BILIK darjah di sebuah sekolah berusia 120 tahun menjadi kembali ceria buat murid-murid selepas ditransformasi menjadi ala-ala sebuah kafe hipster.
Idea menarik itu datangnya daripada Guru Kelas 3 Marikh itu, Mohammad Irfan Mustaqim Ariffin yang sudah dua tahun menggalas tugas di Sekolah Kebangsaan Methodist ACS Kampar, Perak.
Menariknya, walaupun tampak moden dan sotisfikated, hakikatnya ia hanya menggunakan barang-barang terpakai seperti perabot dan kerusi lama yang terdapat di kawasan sekolah.
Beliau kemudiannya mengecat perabot berkenaan dengan warna putih bagi nampak unsur hipster dan minimalis.
“Barang-barang yang diletakkan sebagai hiasan juga adalah sumbangan daripada ibu bapa dan juga guru lain,” katanya kepada Seri.
KONSEP MINIMALIS
Mohammad Irfan yang pernah menerima anugerah khas pendidikan kebangsaan (guru gigih pedalaman) pada tahun 2022, menjelaskan, konsep minimalis menjadi pilihan bagi memastikan bilik darjah tidak kelihatan terlalu sarat.
Ia turut bertepatan dengan citarasanya dan pribadinya sebagai seorang yang sukakan konsep minimalis.
“Saya sukakan sesuatu lain dari pada yang lain.
“Jadi konsep hipster ini saya cuba buat dalam kelas saya sendiri iaitu kelas Tahun 3 Marikh. Idea ini turut bertujuan menarik minat murid supaya lebih selesa dan seronok belajar di dalam kelas,” katanya.
Susun atur serta pemilihan warna putih pada perabot, berjaya membangkitkan suasana hispter yang berkait rapat dengan rasa
santai dan tenang.
“Saya terapkan juga beberapa elemen yang kebiasannya ada pada kafe-kafe hispter seperti Kelas ala kafe hipster bunga hiasan berwarna hijau, bekas bunga daripada tin besi dan pokok kaktus.
“Hiasan gantung menggunakan tali guni serta lapik meja hitam putih yang minimalis, menyerlahkan lagi konsep ini,” jelasnya.
Guru Pendidikan Visual ini menjelaskan usaha mengembalikan keceriaan pada ruang menuntut ilmu itu turut menjadi momen yang mengeratkan perhubungan bukan sahaja antara guru dan pelajar, malah ibu bapa.