Saya kembali menggunakan perkhidmatan LRT dari rumah ke tempat kerja, selepas meninggalkan rutin ini kira-kira 10 tahun yang lalu.
Meninggalkannya bukannya kerana selesa memandu di ibu kota, tetapi dek tugas hakiki sebagai wartawan yang perlu ke pelbagai lokasi mencari bahan berita.
Selebihnya sebab urusan menjemput dan menghantar anak-anak ke pelbagai lokasi.
Daripada tadika hinggalah ke sekolah rendah dan menengah.
Situasi itulah yang membataskan diri memanfaatkan kemudahan LRT dan pengangkutan awam waktu itu.
Dalam tempoh meninggalkan LRT, banyak perubahan berlaku. Antaranya penambahan koc dan stesen serta laluan bagi keselesaan pengguna.
LRT Laluan Kelana Jaya kini, jaraknya sudah ditambah ke 46.1 kilometer.
Selama 40 minit berada dalam koc, waktu itu saya manfaatkan masa dengan menjawab emel, membalas WhatsApp kenalan, rakan dan rakan sekerja.
Bila selesai bahagian penting ini, maknanya di pejabat dan rumah boleh tumpukan sepenuhnya pada tugas sebagai pekerja dan ibu pula.
Sebagai maklumat, kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan memperkenalkan pas My50, iaitu pas tanpa had menggantikan pas My30 semasa (RM30/bulan) mulai 1 Januari 2022.
Pas membolehkan penumpang menaiki LRT, MRT, Monorel, BRT dan hab-hab bas terpilih.
Saya antara rakyat yang sangat happy dengan inisiatif ini. Begitupun, saya kira promosi ini bertambah indah sekiranya ia turut dinikmati untuk perkhidmatan teksi dan kenderaan e-hailing.
Sebabnya tambang dengan jarak dua kilometer dikenakan sehala teksi dan e-hailing ini pun agak mahal, antara RM8 ke RM13 untuk jarak yang tidak sampai pun tiga kilometer.
Sekiranya ada usaha menggalakkan penggunaan kenderaan awam dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibu kota ini, tawaran menarik patut dilaksanakan.
Kalau ada usaha ke arah itu, tentu bolehkan?
Lama dalam perut koc, memberi peluang menyaksikan pelbagai tabiat pengguna.
Seorang kakak ini menarik perhatian saya sebab dia membawa bekal dalam mangkuk tingkat beratnya tidak kurang lebih tiga kilogram.
Katanya dia ada grup bawa bekal di pejabat.
“Kami berkongsi makan. Sorang bawa sejenis makanan, makanya menu makan tengahari dan petang kami cukup meriah. Di pejabat kami dah sedia ada rice cooker. Senang.
“Bukan sehari bawa bekal tapi sudah bertahun. Bukankah ini cara terbaik berjimat dalam situasi kos sara hidup yang kian meningkat?
“Nak jimat belanja, kami bertiwikrama bawa bekal,” katanya tersengih-sengih.
Update sungguh kakak ini dengan situasi semasa. Ni mesti membawang dengan geng sambil makan-makan.
Apapun, yang penting kita happy dan tahu mencipta bahagia.
Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia.