Suami penentu kemanisan hidup bermadu

Suami penentu kemanisan hidup bermadu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUAMI umpama nakhoda kapal. Betul arahnya, benar jalannya, selamatlah sebuah kapal mengharungi segala ombak dan badai.

Namun, jika nakhodanya, tidak tahu arah tujuan, maka terumbang-ambing dan karamlah kapal ditelan lautan dalam.

Bagaimana pula, jika dua kapal dikemudi seorang nakhoda? Bunyinya agak janggal.

Namun, ada maksud yang tersirat. Biarpun kecil dan ditiup angin kencang, pasti akan membawa kapal sampai ke pelabuhan.

Nakhoda dua kapal ini umpama kisah dalam mengekalkan perkahwinan poligami.

“Jika suami kemampuan dan berlaku adil kepada isteri-isterinya, Insya Allah, bermadu itu indah , ada kemanisannya dan akan mencapai kepada tujuan sebenarnya.”

Begitu jawaban ringkas penuh makna daripada Alin (bukan nama sebenar), wanita yang sudah hampir 10 tahun menjalani kehidupan berpoligami.

Jelasnya, tidak ada salahnya hidup berpoligami asal masing-masing mematuhi syariat agama.

“Kebenaran pahit untuk diterima, pasti ada hati yang terluka dan kecewa. Apa yang membezakan mereka yang ditakdirkan hidup berpoligami adalah bagaimana untuk mendepani, menjalani serta melihat hikmahnya,” sambungnya lagi.

Asalnya, saya mahu menangguhkan untuk berkongsi kisah Alin, memandangkan cerita tentang poligami bukan luar biasa.

Disebabkan pada pertemuan itu Alin tidak berseorangan, sebaliknya ditemani madu, Salina, (bukan nama sebenar), ia mengubah sedikit pandangan saya terhadap kisah poligami kali ini.

Sepanjang pertemuan itu, kedua-duanya mesra dan baik-baik sahaja.

“Perasaan cemburu adalah normal dan semulajadi. Saya juga begitu pada awalnya. Namun saya berusaha untuk tidak larut melayan perasaan terlalu lama.

“Saya merajuk, suami pandai memujuk.

“Bagi saya wanita yang bergelar isteri terutamanya, tidak banyak meminta dan karenah. Apa yang menyulitkan poligami adalah daripada sikap suami itu sendiri,” sambungnya.

Katanya, sokongan dan perhatian daripada suami dalam perkahwinan amat penting untuk tujuan berpoligami.

Akui ibu kepada sepasang cahaya mata berusia 16 dan 12 tahun itu, untuk perkahwinan poligami itu diterima dan kekal, ia tidak hanya bersandarkan kepercayaan, hormat dan kejujuran semata-mata.

Sebaliknya kemampuan suami dari segi kewangan dan berlaku adil.

Sambung Alin, semasa dia mengizinkan suami berkahwin lain, ramai yang tidak bersetuju.

Namun dia sentiasa berpegang, jodoh, pertemuan, ajal maut itu di tangan Allah.

“Alhamdulilah, kami telah menjalani kehidupan bermadu selama hampir 10 tahun.

Prinsip saya mudah.Orang layan saya dengan baik, 10 kali ganda saya melayan mereka dengan baik,” tambah Alin yang bertugas di sebuah syarikat perbankan itu.

Kata Alin, mungkin ada segelintir wanita marah dengan perkongsiannya tentang kemanisan poligami.

“Pahit manis tergantung kepada takdir hidup masing-masing yang mungkin tidak berpihak kepada mereka,” ujarnya. Sepanjang perbualan hampir dua jam itu, Alin sentiasa memanjatkan kesyukuran kerana dia tidak melalui penderitaan sebagaimana wanita yang hidup bermadu di luar sana.

Ditanya, bagaimana dia boleh menerima perkahwinan kedua suami selepas lima tahun berumahtangga, kata Alin sebelum suami menyuarakan hasrat tersebut, dia sedari awal sudah membuat persediaan.

Sebelum itu dia banyak mencari sumber seperti bahan bacaan selain bertemu mereka yang berpengalaman hidup bermadu.

Pada awalnya setiap sumber maklumat diperoleh sedikit sebanyak mempengaruhi fikirannya.

“Saya bernasih baik, kerana 8 daripada 10 daripada mereka membawa saya kepada pemikiran positif untuk mencari kelebihan dalam perkahwinan poligami.

“Secara jujur, kenapa kita perlu berebut hanya kerana seorang lelaki. Kehidupan ini singkat, lalui dan nikmati sahaja,” ujarnya penuh makna.

Kata wanita berusia 38 tahun ini, dia juga menganggap ada hikmah di sebalik perkahwinan kedua suami.

“Walaupun pahit untuk terima kenyataan, itu adalah lebih baik . Ia memberi peluang kepada saya untuk muhasabah diri, membelek kekurangan sendiri dan melihat setiap sudut hidup sebagai anugerah Allah.

“Sememangnya ada kesukaran di awal tempoh penyesuaian hidup berpoligami sebelum ini, Alhamdulilah, semuanya dapat diatasi,” sambungnya.

Tambah Alin, dia bersyukur kerana walaupun berkongsi suami, Salina beradap dan tidak tamak.

Dalam keasyikan Alin memuji madunya, saya memancing Salina untuk bersuara kerana sejak awal pertemuan, wanita itu lebih banyak berdiam diri dan hanya tersenyum.

Sambil tersenyum, Salina berkata, dia percaya kepada jodoh yang ditetap Allah Taala.

“Saya tidak pernah menganggap diri sebagai perampas, sebaliknya sebagai pelengkap kebahagiaan orang lain.

“Sejujurnya, saya juga bersyukur kerana dikurniakan madu yang sangat baik.

“Pegangan kami sama, poligami itu seperti dua kapal sedang berlayar untuk mencari pelabuhan yang tepat untuk berlabuh agar boleh meraih kebahagiaan. Dan sudah tentu ia memerlukan nakhoda yang pandai mengemudi,” ujarnya penuh makna.

Salina yang hamil anak kedua berusia tujuh bulan itu menambah, banyak perkara perlu diambil kira lelaki yang memilih hidup untuk beristeri lebih daripada satu.

Bukan sahaja soal kebajikan, keselamatan dan perlindungan termasuk emosi dan fizikal isteri-isteri, tetapi juga anak-anak.

Allah berfirman dalam Al-Quran bermaksud:
“Dan jika kamu tidak akan mampu berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yatim (bilamana kamu menikahinya), maka nikahilah perempuan (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu risau tidak mampu berlaku adil, maka (nikahilah) seorang sahaja, atau hamba sahaya perempun yang kamu miliki. Yang demikian itu lebih dekat agar kamu tidak berbuat zalim. (An-Nisa ayat 3). –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya