Sepanjang dua tahun sembilan bulan bergelar Naib Canselor (NC), Universiti Teknologi Mara (UiTM), masa dirasakan terlalu laju bagi Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor.
Namun ketokohannya sebagai pemimpin wanita pertama terserlah apabila berjaya menaikkan nama UiTM sehingga berjaya mencapai kedudukan ke 98 dari 100 Universiti Terbaik Asia dalam QS Asia University Rankings (AUR) 2024 yang dikeluarkan baru-baru ini.
Antara program dijayakan ialah menghantar 267 kakitangan seperti dekan, penolong naib canselor, penyelidik dan pentadbir ke universiti luar negara seperti United Kingdom (UK), Khazakstan dan Australia.
Tujuannya untuk mempelajari budaya mengurus institusi pengajian tinggi disamping memperkenalkan UiTM kepada lebih 800 MoU MOA.
“Ini cara mendedahkan mereka kepada transformasi kerana transformasi bermula dari dalam diri. Bila didedahkan dengan keadaan berbeza, mereka bawa balik ilmu dari sana.
“Ada yang salah faham dengan program ini. Mereka fikir UiTM hendak jadi universiti penyelidik. Tujuan sebaliknya adalah mahu memartabatkan bumiputera supaya berdaya saing,” katanya kepada Seri.
Menjadi memori manis buat dirinya apabila pihak luar dari industri memberikan maklumbalas positif mengenai kemahiran dan keupayaan graduan UiTM.
Lebih membanggakan apabila rakan-rakan dari universiti luar negara memilih UiTM sebagai rakan strategik antaranya universiti dari Australia, Turkiye, dan UK.
Sumbangan beliau di peringkat dalam negara juga tidak kurang hebatnya dalam meningkatkan sosio ekonomi masyakarat menerusi perkongsian kepakaran dan ilmu dimiliki UiTM.
Antara program dijayakan adalah menubuhkan Living Lab di Kundasang, Sabah dan Sungai Panjang, Selangor.
“Inisiatif ini membawa universiti kepada komuniti. Kita bertemu dengan beberapa orang Alumni UiTM di Kundasang dan pengusaha di situ untuk didedahkan kepada pelajar,” katanya.
Pada Jun 2023, satu lagi Living Lab di Sungai Panjang, Sabak Bernam.
“Mereka tanam terung dan melon menggunakan teknologi pintar dan homestay. Kita bawa kepakaran dalam perhotelan, pengurusan dan atasi masalah seperti tiada bas bawa pelancong ke sana,” katanya.
Program berkenaan turut menarik perhatian Undang Luak di Johol, Negeri Sembilan yang mahu kawasan pertanian mereka turut dimajukan.
Hasilkan songket Selangor
Roziah gembira, sepanjang bergelar NC, beliau berjaya memenuhi permintaan Duli Yang Maha Mulia, Sultan Selangor, Sharafuddin Idris Shah untuk menghasilkan songket Selangor.
“Baginda minta UiTM buat penyelidikan dalam menghasilkan songket Selangor. Saya cakap boleh saja sebab saya saya tahu, UiTM ada banyak kemahiran.
“Selangor ada sembilan daerah dengan keunikan tersendiri. Awal 2023 penyelidikan berhasil mengenalpasti 153 motif seperti bunga kelopak sembilan, kelip-kelip dan kubah masjid negeri. Kesemua motif berkenaan akan dipatenkan sebagai motif songket Selangor,” katanya.
Bahagia lepas bersara
Semua kejayaan manis itu membolehkan beliau bersara dengan tenang, 12 Oktober 2023.
“Saya membahagiakan diri dengan duduk bersantai di rumah sambil membaca buku.
“Saya juga sudah buka syarikat sendiri, RMJ Nexus Global untuk meneruskan apa yang sudah dijalankan sebelum ini. Bukan nak cari duit tapi untuk membantu akan datang,” katanya.
Antara perancangannya termasuklah meneruskan penerbitan Rozie Times iaitu tabloid yang dihasilkan sempena 100 hari kepimpinan beliau sebagai NC.
Pada asalnya tabloid itu sebagai medium menjelaskan setiap aktiviti NC dan pensyarah tetapi skopnya bakal diperluaskan lagi selepas ini.
Ibu jadi contoh
Graduan matematik dari State University of New York ini banyak belajar mengenai mengurus kewangan daripada arwah ibunya, Rahah Arof.
“Mak sekolah sampai darjah tiga saja. Dia hanya boleh tulis nama dia, tapi arwah seorang ibu terbaik terutama dalam pengurusan kewangan.
“Kata mak pengurusan dan agihan bajet perlu adil. Saya banyak belajar daripada mak,” katanya.
