Adik beradik lepas tangan jaga ibu bapa uzur - Utusan Malaysia

Adik beradik lepas tangan jaga ibu bapa uzur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sikap pilih kasih ibu bapa kepada anak-anak, beri kesan buruk kepada setiap anak. Ia boleh menyebabkan kasih sayang dalam keluarga terhakis dan akhirnya berlaku perpecahan antara ahli keluarga.

Mungkin hari ini, tidak nampak kesan dan akibatnya. Namun ia akan memberi kesan jangka panjang kepada anak jika ibu bapa terus bersikap pilih kasih.

Anak yang lebih disayangi akan menjadi manja yang terlampau, dan makin besar kepala.

Manakala anak yang menjadi mangsa, terganggu emosi dan menyimpan dendam.

Minggu ini saya kongsikan kisah Arif (bukan nama sebenar) yang menjadi mangsa pilih kasih ibu bapa dan berada dalam dilema melibatkan soal penjagaan mereka yang uzur.

Kisah Arif dikongsikan isterinya, Ziana (bukan nama sebenar) dalam kiriman emel kepada saya baru-baru ini.

Tulis Ziana, suaminya masih berkecil hati dengan kedua ibu bapa, namun dalam masa sama enggan menjadi anak derhaka.

“Suami buntu memikirkan soal penjagaan kedua orang tuanya yang uzur di kampung.

“Ini berikutan abang dan kakaknya yang sebelum ini menjadi harapan kedua ibu bapa mula mengabaikan mereka dan bersikap ‘lepas tangan’,” tulis Ziana dalam emelnya.

Dalam perkongsian emelnya, Ziana memberitahu, sejak dua tahun lalu kesihatan kedua ibu bapa mentuanya yang masing-masing berusia 76 dan 85 tahun semakin merosot.

Bapa mentuanya sudah nyanyuk, manakala ibu mentuanya kini terlantar selepas diserang strok sejak setahun lalu.

Memulakan cerita kata Ziana, suaminya kini buntu memikirkan cara untuk memastikan kebajikan kedua ibu bapanya terjaga.

“Kami berdua masing-masing sibuk bekerja dan tinggal di Kuala Lumpur. Setakat hari ini kedua-duanya tinggal di kampung dan makan minum diuruskan oleh bapa saudara yang tinggal berhampiran,” tulis Ziana.

Kata Ziana, suami pernah cuba menghubungi abang dan kakaknya untuk membincangkan hal kebajikan kedua ibu bapa mereka, namun gagal.

“Masing-masing memberi alasan dan cuba mengelakkan diri. Disebabkan hubungan suami dengan adik beradik tidak rapat, untuk mereka duduk sepakat mencari jalan penyelesaian agak mustahil.

“Paling tidak boleh diterima suami, abang sulungnya menolak mentah-mentah untuk menjaga ibu bapa dan mencadangkan agar mereka dihantar ke rumah orang-orang tua,” tulis Ziana lagi.

Sambung Ziana, sebagai isteri dia sentiasa berada di samping suami.

Disebabkan itu dia cuba menjadi pendengar terbaik dan tidak membiarkan suami sendirian menanggung beban.

“Saya memahami perasaan yang ditanggung suami ketika ini. Namun saya yakin, suami akan membuat keputusan terbaik untuk diri dan orang tuanya,” ujarnya.

Berkongsi pengalaman suami ketika kecil seperti diceritakan kepadanya sebelum ini, suami menjadi mangsa pilih kasih ibu bapa sendiri.

Ibu bapa hanya memberi perhatian dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada abang dan kakaknya.

Apa juga kehendak dan permintaan mereka dipenuhi tanpa banyak soal.

Sehingga ke hari ini kata Ziana, suami masih tidak mengerti dengan sikap pilih kasih kedua ibu bapa terhadapnya.

“Abang dan kakak ditantang bagai minyak penuh, sedang suami dilayan bagai orang asing.

“Maki hamun sudah menjadi perkara didengari. Sampai sekarang suami masih ingat, perkataan pembawa malang dan bodoh yang keluar daripada mulut bapa sendiri,” luahnya menerusi emel.

Disebabkan sering dimarahi, suami sering mengalami mimpi ngeri setiap kali tidur malam.

Keadaan itu berterusan sehingga mereka berumahtangga.

Tulis Ziana lagi, sikap pilih kasih ibu dan bapa berterusan apabila mereka tidak membenarkan suami melanjutkan pengajian ke universiti walaupun mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

“Nasib suami agak baik apabila bapa saudara, yang merupakan adik bongsu ibunya bersetuju membiayai yuran pengajian suami.

“Tanpa mahu berharap selamanya kepada pertolongan bapa saudara, di universiti suami bekerja sambil belajar,” sambung Ziana yang mengakui mereka bertemu ketika sama-sama menuntut di universiti sama.

Tulis Ziana, bermula dari situ dia cuba mendekati dan mengenali Arif yang dianggap cukup istimewa.

Hubungan mereka diteruskan sehingga masing-masing mendapat pekerjaan dan akhirnya disatukan.

Tulis Nadia lagi, sepanjang tempoh 17 tahun perkahwinan dia sendiri dapat melihat ibu bapa mentua masih bersikap pilih kasih terhadap suaminya.

“Setiap kali berkumpul, kami sekeluarga dilayan bagi orang asing. Bukan sahaja anak menantu, tetapi anak-anak kami yang juga cucu-cucu mereka.

“Disebabkan sikap pilih kasih ibu dan bapa mentua sendiri, masing-masing buat hal sendiri setiap kali pulang berkumpul terutama pada hari raya. Hubungan suami dengan adik beradiknya memang tidak rapat, apa lagi saya dengan ipar duai,” tulis Ziana lagi.

Kata Ziana, walaupun selama ini suami menerima layanan buruk daripada kedua ibu bapanya, dia yakin kasih sayang seorang anak kepada orang tua tidak pernah hilang.

“Seburuk-buruk perangai ibu bapa, mereka tetap insan yang perlu dihormati.

“Insya Allah, berkat usaha dan doa, pasti ada jalan penyelesaian,” tulisnya.

Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan umat manusia untuk berbakti kepada kedua-dua ibu bapa sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat al-Quran surah an-Nisa ayat 36 yang bermaksud:

Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kami sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya