Hobi simpan barangan klasik beri kepuasan - Utusan Malaysia

Hobi simpan barangan klasik beri kepuasan

Anie Malek memegang tabung buah manggis yang menjadi antara koleksi kesayangannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Perasaan suka kepada set pingan mangkuk dan koleksi barangan klasik sukar nak digambarkan dengan kata-kata sebab bercampur baur. Kalau boleh, hari- hari mahu duduk membeleknya,”. Itu reaksi pengumpul barangan klasik, Anie Malek,55, dari Kuala Sungai Baru, Melaka.

Hobi menyimpan dan mengumpul barangan lama terutama set kelengkapan hidangan, diwarisi daripada ibunya, Munah Siron, 76.

“Mak mengumpulnya sejak muda. Kata mak, orang dulu kalau hendakkan sesuatu barangan, beli melalui sistem ‘kutu’ sebab boleh bayar secara bulanan.

“Menariknya dalam satu set makan misalnya, ada mangkuk nasi, pinggan makan, pingan lauk-pauk, mangkuk kuah, mangkuk bubur yang lengkap sudu dengan corak bunga sama. Ada set bunga kangkung merah, kekwa hitam, kekwa merah, bunga ros merah, hitam dan hijau dan bunga dahlia biru.

“Kalau teko ada dalam simpanan lebih kurang 80 biji, macam-macam bentuk termasuk teko Alladin, bentuk bulat, bujur dengan hiasan bunga kangkung, bunga kekwa dan bunga terong. Setiap teko didatangkan pula dengan set cawan dan piring pelapiknya,” ujarnya.

SEDEKAH PADA ORANG

Walaupun sudah terbiasa melihat set pinggan mangkuk dan aneka barangan klasik di rumah, hati ketika itu tidak berasa apa-apa apabila melihat ibunya memberi sebahagian koleksi yang ada kepada kenalan.

“Saya tahu mak bagi pada kawan Indonesia dan sedekah juga kepada kawan-kawannya tetapi biar sahaja sebab memang banyak di rumah. Walaupun ketika itu sudah timbul minat dan mahu mengikut jejak mak tetapi bersungguh-sungguh. Bagaimana pun pada suatu hari semasa awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), salah seorang anak ternampak dalam kumpulan media sosial kumpulan jual beli pinggan mangkuk lama. Dia menca­dangkan saya menjualnya sebab masa itu memang sarat almari dan kabinet dengan pinggan mangkuk.

“Kami mulakan dengan satu set dahulu dengan izin mak dan tak disangka cepat dibeli orang dan apabila letak lagi gambar lain di media sosial, terjual juga dengan senang. Ada juga yang menghantar pesanan dan bertanya, apakah koleksi lain yang saya ada dan mahu membelinya.

“Apabila sudah terjual beberapa koleksi, suatu hari saya rasa sebak dan sayang pula mahu melepaskan dan bagi tahu anak, tolong berhenti menjual. Sebaliknya saya pula yang membeli koleksi daripada orang lain sebab belum ada,” katanya.

JADI RALIT

Akui ralit dengan hobi tersebut, beliau bertuah kerana hobi disokong sepenunya oleh suami, tiga ananya dan lima tujuh cucu.

“Keluarga menyokong dan selalu menemani jika saya berjanji mengambil pinggan mangkuk yang berkenan di hati, terutama kalau lokasi di luar Melaka.

“Koleksi yang ada bukan hanya untuk hiasan semata-mata kerana jika ada majlis makan-makan dengan ahli keluarga saya akan keluarkan apa-apa set yang sesuai untuk digunakan.

“Padankan pula dengan makan cara berhidang sebab saya juga mengumpul talam-talam antik. Seronok rasanya sambil mengimbau kenangan lama,” katanya.

Anak sulung daripada empat adik-beradik yang juga merupakan tukang solek atau bekas mak andam turut berkongsi saat-saat paling menggembirakan selama terbabit dengan hobi barangan klasik apabila menemui penganti tabung buah manggis miliknya semasa kecil.

“Saya masih ingat tabung tersebut pemberiah daripada aruah abah ketika berumur tujuh tahun. Setiap kali balik sekolah, duit lebihan akan disimpan di dalamnya dan kalau nak guna duit, cungkil ikut lubang kecil dan malangnya lama kelamaan tabung tersebut pecah.

“Tahun lepas bila saya nampak ada penjual yang tawarkan tabung tersebut dan hati berdebar-debar sebab memang serupa tabung yang pecah dulu. Pada hari menerima tabung tersebut, saya sangat hiba rasanya tetapi seronok,” katanya.

Selain set pinggan mangkuk dan teko, Anie turut mengumpul mangkuk tingkat aneka jenis dan corak dan yang paling unik mangkuk tingkat yang mempunyai tempat kunci atau bermangga. Ada juga talam berhias bunga, set mangkuk daripada ayan dan kerusi dan meja antik yang menghiasi sudut rumahnya.

“Saya turut membeli almari lama yang kawan-kawan tidak mahu menyimpannya lagi untuk tempat menyimpan koleksi yang baharu. Sekarang, selain mengumpul sebagai hobi, saya turut mencari pinggan mangkuk dan barangan lama daripada penjual lain dan menjualnya kembali sebagai menambah pendapatan.

“Bagaimana pun bukan semua akan dijual semula kerana jika barangan tersebut unik dan menarik, suami pun akan bagi tahu, jangan jual dan simpan sebagai koleksi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya