Baru-baru ini tular mengenai soalan peperiksaan beberapa subjek untuk murid sekolah rendah yang dikatakan tidak kena dengan usia mereka yang masih kecil.
Soalan matematik dengan digit banyak itu, dikatakan hanya sesuai digunakan menggunakan bantuan kalkulator, bukan lagi congak.
Itu belum lagi soalan untuk subjek lain seperti bahasa Melayu dan sains.
Saya sebenarnya sudah lama perasan mengenai soalan yang mencabar murid ini sewaktu anak sulung bersekolah rendah sekitar 2012 lagi. Memang banyak soalan anak yang saya tidak mampu menjawabnya dengan tepat.
Isu sama muncul lagi pada 2023 ini, seolah-olah tidak ada jalan penyelesaian.
Memang pada mata kasar kita melihat ia sebagai suatu soalan untuk menguji kefahaman murid, tetapi jauh daripada sudut itu ia membabitkan kesan psikologi kepada ibu bapa dan murid.
Apa yang bermain dalam fikiran kita kalau anak kita tidak boleh menjawab dengan tepat, adalah anak kita tidak faham.
Lebih teruk lagi apabila ia menimbulkan keraguan dalam kalangan ibu bapa terhadap sejauh mana usaha dilakukan anak-anak sendiri untuk memperoleh pencapaian terbaik dalam subjek diajar di sekolah.
Ramai ibu bapa yang mahu tahu, soalan yang susah dan tidak sesuai usia itu dibuat oleh siapa? Tak kanlah pihak sekolah sengaja dan memandai-mandai buat soalan. Tidak adakah set soalan yang standard untuk setiap usia murid?
Kenapa mahu anak rasa kecewa dengan diberikan ujian tidak selayak dengan usianya?. Soalan demi soalan pasti timbul dalam fikiran kita.
Sebahagian daripada kita merasakan aspek yang paling penting adalah faham apa yang dipelajari dalam kelas dan tahu mengaplikasikannya dalam kehidupan.
Bagi saya, murid yang tidak dapat menguasai soalan bukan sebab tidak faham, tetapi tidak tahupun konsep subjek dipelajari. Lebih banyak teori daripada praktikal.
Begitupun mana yang sukar itulah perlu dipermudahkan, bukan solusinya dengan menurunkan graf pemarkahan, atau memberikan pilihan kepada pelajar untuk drop mana-mana subjek demi memastikan prestasi sekolah tidak menurun.
Saya sebenarnya kesal juga bila ada pihak yang menyatakan soalan susah wajar diberikan kepada murid sebab murid sekarang semuanya pandai-pandai.
Betulkah dan ada tak kajian menyokong mengenainya? Cukup-cukuplah berubah itu dan ini, sebab yang kelak yang menjadi mangsa adalah ibu bapa, murid dan cikgu serta pihak sekolah.
Apa nak jadi kalau ibu bapa berfikiran, biar cikgu sajalah yang ajar anak aku.
Manakala anak-anak berfikiran, asal jawab soalan. Betul salah belakang kira. Fikir-fikirkanlah.
Nor Afzan Mohamad Yusof Pengarang Rencana, Utusan Malaysia