SOALAN
Keluarga toksik merujuk kepada lingkungan keluarga yang penuh dengan perilaku negatif, konflik dan hubungan yang tidak sihat dan memberi kesan buruk kepada kesejahteraan emosi ahli keluarga.
Rumah tangga dibina dengan kasih sayang pasti melahirkan keluarga yang bahagia. Namun bagaimana pula dengan keluarga yang terbina tanpa kasih sayang?
HANI, KL
Jawapan
Rasa sesak di dada apabila mengendalikan kes anak-anak yang menjadi mangsa dera, buli, manipulasi oleh ibu bapa sendiri. Kesihatan mental anak-anak mula terjejas kerana suasana keluarga yang tidak tenteram. Hidup bersama ahli keluarga toksik bukan suatu yang mudah kerana setiap hari mereka perlu berperang dengan emosi sendiri.
Ibu bapa mungkin tidak sedar bahawa tingkah laku mereka itu boleh menjadi toksik kepada anak-anak. Berikut saya kongsikan ciri-ciri ibu bapa toksik:
Bercakap dan bersikap kasar dengan anak-anak – Mendidik anak dengan sikap yang keras boleh menjejaskan kesihatan mental seperti tertekan dan trauma.
Tidak menghormati Privasi anak-anak – Ibu bapa perlu meletakkan kepercayaan kepada anak-anak. Jangan sampai terlalu mengawal ketat privasi anak, melarang dan mengatur kehidupan anak sehingga mereka rasa terkongkong.
Memanipulasi anak untuk rasa bersalah – Sikap ini tidak baik untuk kesihatan mental anak-anak kerana boleh menyebabkan mereka hilang keyakinan diri dan berfikiran negatif.
Bersikap adil dengan anak-anak – Ibu bapa perlu berusaha mengenal sikap dan cuba menyantuni mereka mengikuti kelebihan yang ada. Layanan yang tidak adil antara anak-anak boleh menimbulkan rasa benci, marah dan mungkin boleh menyebabkan permusuhan antara adik beradik.
Menolak untuk mendengar luahan anak-anak – Mengambil remeh luahan perasaan anak-anak boleh menjejaskan kesihatan mental mereka. Anak-anak akan mudah terasa hati dan rasa tersisih dengan sikap ibu bapa.
Kurang didikan agama dan nilai moral dalam keluarga – Ibu bapa perlu menerapkan nilai keagamaan seawal usia anak-anak agar apabila meningkat dewasa mereka menjaga perhubungan dengan baik.