Telefon saya ada banyak grup Whatsapp. Selain kumpulan untuk kerja di pejabat, grup keluarga dan rakan-rakan pun ada. Itu belum lagi grup sekolah anak-anak. Selalunya di grup, bila terbit sahaja gosip atau isu tertentu, termasuklah yang paling hangat kini berhubung harga beras, ia pantas sahaja mengundang reaksi.
Apatah lagi kalau ia membabitkan pengumuman bantuan kerajaan untuk memberi sumbangan kepada rakyat.
Masing-masing pantas memberi reaksi hinggakan kita pun tak larat nak membaca satu persatu komen. Meriah. Telefon anda bagaimana? Lebih kurang samalah kan?
Situasi agak berlainan dalam grup sekolah bila cikgu umumkan tentang kutipan bayaran termasuk yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Biarpun disertakan sekali surat pekeliling menyokong kenapa sejumlah bayaran itu dikenakan, sambutannya kurang.
Senarai dikongsikan ke dalam grup mengenai siapa yang sudah membayarpun, senarainya pendek sahaja, biarpun tahun 2023 dah nak sampai ke penghujung.
“Cikgu ni dah macam pengutip hutang. Selalu kena ingatkan untuk bayaran yuran, bayaran PIBG”. Luah kawan saya yang sudah lebih 20 tahun berkhidmat di sebuah sekolah di pinggir bandar.
Katanya, ada segelintir yang sengaja culas, bukan sebab tidak mampu tetapi bersikap sambil lewa dan mengambil mudah hal ehwal pendidikan dan sekolah anak-anak.
Golongan kurang berkemampuan pula, yang selalunya lebih berdisiplin membuat bayaran.
Barangkali ada dalam kalangan kita yang termakan idealogi pendidikan sekolah di negara ini adalah percuma, maka ramai yang endah tak endah.
Situasi ini amat menyedihkan. Seharusnya urusan pendidikan anak-anak didahulukan dan langsaikan bayaran awal tahun bagi memudahkan pihak sekolah menjayakan aktiviti yang sudah disusun. Tak masuk akal kalau dalam tempoh 12 bulan langsung tiada bajet untuk pendidikan anak-anak?
Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa memantau dan memastikan pihak sekolah mematuhi prosedur ditetapkan supaya caj yuran PIBG dikenakan tidak membebankan ibu bapa. Namun membebankan dan tanggungjawab, maknanya berbeza.
Janganlah menjadikan kelonggaran diberikan cikgu, menyebabkan kita tergolong dalam kalangan orang yang menyerahkan segala-galanya pada sekolah.
Ada guru yang kena keluarkan duit poket sendiri membeli pensil dan pensil warna sebab tidak dibekalkan ibu bapa.
Janganlah macam itu. Kalau begini sikap kita, agaknya adakah anak kita kelak tahu menghargai ilmu atau sekurang-kurangnya menghargai orang yang melahirkan mereka?
Nor Afzan Mohamad Yusof Pengarang Rencana, Utusan Malaysia