Sejak akhir-akhir ini saya kerap terbaca tentang kisah isteri membenarkan suami berpoligami.
Saya berasa sangat beremosi, tambahan pula saya telah lapan tahun berkahwin tetapi belum dikurniakan zuriat.
Suami saya okey saja, cuma kerisauan ini sangat menganggu fikiran saya. Apa perlu saya lakukan?
Isteri Kerisauan
Jawapan
Tidak dinafikan bahawa setiap pasangan yang sudah berkahwin pasti menginginkan zuriat sebagai penyeri dalam kehidupan mereka. Namun begitu, bukan semua pasangan ditakdirkan untuk memiliki zuriat selepas berkahwin. Malah bukan semua orang disekeliling mereka mampu memahami perasaan yang dirasai oleh pasangan ini. Bahkan ada juga yang mula mengejek dan bertanya-tanya sehingga menguris hati pasangan ini.
Ada orang tanya, awak merancang ke? Rugi kalau dapat anak lambat, nanti bila dah tua, anak-anak masih kecil. Ada orang tanya, tak pergi berubat ke? Iktiarlah sikit macam takda usaha saja.
Nak tunggu suami kahwin lain dulu ke baru nak usaha? Itu mulut mereka, biarkanlah mereka.
Perlu diingatkan bahawa Nabi Zakaria AS pernah diuji dengan tiada zuriat. Ramai pasangan dianugerahkan untuk memiliki zuriat malah akhirnya bercerai-berai, anak-anak terabai, curang dan sebagainya. Ini amat menyakitkan.
Pasangan yang tidak memiliki zuriat mungkin nampak kesunyian taatkala melihat keluarga lain bersuka ria dengan anak-anak mereka, namun begitu mana tahu mereka adalah pasangan yang paling bahagia, saling mencintai dan menyayangi antara satu sama lain.
Banyak masa untuk berdua-duaan, mencipta sejarah kebahagian sendiri tanpa syarat.
Belajar untuk bersyukur dengan apa adanya kerana ia adalah kunci kebahagiaan dalam rumah tangga.
Anak bukan satu syarat untuk mencapai kebahagiaan, malah banyak perkara lain yang boleh kita syukuri untuk merasai kebahagiaan sebenar.
Berikut tips boleh puan lakukan sebagai usaha untuk berdamai dengan takdir dimiliki:
* Bersyukur dan terima takdir Allah dengan hati yang tenang – Rumah tangga kita adalah syurga kita. Bina dan cipta rumah tangga anda seperti yang anda impikan tanpa syarat.
* Ajak pasangan bertemu doktor untuk rawatan kesuburan – Buat temujanji di Klinik Kerajaan, Klinik Swasta, Klinik LPPKN (Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara).
* Dapatkan sokongan daripada orang terdekat – Selain keluarga, boleh juga sertai kumpulan sokongan di Media Sosial seperti TTC Malaysia group (Trying to Conceive Club Malaysia).
* Gaya hidup sihat – Pasangan perlu mengamalkan gaya hidup sihat seperti menjaga pemakanan, pengurusan emosi dan bersenaman.
* Berdoa – Banyakkan berdoa dan serahkan segalanya kepadaNya.