Saya ada empat orang anak. Akhir-akhir ini, emosi saya sangat tidak stabil. Saya selalu rasa penat, cepat marah dan tiada mood membuat kerja rumah. Bila saya beremosi, saya akan kerap marah anak-anak dan saya tidak suka dengan perasaan ini. Boleh bantu saya?
Puan Rohaya, Cheras
Jawapan
Setiap wanita bergelar ibu pasti menginginkan kesempurnaan dalam mengurus rumahtangga. Namun dalam mengejar kesempurnaan itu, mereka terlupa untuk mengurus diri sendiri. Mengabdikan diri sepenuhya kepada keluarga agar suami dan anak-anak tidak merasakan kekurangan.
Kesempurnaan yang dicari akhirnya merosakkan diri. Tanpa sedar emosi mereka mulai berubah dek kerana kepenatan, kemarahan dan kebosanan melakukan rutin berkenaan. Anak-anak pula mula menjadi mangsa kemarahan.
Sekiranya ada perasaan ini, anda sebenaranya sedang mengalami burnout? Ia adalah situasi individu mengalami tekanan sehingga berasa tidak mampu lagi memikul tugasan yang ditanggungnya. Malas dan tidak bersemangat membuat rutin yang sama setiap hari.
Menjadi ibu sempurna sememangnya idaman semua wanita, namun tak perlu memaksa diri untuk menjadi terlalu sempurna sehingga menjejaskan emosi sendiri. Lakukan semampu yang anda boleh. Usahalah untuk mengurus emosi sebaik mungkin dalam mendidik anak-anak. Kesempurnaan ini tidak dapat dicapai sekiranya emosi anda dan anak-anak terluka.
Selalulah ingat, ibu yang gembira dapat menghasilkan keluarga bahagia. Burnout itu normal, cuma kita perlu uruskan dengan baik.
Berikut antara boleh puan lakukan untuk tenangkan diri apabila burnout:
• Berkongsi – Meluahkan perasaan kepada orang terdekat seperti suami. Bersikap jujur dan berterus terang dengan apa yang anda rasai. Para suami cuba luangkan masa untuk mendengar keluhan isteri dan bersikap peka dengan perubahan emosi isteri. Saling bantu membantu untuk keharmonian rumahtangga.
• Expectation – Lakukan rutin harian mengikut kemampuan. Kurangkan expectation sehingga memberi kekecewaan apabila anda gagal melakukan. Urus rumahtangga dengan cara terbaik mengikut keselesaan.
• Me Time – Cari rang untuk me time sebagai penghargaan kepada diri sendiri. Contohnya menonton TV, minta izin dengan suami keluar bersiar-siar dengan kawan atau membeli makanan kesukaan sebagai penghargaan kepada diri.
• Buat kerja dengan cara berbeza – Lakukan kerja sambil mendengar radio dan bermain dengan anak-anak. Sebarkan mood positif dan sentiasa ceria sambil melakukan kerja-kerja rumah.
• Dapatkan tidur sekejap pada waktu siang – Jangan terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri. Selepas terbangun, anda boleh recharge kembali energy dengan lebih baik.