Serangan Israel ke atas Gaza meragut lebih 10,000 nyawa orang awam termasuk kanak-kanak dan wanita. Kerakusan Isreal itu bagaikan tidak ada tanda-tanda surutnya.
Badan dunia dan antarabangsa serta negara-negara besar juga seolah-olah membisu. Tiada taring langsung bagaikan menghalalkan sahaja pembunuhan beramai-ramai manusia yang tidak berdosa itu.
Kita di sini sebagai manusia biasa, selain berdoa, teruskanlah menggunakan kuasa kita untuk memboikot produk-produk dari negara Isreal dan negara-negara sekutu dengannya.
Jangan pandang sinis usaha ini kerana laporan ekonomi antarabangsa, jelas menunjukkan tindakan boikot ini menjejaskan ekonomi Isreal dan negara lain yang menyokongnya.
Realitinya, kalau kita tengok dengan mata hati, banyak manfaatnya memboikot produk daripada negara berkenaan.
Hikmah boikot, rupanya kita ada banyak produk lokal yang berkualiti. Tengok sahaja di media sosial kita, semakin ramai yang sudah berani berkongsi mengenai produk tempatan, yang sebelum ini kita tak sedarpun mengenai kewujudannya.
Begitupun saya nak membuat teguran juga, khusus buat usahawan tempatan kita ini. Mereka bukan saja perlu berani tetapi rajin-rajinlah mempromosi produk mereka, barulah lebih cepat dikenali.
Macam jenama dan produk yang kita biokot itu, mereka bukan terkenal sekelip mata. Kuasa pemasaran dan promosi serta pengiklanan yang pastinya membabitkan bajet yang besar, mampu menjadikan namanya besar.
Biarpun ramai tahu makanan dan minuman ditawarkan itu tidak sihat, tetapi tetap terkenal.
Bermula dengan satu restoran, ia berkembang menjadi ribuan cawangan sebab promosi dan kesungguhan menawan selera tempatan.
Kalau tak percaya, pergi ke negara lain, jenama sama tapi mesti ada beza rasanya.
Malah mereka berkuasa menakluk selera orang tempatan hingga kita seolah-olah terlalu bergantung kepada produk ditawarkan, hingga sanggup ‘bergaduh’ dan mempertahankan restoran itu.
Itu saja rahsianya sebenarnya. Selebihnya mereka memaparkan makanan gaya hidup. Sesiapa yang makan atau berupaya membeli, mereka dilihat golongan yang berkemampuan.
Peniaga kita tidak boleh duduk diam-diam dan hanya berkuasa di kampung-kampung.
Promosi dan sebarkan. Kami di Utusan Malaysia memang sering memberikan pendedahan dan peluang kepada produk tempatan. Tetapi ia mestilah dilakukan secara menang-menang. Kitakan sama-sama berniaga.
Layangkan kiriman emel atau telefon ke pejabat, kita pasti boleh bekerjasama. Cari hikmah di sebalik suatu kesuraman.
Nor Afzan Mohamad Yusof Pengarang Berita Utusan Malaysia