SOALAN
Saya ketagihan menonton video lucah. Apakah tips untuk membebaskan diri daripada terus terjebak dengan perkara ini?
WAWA, PJ
JAWAPAN
Ketagihan video lucah atau pornografi dalam kalangan remaja amat membimbangkan. Kajian dijalankan Cambridge University, pada 2013 mendapati otak individu yang gemar menonton pornografi adalah hampir sama dengan penagih dadah.
Perihal ini jelas menunjukkan bahawa ketagihan pornografi dapat memberi kesan buruk sehingga menjejaskan kesihatan fizikal dan mental individu tersebut.
Tahniah kepada yang bertanya kerana saya pasti anda mengetahui bahawa perbuatan tersebut adalah salah dan tidak bermoral.
Memilih untuk berhenti daripada menonton pornografi dapat membantu merawat diri sebelum menjadi lebih parah.
Berikut tips bebaskan diri daripada ketagihan:
Elakkan diri daripada duduk bersendirian
Bersendirian dan kesunyian mendorong individu mencari dan membuka video lucah.
Elakkan daripada duduk bersendirian dan cari rakan atau keluarga yang boleh menemani anda berborak.
Bergaul dengan orang ramai
Apabila anda sering berinteraksi dan bergaul dengan orang maka dengan sendirinya anda akan merasa selesa untuk berkongsi, bertukar cerita dengan orang lain. Ia sekaligus dapat membantu anda menyibukkan diri dengan aktiviti seharian.
Mencari aktiviti disukai
Cari aktiviti yang boleh mengantikan gajet, contoh, beriadah, membaca buku, menanam pokok dan memasak. Aktiviti ini membantu mengelakkan diri daripada menggunakan gajet dalam aktiviti harian.
Jauhkan diri daripada rakan-rakan yang suka menonton pronografi
Elakkan diri daripada bergaul dengan mereka yang mendorong anda untuk mengulangi perbuatan tersebut. Beri penolakan apabila mendapat jemputan daripada mereka agar dapat menghindarkan diri dari terus menerus terjebak dengan ketagihan ini.
Mendekatkan diri dengan Allah
Menunaikan solat lima waktu dan memperbanyakan berzikir harian sebagai satu terapi mengurangkan ketagihan dalam diri anda.
Semoga berkongsiaan ini dapat membantu melakukan perubahan dalam hidup anda.