Baru-baru ini inisiatif Penghayatan Modul Hadis 40 Imam Nawawi dijadikan bahan polemik pihak tertentu.
Entah mana silapnya biarpun Kementerian Pendidikan sudahpun menegaskan perlaksaannya hanya melibatkan guru dan murid beragama Islam di Sekolah Mengah Kebangsaan Agama dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan serta dikembangkan ke sekolah-sekolah dan kelas daripada mata pelajaran Pendidikan Islam sahaja.
Saya kira apa yang cuba dilakukan itu hanyalah suatu penambahbaikan kepada subjek sedia ada di sekolah berkenaan.
Sebab yang mengajarpun cikgu yang sama juga. Barangkali, tidak perlupun ia di hebohkan kepada masyarakat, yang tidak bolehpun berbuat apa-apa selain daripada menerima perubahan demi perubahan yang diingini.
Yang tidak sedapnya bila ada yang menunding jari ke orang itu dan orang ini.
Sebenarnya, ‘senyap-senyap’ sudahlah asalkan ia mendatangkan kebaikan.
Lagipun bukanlah luar biasa di negara ini apabila ada sesuatu perkara kecoh, maka pihak sekolah dan muridlah yang akan ‘diperbetulkan’ menerusi pengenalan subjek itu dan ini.
Realitinya sebagai ibu bapa kita pun tidak mahu eneka subjek di perkenalkan kepada murid, sekadar melepaskan batuk di tangga.
Adakah audit dilakukan bagi memastikan subjek itu masih diperlukan atau ada subjek yang perlu ditinggalkan kerana tidak sesuai dengan perkembangan semasa?.
Macam saya bangkitkan dalam kolum ini minggu lepas, sesuatu subjek diperkenalkan itu tidak seharusnya memberi kesukaran kepada pelajar, guru dan ibu bapa.
Ibu bapa sebenarnya mahu yang ‘tenang-tenang’ sahaja sebab situasi semasa sudah menyerabutkan.
Baiki saja apa yang kurang dalam subjek tertentu, jadikan ia lebih segar dan menarik.
Tak perlu canang satu negara. Sudah pasti penambahbaikan dan audit diperlukan supaya dapat kenalpasti apa kesukaran dihadapi murid dan guru.
Macam anak kawan saya katanya tidak menunjukkan minat belajar tulisan jawi.
Apa pendekatan untuk menangani hal ini? Takkanlah diberikan latihan semata-mata untuk mengalakkan minatnya?.
Mungkin pendekatan diberikan tidak sesuai atau anak itu sendiri tidak arif cara pegang pensil khat?.
Kalau kita mahukan aduan daripada pihak guru ibu bapa diselesaikan dengan sebaik mungkin, samalah isu dengan aduan guru yang perlu diselesaikan sebaik mungkin.
Sekiranya guru tidak rasa terbeban dan serabut, kenapa ramai yang memilih untuk pencen awal.
Nor Afzan Mohamad Yusof Pengarang Rencana, Utusan Malaysia