Mahu kesempurnaan, suami rela ceraikan isteri - Utusan Malaysia

Mahu kesempurnaan, suami rela ceraikan isteri

GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Banyak perkara negatif yang menjadi pengancam perkahwinan, kedamaian dan kesejahteraan rumah tangga.

Antaranya curang, masalah kewangan dan komunikasi.

Namun terdapat jua beberapa perkara yang mengancam perkahwinan yang sering kita terlepas pandang.

Salah satunya adalah apabila suami atau isteri mengharapkan kesempurnaan daripada pasangannya.

Situasi ini sekaligus meletakkan seseorang mudah rasa kecewa, marah dan putus asa jika pasangan, yang hakikatnya insan biasa, ada kekurangan dan kelemahan, tidak bertindak atau berkelakuan sesempurna kita harapkan.

Minggu ini saya kongsikan kisah Azizi (bukan nama sebenar), seorang lelaki yang hidup dalam kekesalan kerana menceraikan isterinya kerana wanita itu dianggap tidak lagi sempurna seperti diharapkan.

Daripada luahan panjang lebarnya, Azizi antara kedukaan paling besar dalam hidupnya adalah apabila terpaksa menanggung rasa kesal yang tidak berpenghujung.

Menurut lelaki berusia pertengahan 40-an itu dalam kiriman emelnya, dia tidak berniat membuka kisah lampaunya, tetapi lebih kepada berkongsi pengalaman dan pengajaran.

Tambahan pula, bekas isterinya kini bahagia dengan suami baru.

Mengimbau kembali, Azizi berkahwin dengan Rahayu (bukan nama sebenar) atas dasar cinta pandang pertama dan kerana suka sama suka dengan restu kedua-dua ibu bapa.

Kata Azizi, bagi kebanyakan orang hasil cinta pandangan pertama, sesuatu perkahwinan itu akan membawa kebahagiaan, tetapi tidak bagi mereka.

Sebagai manusia, mereka juga tidak terlepas daripada segala bentuk ujian kehidupan.

Tahun pertama perkahwinan, mereka baik-baik sahaja. Kebahagiaan pasangan ini bertambah dengan kehadiran cahaya mata pertama, Anip (bukan nama sebenar). Namun ia tidak bertahan lama.

Memasuki tahun kedua, Azizi berasakan wanita dikahwini sudah tidak menepati citarasanya dan tidak lagi membuatnya rasa bahagia.

Puncanya kerana rupa bentuk badan isteri tidak cantik seperti sebelum ini.

Sebab lain, isteri juga dilihat tidak lagi cekap menguruskan rumah tangga daripada segi makan, pakai dan hal-hal remeh.

“Saya tidak berkompromi terhadap kekurangan dan kelemahan bekas isteri ketika itu.

“Sebaliknya mengharapkan dia berubah demi untuk memuaskan hati saya, namun tidak pernah cuba untuk membantu,” tulisnya.

Faktor-faktor itu sekaligus mengundang pertelingkahan dalam perhubungan mereka.

Akhirnya mereka terpaksa meletakkan noktah pada perkah­winan berusia tiga tahun itu.

“Dalam kita mencari pasangan hidup, tidak ada salahnya untuk kita memilih dan mahukan pasangan yang baik. Namun janganlah terlalu mengharapkan kesempurnaan, kerana pada hakikatnya kita sendiri tidak sempurna mana dan banyak kelemahan.

“Kita berkahwin dengan manusia bukan malaikat, maka jangan sesekali mengharapkan kesempurnaan daripada seorang manusia.

“Namun tidak bererti kita tidak boleh mengharap manusia itu menjadi lebih baik,” tulisnya.

Menurut Azizi, sepanjang tempoh 15 tahun bergelar duda bukan tidak ada wanita cuba men­dekati, namun kesemuanya ditolak.

Ini kerana di hati masih wujud perasaan cinta dan sayang kepada bekas isterinya itu.

Sambungnya, dia menyesal dan jadi tidak keruan selepas bercerai hingga sanggup berbuat apa sahaja untuk menawan semula bekas isteri.
Katanya, selepas sebulan ber­pisah, timbul rasa rindu dan sayang kepada wanita itu.

Dia mendakwa, rasa kasih dan sayang terhadap bekas isteri kembali bertaut selepas dia sering melawat Aniq, satu-satunya zuriat hasil perkahwinan mereka terdahulu.

Dia mula terpegun melihat perubahan wanita yang pernah menjadi surinya itu semakin cantik dan menawan.

Awalnya dia cuba menyem­bunyikan perasaan itu, namun pada akhirnya terpaksa berterus terang.

Bagaimanapun kata Azizi, hasratnya itu ditolak secara baik bekas isteri.

“Dalam tempoh dua tahun saya tidak pernah berputus asa untuk memenangi hatinya sehingga pernah digelar ‘gila talak’.

“Namun saya cepat sedar. Mana mungkin saya memiliki dan hidup semula dengan wanita pertama yang saya cintai selepas apa yang berlaku antara kami,” tulisnya.

Sebelum mengakhiri emelnya, Azizi sempat menitip pesan kepada pasangan lain, apa lagi yang dimahukan pasangan, sedangkan segala tanggungjawab sudah dilakukan dengan terbaik.

“Ingat jangan sampai tersalah pilih dan kerana nak cari kesem­purnaan, kita hilang orang yang terbaik untuk diri kita.

“Tak perlu nak mencari yang lain sebab yang kita ada itu, sudah lengkap segalanya. Terimalah seadanya,” ujarnya.

Tulis Azizi lagi, dia mahu pasangan lain mengambil iktibar dari apa yang dikongsikan.

Kata Azizi, suami yang baik tidak mengharapkan isteri yang sempurna, suami yang baik selalu bersama dalam suka dan duka.

“Tidak ada yang sempurna, Jadi, hargailah pasangan masing-masing walaupun ada kalanya kita rasa tidak selesa dengan perlakuan pasangan.

Tegur menegur secara berhemah, antara satu sama lain adalah cara terbaik dalam mengukuhkan sebuah perkahwinan.

“Jangan jadi seperti saya, buatlah apapun, ia sudah tidak berguna lagi,” tulisnya.

Sesungguhnya kesempurnaan itu hanya milik Allah.

Pastinya, saat kita sibuk mencari yang sempurna, kita akan kehilangan yang terbaik. Yang sempurna itu mustahil, tetapi yang baik selalu ada.

Firman Allah SWT: Dan ber­gaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.Kemudian jika kamu (merasa) benci kepada mereka(disebabkan tingkah lakunya, janganlah kamu terbu­ru-buru menceraikannya), kera­na boleh jadi kamu bencikan sesua­tu, sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu) (an-Nisa:19).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya