Perkataan toksik ini baru-baru ini sahaja popular.
Barangkali sebab ia kedengaran lebih moden dan urban serta lebih sedap didengari.
Berbanding perkataaan hasad, dengki dan khianat yang kita selalu guna dulu-dulu.
Carian di internet, rupa-rupanya perkataan toksik itu lagi dasyat ertinya.
Semuanya yang buruk-buruk belaka, ibarat kata all in one, tiada satu pun yang murni.
Bagilah apa nama dan panggilan sekalipun, pada saya apa saja unsur negatif yang berada di sekeliling kita, ia boleh memberikan dua situasi berbeza. Ada baik dan buruknya serta ada pro dan kontranya.
Kalau kita sejenis manusia positif, cekal dan kuat semangat dan mampu mengharunginya, unsur buruk sekeliling kita itu, boleh sahaja kita tepis dan buat ‘tak tahu’ sahaja.
Lainlah kalau kita individu yang sensitif teramat.
Hingga orang bergurau dan mengusik pun kita boleh ambil hati dan sakit hati.
Daripada satu segi yang lain, perkara negatif pun kadangkala ada manfaatnya untuk diri kita. Tengok bagaimana keadaannya dan sejauh mana kita bijak mengatasinya.
Kalau ia dianggap suatu ujian mematangkan diri dan menjadikan kita insan yang lebih baik lagi, yang ini memang baik.
Bukankah dunia ini menjadi tempat ujian untuk kita hidup kekal di sana nanti. Lagipun setiap orang dibesarkan dan mendapat didikan yang tidak sama. Tak adil pukul rata semua orang macam kita.
Dalam kalangan individu usia matang, hal ini mudah untuk kita fahami tetapi yang merisaukan apabila dalam kalangan generasi muda yang tidak tahu membezakannya.
Generasi yang bahan dan rujukan hidupnya semua bergantung kepada media sosial. Bacalah komen-komen yang ditinggalkan segelintir netizen dalam apa juga isu. Ada sahaja bahan digunakan untuk mengutuk. Nak memuji jarang sekali.
Kadangkala disebabkan hanya kerana tidak bersependapat, ada pula yang akan cop kita sebagai insan toksik, sampaikan kita yang nak memberikan komen balas pun takut. Takut kena kecam berjemaah.
Saya turut simpati dengan insiden keluarga selebriti dikongsi di media sosial baru-baru ini. Banyak komen yang menuduh orang itu dan ini dalam keluarga berkenaan sebagai toksik.
Ada juga yang ‘angkat bakul’ memuji keluarga sendiri, tetapi pada masa sama mengutuk keluarga orang lain. Adilkah komen sebegitu?.
Dalam keluarga, biasalah bukan semua kita punyai pandangan sama. Dapatkan bantuan orang ketiga seperti kaunserlor keluarga untuk menyelesaikan masalah dihadapi sebab media sosial bukan tempat sesuai mengadu semua hal.
Kita pun, kalau bab orang cepat aje memberi reaksi. Dalam keluarga kita siapa pula yang terpaling toksik? Kita terpaling victim, atau kita jenis baling batu sembunyi tangan?.
Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia