Bila anak-anak berkira jaga ibu sendiri - Utusan Malaysia

Bila anak-anak berkira jaga ibu sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bila wanita berkahwin, dia bukan sahaja berkahwin dengan lelaki pilihannya, tetapi juga berkahwin dengan keluarganya juga.

Mereka harus menerima keluarga lelaki itu. Jadi baik buruk keluarganya, kena terima dengan hati terbuka.

Malah banyak perkara si isteri perlu mengalah jika melibatkan keluarganya kadang kala.

Minggu ini saya kongsikan kisah Ida (bukan nama sebenar) yang sanggup berkorban menjaga ibu mentua selepas anak-anak lepas tangan dan berkira dalam soal penjagaan ibu sendiri.

Ida saya temui baru-baru ini mengakui kisah yang ingin dikongsikan bukan bertujuan mahu mengaibkan sesiapa, apalagi mahu berbangga diri atas bakti kepada ibu mentuanya selama ini.

Katanya, apa yang mahu diceritakan hanya mahu memberi pengajaran kepada mereka yang masih mempunyai ibu bapa.

“Saya percaya apa yang berlaku dalam keluarga suami, terjadi juga kepada keluarga lain. Memiliki adik-beradik ramai, tetapi tidak mampu walau seorang untuk menjaga ibu bapa yang sudah uzur.

“Ada kalanya, ia bukan disebabkan tidak berkemampuan, tetapi sikap pentingkan diri sendiri dan tidak mahu bertolak ansur sesama ahli keluarga,’’ katanya memulakan cerita.

Sepanjang ibu mentua terlantar sakit, terlalu banyak drama berlaku sesama mereka adik beradik.

Katanya, adegan tolak menolak siapa yang sepatutnya menjaga ibu terus berlaku.

“Sepanjang tempoh lima tahun ibu berada dalam jagaan kami sekeluarga mereka masih menunjukkan sikap pentingkan diri.

“Apa yang lebih mengejutkan, walaupun ibu sudah hampir 10 bulan meninggal dunia, mereka sesama adik beradik masih bercakaran.

“Kali ini lain pula ceritanya, masing-masing berebut pula harta yang ditinggal ibu mereka,” ujar Ida lagi.

Kata Ida, sehingga ke hari ini dia masih tidak percaya bagaimana adik beradik terutama abang sulung suami sanggup memperlakukan ibu sendiri sedemikian rupa.

Sebagai anak dan abang sulung, sewajarnya dia mengambil tanggungjawab utama dalam menentukan hal-hal menguruskan kebajikan ibu.
Namun itu tidak berlaku, apabila segala keputusan abang ipar banyak dipengaruhi isterinya.

Memulakan cerita, kata Ida ibu mentuanya yang merupakan pesara kerajaan itu diserang strok sebelah badan pada pertengahan Jun 2017.

Ibu yang tinggal sendirian sejak kematian suami hampir lima tahun sebelum itu sihat dan boleh menguruskan diri.

Selepas apa yang berlaku kepada ibu mentua, mereka adik beradik seramai enam orang itu sepakat menjalankan pengiliran jagaan.

Namun pengiliran dibuat tidak mencapai apa yang dipersetujui sebelum itu. Hanya bertahan selama enam bulan.

Ini kerana ada antara adik beradik suami culas dan cuba lari daripada tanggungjawab.

Setiap kali tiba giliran membawa ibu ke rumah mereka, pelbagai alasan diberikan, termasuk tidak mampu memberi perhatian sepenuh kepada ibu kerana masing-masing sibuk bekerja.

Sehinggalah pada suatu hari mereka sepakat untuk meletakkan sahaja ibu di bawah penjagaan suami.

“Cadangan yang diberikan abang sulung suami mudah, kerana saya tidak bekerja. Lebih banyak masa boleh menjaga ibu mereka.

“Awalnya saya tidak sanggup, maklumlah bukan mudah menjaga orang tua yang terlantar. Namun kerana kasihan dengan keadaan ibu mentua yang sering diusung ke sana sini, saya setuju dengan cadangan itu,” ujar Ida.

Bagaimanapun kata Ida, sikap lepas tangan adik beradik suami tidak pernah berubah.

Mereka terus mengambil kesempatan terhadap kebaikan mereka sekeluarga.

“Saya tidak mengharapkan lebih daripada adik beradik suami. Cukuplah ambil masa datang menziarahi, berbual dan sesekali datang memandi dan menyalinkan lampin pakai buang ibu mereka.

“Namun itu tidak pernah berlaku. Mereka hanya datang sekejap dan pulang seperti tetamu,” luah Ida.

Berkongsi pengalaman sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan masa mereka banyak dihabiskan di rumah juga merupakan cabaran besar kepada dia dan suami.

Ini kerana ibu sering bertanyakan anak-anak dan cucunya.

“Saya dan suami sangkakan mereka akan datang menziarahi ibu selepas PKP tamat, namun sangkaan kami meleset. Mereka lebih mengutamakan perancangan untuk melancong ke luar negara yang tertangguh disebabkan PKP daripada menziarahi ibu mereka,” sambung Ida lagi.

Kata Ida dia percaya dengan apa yang Allah janjikan sesiapa yang berbuat kebaikan kepada orang tua akan diberi ganjaran.

Walaupun suami hanya bekerja sebagai kerani di salah sebuah sekolah rendah, rezeki mereka anak beranak tidak pernah putus.

Berbeza dengan adik beradik suaminya yang kesemuanya berpelajaran tinggi, berkerjaya bagus di bandar, namun diuji dengan pelbagai masalah seperti kewangan, rumah tangga dan anak-anak.

Sebab itu kata Ida, selepas kematian ibu mentua, masing-masing sibuk menuntut harta yang ditinggalkan.

“Tidak ramai daripada kita diberi peluang menjaga ibu dan ayah. Ada yang menjadi yatim piatu sejak kecil seperti saya. Saya tidak berkesempatan menyemai pahala berlipat ganda menyantuni mereka.

“Kepada anak-anak yang diberi peluang keemasan saat ibu ayah diuji dengan sakit, jangan mengeluh, sebaliknya rebutlah masa yang ada untuk berbakti kepada mereka.

“InsyaAllah, nikmat rezeki akan diperluas Allah Taala apabila seorang anak yang merawat, memulia, berbakti dan menjaga ibu bapa,” ujarnya.

Sebagaimana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a: Bahawa Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud: “ Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah SAW ditanya: Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah?.

Baginda menjawab: Seseorang yang mendapati kedua-dua ibu bapanya atau seorang daripada mereka sudah tua, namun masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya