SINDROM lupa atau forgotten baby syndrome bukan perkara yang boleh dibuat-buat. Memang kalau dah namanya lupa, memang benar-benar tak ingat.
Selain kepenatan dengan menjalani rutin harian, wanita lepas bersalin khususnya, antara yang paling berisiko mengalaminya. Lebih-lebih lagi bagi wanita yang melalui proses pembedahan sewaktu melahirkan bayi.
Ini berdasarkan pengalaman saya sendiri dalam melalui empat kali proses bersalin secara pembedahan.
Memang betul ya, barangkali kesan ubat bius dan pelbagai jenis ubat dan gas kita perlu sedut, ia menganggu tubuh kita beroperasi dengan lancar.
Kalau tidak masakan kes tertinggal anak dalam kenderaan akibat lupa masih lagi berlaku hingga ke hari ini. Malah semakin banyak pula kes sebegini dilaporkan dalam akhbar.
Biarpun ada akta yang boleh disabitkan dengan kecuaian pelaku, namun adilkah kepada keluarga, lebih-lebih lagi apa yang dianggap sebagai kecuaian itu, sebenarnya boleh kita hindari sekiranya kita berusaha mencari jalan penyelesaian.
Kalau wanita dan ibu disabit dengan kecuaian dan di masukkan ke dalam penjara, bagaimana anak lain yang ditinggalkan sementara pelaku menerima hukuman?
Menangani hal ini, saya kira majikan, rakan sekerja dan pasangan perlu memainkan peranan. Keraplah bertanya kepada wanita khususnya yang baru bersalin dan mempunyai anak kecil mengenai perkembangan anaknya.
Janganlah pula sampai ke pejabat terus nak bercakap tentang kerja tanpa bertanya mengenai situasi dirinya yang baru melahirkan. Sebab kita bukannya robot.
Berbual dan bertanya khabar mengenai ahli keluarga boleh membantu ibu yang mengalami sindrom lupa ini, memulihkan kembali memorinya.
Pengawal keselamatan pun perlu serius memantau bukan sahaja persekitaran tempat kita bekerja, tetapi turut membabitkan kawasan meletakkan kenderaan atau parkir.
Jadikan meninjau ke kawasan parkir kenderaan sebagai sesuatu yang wajib, bukannya lalu sambil jalan, atau asal ikut syarat sahaja.
Luaskan skop kerja sebab banyak kecuaian dan kemalangan hari ini berlaku di tempat kerja, tempat kita mencari rezeki. Rata-rata kita duduk di pejabat pun kira-kira lapan jam.
Pasangan pun perlu memainkan peranannya secara agresif. Perbaiki komunikasi.
Jadikan rutin apabila hendak keluar dari kenderaan, telefonlah pasangan kita.
Ia pasti akan mengingatkan kita mengenai perkembangan anak-anak sama ada sudah selamat sampai ke rumah pengasuh dan taska atau sebagainya.
Kalau tak dapat membuat panggilan, tinggalkan pesanan di WhatsApp sama ada dalam bentuk tulisan, video dan rakaman suara. Mudah sangat tinggal hendak atau tidak sahaja.
Komunikasi juga penting bagi memastikan tugasan kita sebagai ibu bapa seimbang dan tidak berat sebelah. Kalau isteri happy, bukankah yang mendapat manfaat suami dan ahli keluarga yang lain?
Nor Afzan Mohamad Yusof Pengarang Rencana Utusan Malaysia