ORANGNYA kecil, jiwanya besar. Baru sahaja berusia 24 tahun, namun tuturannya cukup matang dan yakin.
Wan Nur Aqilah Shahirah Wan Lokman, gadis berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini tegas menyuarakan pandangannya mengenai trend anak muda yang semakin ramai mengejar gelaran pempengaruh dan pensohor media sosial atau instafamous.
Sudah memiliki gelaran tersebut sejak di awal usia 20-an, kata Wan Nur Aqilah yang lebih mesra disapa sebagai Qila, pempengaruh bukan semata-mata mengenai glamor.
Ada tanggungjawab besar yang digalas seiring dengan gelaran tersebut yang sering ramai terlepas pandang.
“Bagi saya, penting untuk menjadi pempengaruh yang berilmu kerana perkataan ‘pengaruh’ itu sendiri besar maknanya.
“Sudah tentu kita mempunyai pengaruh tersendiri dalam kalangan pengikut menjadikan kita perlu menjadi bijak untuk memberikan manfaat yang baik kepada para pengikut,” katanya kepada Seri.
Bukan sekadar omong kosong, nasihat itu turut dititipkan kepada diri sendiri supaya dapat menjadi insan yang baik dari sehari ke sehari.
Anak keenam daripada lapan beradik itu meletakkan batasan dalam setiap hantaran yang dibuat di media sosial bagi mengelakkan pengaruh buruk
kepada lebih 63,000 pengikutnya.
“Saya selalu nasihatkan diri sendiri kalau tiada benda baik hendak dikongsikan, tidak perlu pun membuat hantaran.
“Kerana apabila sekali kita sudah membuat hantaran, benda itu akan kekal di internet selamalamanya. Sekarang ini dunia content, kalau buat content tidak baik itu sudah tentu menjadi saham dosa,” ujarnya lanjut.
Wan Nur Aqilah terbabit sebagai pempengaruh hampir sedekad, malah sebelum beliau menyertai pertandingan Pencarian Ratu Hijabista pada
tahun 2020.
Tuah berpihak kepadanya apabila muncul sebagai juara sulung program berkenaan mengalahkan peserta lain.
Beliau akui kemenangan itu jualah yang menjadi pendorong kepada dirinya untuk menjadi pempengaruh yang lebih bijak
dan sensitif mengenai isu semasa.
SEBAR KESEDARAN DAN KEBAIKAN
Menyentuh mengenai peranan sebagai pempengaruh, katanya sudah tentu menggalas tanggungjawab besar dalam menyebarkan kesedaran dalam kalangan pengikut dan umum secara amnya.
Kelebihan mempunyai pengikut menjadi platform terbaik dalam menyebarkan perkara-perkara yang akan menggalakkan norma-norma positif dalam kalangan masyarakat.
“Sebagai pempengaruh sangat penting untuk berkongsikan mengenai isu semasa dan memberi pengetahuan kepada orang ramai tentang apa yang
sedang berlaku di dalam atau luar negara.
“Ambil contoh mengenai isu yang sedang berlaku di bumi Palestin, ramai yang hendak tahu pempengaruh cakap apa mengenai krisis tersebut.
“Cukup sekadar berkongsi semula berita daripada media-media yang membuat liputan di sana supaya pengikut juga secara tidak langsung dapat
cakna mengenai isu semasa,” katanya.
INDAH KHABAR DARI RUPA
Tampak indah tapi bukan mudah. Itu nasihat yang dititipkan kepada anak muda yang ingin bergelar pempengaruh.
Kehidupan glamor dan mewah dipaparkan oleh sesetengah golongan berkenaan di media sosial, menuai minat ramai generasi muda untuk mengikuti
jejak langkah mereka.
Namun, realitinya bukan seindah yang disangka. Di sebalik kemewahan dan keindahan yang ditonjolkan terselindung ranjau dan onak duri.
“Pengalaman saya sendiri, pernah tular video saya takut memegang ular suatu ketikadulu. Dalam masa beberapa minit sahaja video berkenaan mula tersebar dan tontonan pula mencecah jutaan angka.
“Sudah tentu ketika itu kebanyakan komen adalah kecaman kepada saya dengan mengatakan saya sengaja berbuat begitu untuk meraih perhatian.
“Tetapi saya pilih untuk memadamkan sahaja komenkomen sebegitu kerana kenapa saya hendak biarkan orang berkata-kata negatif kepada saya.
Lain lah teguran yang membina, itu saya terima,” katanya yang lebih mengutamakan kesihatan mentalnya.
Hal sedemikian katanya, sememangnya tidak dapat dielakkan sekiranya sudah bergelar orang yang dikenali. Malah, beliau juga tidak terlepas daripada gangguangangguan seksual daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Bila main media sosial ini, bukan sahaja ada haters tapi selalu sahaja dapat gambargambar yang tidak senonoh di ruangan mesej langsung yang membuatkan kadangkala saya trauma.
“Tetapi saya memilih untuk sekat dan tidak mempedulikan orang sebegitu, demi menjaga kesejahteraan mental saya,” katanya berkongsi pengalaman.
RANCANG MASA DEPAN
Tambah Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penyiaran) ini lagi, menjadi pempengaruh bukan sahaja perlu bijak dalam mengendalikan
kandungan, malah turut membabitkan pengurusan kewangan.
Memandangkan ia bukanlah satu kerjaya yang menjamin masa depan dalam jangka masa panjang, perancangan kewangan perlu dilakukan dengan rapi.
Mengakui kerjaya tersebut sememangnya mendatangkan hasil lumayan, namun Wan Nur Aqilah memilih untuk melebihkan simpanan berbanding
perbelanjaan.
“Memang mendatangkan duit jika ada bekerjasama dengan jenama dan sebagainya.
“Pada awal-awal dahulu memang saya pun rasa seronok untuk berbelanja apabila dapat duit lebih tetapi kini saya memilih untuk membuat simpanan,” katanya yang memiliki perancangan memulakan perniagaan tudung tidak lama lagi.
Gadis manis yang juga merupakan pengacara rancangan travelog ini, kini sedang mengintai peluang dalam bidang lakonan pula.
“Masa muda inilah perlu diisi dengan menimba pelbagai ilmu termasuk industri hiburan. Lagipun minat saya terhadap dunia lakonan
sudah terarah ke situ sejak di bangku sekolah lagi,” katanya
Keluarga sentiasa beri galakan
KELUARGA tulang belakang Wan Nur Aqilah untuk mencapai impiannya selama ini.
Biarpun pada awalnya, bapanya tidak begitu merestui minatnya itu, namun lama-kelamaan penerimaan bapanya mulai berubah.
“Saya memang sudah lama beritahu kepada keluarga mengenai minat saya dalam dunia hiburan, namun bapa tidak begitu menyokong.
Sehinggalah ketika pencarian Ratu Hijabista tiba-tiba bapa bertanya adakah saya tidak menyertainya? Terkejut
juga kerana tidak sangka bapa bertanya sebegitu.
“Tapi saya faham kerana waktu itu saya sudah di semester akhir pengajian ijazah sarjana muda. Jadi, mungkin selama ini bapa tidak menyokong kerana mahu saya mengutamakan pelajaran dahulu,” katanya berkongsi.