Hiasan Macrame sememangnya sudah digunakan sejak berdekad lalu terutamanya bagi penggemar konsep Bohemian.
Kebiasaannya, hiasan yang diperbuat daripada anyaman tali guni atau jut itu digantung begitu sahaja pada bahagian dinding bagi menambah tekstur pada bahagian tersebut.
Memberikan satu lagi dimensi baharu kepada hiasan itu, Timbalan Pengarah Bahagian Pertanian Bandar Jabatan Pertanian Malaysia, Juliana Megat mentransformasikan hiasan berkenaan daripada sekadar gantungan kepada pemegang tanaman.
Menurut Juliana, memandangkan macrame dihasilkan menggunakan tali, maka bentuknya lebih fleksibel dan mengikut kreativiti masing-masing.
“Macrame Jute merupakan salah satu bentuk kraftangan menggunakan teknik simpulan tali.
“Inovasi tanaman gantung ini bertujuan untuk memanfaatkan sepenuhnya ruangan dinding dan ruang sempit tidak kira di dalam atau luar rumah,” katanya yang mempersembahkan inovasi berkenaan pada Hari Inovasi Jabatan Pertanian baru-baru ini.
Tidak kira sama ada tanaman makanan atau hiasan, ia boleh digantung pada ruangan dinding polos sekaligus memberikan efek segar dan semula jadi.
Selain itu, pembiakan tanaman mudah dibuat seperti herba, ulaman dan sayur daun dengan diletakkan pada macrame ini.
“Ia sesuai untuk tanaman sayuran dengan jangkamasa singkat seperti sayur daun, sayur berbuah, herba dan ulaman kerana berada di satu tempat yang sama dan mudah diselenggara.
“Paling penting, kaedah ini boleh mengatasi masalah ketiadaan tanah atau halaman untuk bercucuk tanam,” katanya.
Penghasilannya tidak mengambil masa lama iaitu sekitar satu jam sahaja untuk disiapkan