Kadangkala timbul rasa lucu melihatkan gelagat orang berkongsi di media sosial mengenai rasa ‘bersalah’ mengambil makanan berlemak dan berminyak sebab tak tahan dengan godaan kesedapan sesuatu menu.
Selalunya sajian tempatanlah yang menjadi mangsa, seperti nasi lemak, roti canai dan teh tarik.
Memanglah sajian ini tinggi lemak dan berminyak, tetapi makanlah ikut portion yang betul. Nasi setengah cawan, sesudu sambal, ikan bilis goreng dan beberapa hirisan mentimun. Barulah seimbang. Makan elokkan seminggu sekali, bukannya setiap hari. Begitu juga menu lain seperti roti canai dan teh tarik.
Apa-apa sajian pun seharusnya ada catuannya bila nak makan, bukannya ambil setiap hari. Apa-apa pun, formulanya sama – apa-apa yang dimakan atau dibuat secara berlebihan kurang baik untuk setiap orang.
Ini tidak, bila timbang berat badan, dan berat badan naik je, salahkan makanan, tak baik tau.
Dianggarkan separuh daripada 32 juta rakyat negara kita menghadapi masalah berat berlebihan yang dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan.
Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (Maso), Prof, Dr. Geeta Appannah mendedahkan kumpulan umur 35 hingga 39 tahun adalah kumpulan paling tinggi mempunyai masalah obesiti iaitu 25.3 peratus diikuti yang berumur 40 hingga 44 tahun (24.4 peratus).
Antara penyumbang masalah ini ialah makanan tidak sihat, mampu milik. Makanan diproses mudah didapati dan persembahannya lebih menarik mudah menawan selera.
Biarpun ramai yang tahu kecantikan sajian hanyalah atas tujuan pemasaran. Lagi banyak warna, lagi menarik, sedangkan kebanyakan pewarna, tiada manfaat kepada tubuh.
Umur muda juga adalah tempoh produktiviti, kalau muda-muda sudah mendapat penyakit, agak sukarlah untuk menikmati kehiduapan yang sejahtera, lebih-lebih lagi apabila anak masih kecil.
Berulang ke hospital dan pusat kesihatan, sebab komitmen, bukanlah sesuatu yang menyeronokkan. Biarpun obesiti penyakit negara maju, tetapi dengan kawalan yang baik kita mampu mengatasinya.
Jepun contohnya, sungguhpun maju tetapi mereka memiliki kadar obesiti terendah dan jangka hayat tertinggi kedua di dunia lantaran rakyatnya mengamalkan cara makan perlahan dalam kuantiti kecil.
Kita patutu mencontohi junjunga besar Nabi SAW yang 40 kali kunyah baharu telan dan rajin melaksanakan puasa sunat.
Sebagai orang Islam kita sebenarnya tahu, tetapi kurang amalkannya dalam kehidupan seharian.
Senaman pun usah ditinggalkan kerana ia senjata menghalang obesiti.
Pun begitu kalau nak bersenam pun, pilihlah pakaian sesuai. Segelintir wanita saya dapati suka mengenakan baju sukan bercolok mata.
Itu belum lagi geng zumba secara terbuka. Jaga adab berpakaian dan tak perlulah melakukan gerakan keterlaluan. Sangat tak sesuai.
Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia