Alena murang sape

Tawan dunia dengan irama Sarawak

Alena Murang bersama Sape kebanggannya
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TATKALA alat muzik tradisional kaum Orang Ulu Sarawak, sape menjadi tabu dalam masyarakat, gadis kecil itu beria-beria untuk mempelajarinya sekitar tahun 2000.

16 tahun kemudian, Ratu Sape Bumi Kenyalang itu meluncurkan album sulung berjudul Flight yang berjaya menaikkan namanya dalam persada seni hiburan tanah air.

Gadis kacukan Kelabit-Eropah itu turut berjaya membawa keluar identiti serta budaya di sebuah perkampungan kecil terletak di Long Peluan, Ulu Balam, Miri ke persada dunia.

“Saya sendiri tidak percaya muzik tradisional kami diterima baik di seluruh dunia sedangkan kebanyakan lagu yang dicipta adalah berdasarkan perkampungan kecil sebelah ayah saya yang terletak di pedalaman Miri.

“Pernah sekali saya bermain sape dan menyanyi dalam bahasa Kenyah di Sepanyol bersaksikan penonton seramai 20,000 orang.

“Saya lihat ada seorang penonton yang agak berusia duduk di barisan hadapan mengalirkan air mata melihat persembahan saya.
“Tidak tahu mengapa, tapi saya amat bersyukur orang luar menghargai karya seni saya walaupun mereka tidak memahami apa yang saya lagukan,” ujarnya.

Album kedua Alena yang dirilis pada Mei 2021, Sky Song berjaya merangkul Anugerah Muzik Video Dunia Terbaik di Festival Muzik Video Buenos Aires tahun lalu menerusi muzik video Warrior Spirit.

Hingga kini, gadis lulusan jurusan perniagaan di Universiti Manchester ini, berjaya membawa pulang 14 anugerah peringkat antarabangsa lain sepanjang lebih dua dekad mengabadikan diri dalam dunia seni berkenaan.

Antaranya Anugerah Khas Juri di Anugerah Filem Los Angeles dan Anugerah Filem Antarabangsa New York.

Kejayaan itu sekaligus memahatkan nama Alena Murang sebagai salah seorang artis budaya berpengaruh di Malaysia sementelah berjaya mengangkat budaya sebuah perkampungan kecil di mata dunia.

Dia berjaya memukau penonton dari seluruh pelusuk dunia dengan dendangan lagu bahasa kelabit dan kenyah yang kebanyakan berkisarkan mengenai alam semula jadi dan cerita-cerita silam nenek moyangnya.

“Saya tidak buat lagu-lagu cinta. Lagu-lagu saya semuanya menceritakan mengenai keindahan alam dan kisah-kisah yang diceritakan oleh nenek moyang kami.

“Misalnya lagu Gitu’an yang bermaksud bintang. Lagu itu menceritakan semula kisah nenek moyang kami yang dikatakan boleh tinggal di langit pada zaman dahulu,” kongsinya.

Bagi memastikan muzik yang dihasilkan kekal berkualiti, kata Alena dia sentiasa memastikan bunyi sape menjadi keutamaan dalam susunan lagu.

“Ada orang yang menyesuaikan bunyi sape dengan alat muzik lain, tetapi saya pula sebaliknya. Saya utamakan bunyi sape dan alat muzik lain perlu mengikut sape atau hanya menjadi pelengkap kepada sape.

“Bagi saya sape begitu istimewa dan ada keunikannya yang tersendiri yang menghasilkan bunyi tradisional yang unik,” jelasnya.

Berani pecah tradisi

Mengimbas kembali permulaannya bermain sape, kata Alena, pada awalnya dia yang ketika itu berusia 11 tahun bersama tujuh orang sepupunya berminat untuk mencipta muzik sendiri.

Disebabkan itu mereka mahu mempelajari sape supaya dapat mencipta irama dengan lebih kreatif mengikut koreografi yang diingini memandangkan mereka turut mempelajari tarian tradisional.

“Sebenarnya pada ketika itu generasi saya tiada yang bermain sape kerana sebelum tahun 1920-an sape hanya digunakan untuk tujuan perubatan, malah wanita dilarang sama sekali menyentuhnya.

“Seiring waktu berlalu, ramai orang Ulu yang menganut Kristian maka kepercayaan itu pun semakin dilupakan tapi tetaplah generasi bapa saya tidak ramai yang bermain sape pada ketika itu.

“Sehinggalah saya meminta Sape Master, Mathew Ngau Jau mengajar saya bermain alat muzik itu. Dia juga tidak keberatan, malah mengalu-alukan anak muda untuk belajar supaya peralatan muzik ini tidak pupus di telan zaman,” katanya.

Justeru itu, Alena dan sepupu-sepupunya merupakan generasi pertama yang bermain sape secara profesional, sekali gus memecahkan stereotaip alat muzik itu hanya dimainkan oleh kaum lelaki.

“Tiada niat lain. Kami hanya ingin belajar bermain alat muzik supaya lebih kreatif untuk mencipta muzik mengikut kehendak kami.

“Kira-kira 20 tahun lalu, tidak ramai yang berminat bermain sape dan kami antara generasi pertama bermain alat itu untuk berhibur. Tetapi kini saya lihat sudah ramai yang sudah mula bermain sape dan semoga ia semakin disukai oleh ramai orang,” ujarnya lanjut.

Puas keliling dunia

Tambah anak bongsu daripada dua beradik itu lagi, dia sudah puas dengan pencapaiannya ketika ini.

Dia berjaya ‘mengangkut’ sape ke beberapa negara antaranya Iceland, Itali dan Thailand.

Mengenai perancangan masa hadapan, figura berusia 34 tahun ini berharap dapat menempatkan sape dalam industri arus perdana agar semua orang dapat menikmati keindahan dan keunikan sape.

Alena kini sedang sibuk merangka kerja menghasilkan album ketiganya yang dijangka akan memulakan kerja-kerja penghasilan sekitar awal tahun hadapan.

Mengenai kemungkinan terjun ke dalam bidang lakonan memandangkan rupanya yang Pan Asia itu, kata wanita berketinggian 180 sentimeter (cm) itu, memang ada tawaran yang diberikan.

Bagaimanapun, dia lebih memilih untuk fokus dalam bidang muzik memandangkan bidang lakonan memerlukan komitmen dan masa yang
lebih panjang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya