kerana ia menekankan kesederhanaan selain rekaan hiasan dalaman itu juga memercikkan ketenangan.
“Selain itu, rumah nampak rumah lebih luas dan bersih.
“Dengan tidak terlampau banyak perabot dan barang-barang perhiasan, kerja-kerja mengemas rumah jadi mudah dan cepat,” katanya kepada Seri.
Konsep berkenaan turut memudahkannya menjalankan kerja-kerja pembersihan rumah dan menjadikan kediaman sentiasa kelihatan bersih.
Tambahan pula ketika ini kehadiran pelbagai alat cucian canggih sangat memudahkan kerja-kerja pembersihan di rumah.
Rumah teres dua tingkat dengan keluasan 20×60 itu juga dihiasi dengan elemen-elemen dekorasi yang sederhana dari rona cerah serta perabot dari rona sama.
Hanya sedikit penambahan warna daripada pokok hiasan, sudah mampu menonjolkan reka bentuk hiasan berkenaan memandangkan latar belakang terdiri daripada warna neutral.
Sedikit permainan warna dapat dilihat di bahagian dapur yang diselitkan sedikit rona keemasan pada backsplash tempat memasak dan paip singki.
Gabungan rona keemasan dan putih itu membantu menaikkan konsep moden namun masih mengekalkan kesederhanaan.