Akuinya, pencapaian diraih hari ini semuanya hasil dorongan ibu yang mahu sembilan anaknya termasuk enam anak perempuan, belajar setinggi boleh.
“Mak kata orang perempuan belajar tinggi akan duduk di dapur tapi kalau boleh pergilah bekerja. Adik beradik saya enam perempuan semua bekerja. Lelaki tiga.
“Kata mak kalau tidak bekerja, nak beli bedak pun susah. Macam mana nak beli bedak Esti Loda tu,” katanya mengajuk dailek Negeri Sembilan ditutur ibunya. Este Loda merujuk kepada jenama Estee Lauder.
Mengimbau kenangan, kata Roziah, maknya sangat hormat suami walaupun orang negori mengutamakan wanita.
Setiap kali hendak memasak untuk ayah maknya akan terlebih dahulu bertanya nak makan apa sebab ayah tak makan masakan sama. Tengahari lain, malam lain.
“Mak meninggal pada 2007. Masa mak sakit, saya diminta segera balik ke kampung. Apa yang pelik, sepanjang jalan tidak banyak kereta sedangkan masa itu sudah pukul 6 petang iaitu waktu kemuncak jalan sesak.
“Saya sampai di kampung, Maghrib dan mak segera dibawa ke hospital di Bangi tetapi meninggal dunia di hospital berkenaan,” katanya mengimbau kenangan.
Usia 17 ke New York
“Menjadi impian arwah mak untuk melihat saya menjadi guru. Lepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dalam usia 17 tahun pada tahun 1981, saya terus sambung belajar matematik di New York.
“Memang kejutan budaya bila sampai di sana sebab kita dari kampung. Masa itu, ada 15 pelajar Malaysia yang pergi. Kami terkejut tengok orang yang datang ambil di lapangan terbang berbadan besar. Limosin dia pun besar,” katanya ketawa, berkongsi memori saat pertama menjejakkan kaki di kota metropolitan itu.
Tambah beliau yang juga anak bongsu dalam keluarganya, paling seronok apabila kali pertama dapat bermain salji di depan rumah sewanya.
Empat tahun di New York, Roziah melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dalam Matematik dan Statistik di West Virginia selama setahun.
“Balik ke tanahair, saya ambil diploma mengajar matematik bagi memenuhi hajat mak untuk melihat saya menjadi guru di Tanjung Karang. Tapi mak kata jauh dan saya cuba minta tukar tapi tidak berjaya.
“Pada 1995, saya melanjutkan pengajian doktor falsafah dalam bidang Statistik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum menjadi pensyarah di UiTM. Barulah mak saya gembira sebab lebih dekat,” katanya.
‘Hijrah lepas tunai Haji’
Memimpin sebuah institusi pengajian yang cukup besar menjadikan tanggungjawab disandangnya cukup berat.
Melegakan tekanan selepas bekerja Roziah gemar ke spa untuk memanjakan diri dengan urutan.
“Aroma minyak lavender mampu melegakan tekanan. Kadang-kadang tenaga jadi rendah kerana banyak bekerja. Dulu, saya amalkan makan supplemen tapi sekarang makan madu kelulut dan jus durian Belanda.
“Saya guna pelembab jenama antarabangsa. Manakala solekan pula menggunakan jenama muslimah yang menawarkan warna lembut sesuai dengan kulit wanita Asia,” katanya.
Tambah beliau kalau tidak mahu kulit muka berkedut, kena selalu senyum kerana senyum itu ubat.
Roziah berkata, dia kagum dengan arwah ibu dan bapanya yang tiada masalah uban walaupun mencecah usia 80- an.
“Arwah meninggal pada usia 84 tapi rambutnya masih hitam lagi. Arwah amal sapu minyak zaitun. Ayah pun rambut hitam hasil memakai minyak Yardley dari UK,” katanya.
Tambahnya, bagi mengapai kejayaan, beliau menasihati wanita mengenali potensi diri sendiri dan tidak terlalu memikirkan perkara yang boleh menghalang kejayaan.
“Dulu saya fikir kenapa orang tidak suka saya, sebab saya buat kerja untuk orang lain dan menambah baik kualiti pendidikan. Namun teguran daripada Allah SWT ketika mengerjakan haji membuka mata saya.
“Di Mina, ada seorang wanita yang tidak saya kenali sering meminta untuk bersolat di tempat saya duduk. Saya hanya mengalah. Suatu hari terlintas di minda, Allah tak bagi orang benci saya tapi Allah yang nak saya ingat kepadaNya. Sejak detik itu, saya tidak fikir lagi apa orang nak buat. Saya sudah tidak soal lagi kenapa orang tidak suka saya,” katanya.