Menggemari suasana berasaskan kayu kayan dan suasana seakan pusat percutian membuatkan pemilik kediaman yang hanya ingin dikenali sebagai Nurul memilih konsep moden klasik pada teratak miliknya.
Katanya kediaman disuntik dengan sedikit elemen klasik itu mengimbau kembali kenangan di rumah neneknya.
“Walaupun rumah saya menggabungkan elemen moden termasuk kabinet terbina dalam (built in cabinet) dengan arch, tetapi sedikit suntikan elemen itu juga sudah memadai untuk mengekalkan ciri-ciri diidamkan,” katanya kepada Seri.
Tambah Nurul atau lebih dikenali dengan nama McGeez Home di laman Instagram, pemilihan konsep berkenaan juga memberikan efek malar segar pada kediaman jenis premium teres dengan reka bentuk Semi D berkeluasan 2300 kaki persegi itu.
“Saya berpendapat perabot kayu adalah malar segar serta memberi nilai estetik yang tinggi.
“Kelihatan cantik bukan sahaja dalam gambar, malah cantik juga di depan mata. Selain itu, ruang tamu ini juga tidak mempunyai banyak perabot menjadikan rumah tidak sarat dan selesa untuk bergerak,” katanya.
TAK LARI KONSEP
Pemilihan konsep berkenaan juga adalah selari dengan rekaan luar kediamannya yang dibina berkonsepkan rumah kampung oleh pemaju.
“Pada peringkat awal perancangan ubah suai, saya memastikan pemilihan perabot dan hiasan dalaman tidak lari daripada konsep asal luaran.
“Saya menggabungkan konsep moden dengan sedikit suntikan elemen kampung iaitu menggunakan perabot kayu dan rotan.
“Reka letak di ruang tamu sendiri contohnya sangat airy dan tidak sarat dengan perabot. Ruang terasa luas dan tenang terutamanya apabila tingkap ‘adabi’ ala rumah kampung di ruang tamu dibuka sepenuhnya,” kongsinya lagi.
Bagi melengkapkan tema moden dan klasik, elemen hijau turut tidak dilupakan.
Pohon-pohon hijau digunakan bagi menghidupkan suasana selain berperanan sebagai penambah seri.
“Contohnya di sudut ruang tamu rumah ini terdapat pokok ficus yang berketinggian lapan kaki. Ia menjadi tumpuan semua tetamu yang menjengah ke rumah ini berikutan saiznya,” katanya yang mengambil masa selama sebulan untuk proses ubahsuai.