Saya tak mengikuti kempen politik sama ada secara online atau live, bukan tidak suka ditaburi janji manis tetapi janji yang ditabur, entah bila dikotakan.
Saya pun tak sanggup mendengar cerita mengaibkan parti A ke parti B, atau parti B ke parti A.
Memanglah kita boleh dengar tetapi percaya jangan, tetapi masa untuk mendengar ceramah kempen politik itu, bagi saya sudah berlalu. Saya lebih suka membaca apa yang dilaporkan dalam akhbar. Semua orang bebas memilih dan ia pilihan individu, tidak timbul soal patut atau tidak.
Melihatkan kepada pembangunan sekeliling pun sudah dapat diukur sama negara okey atau sebaliknya. Sama ada wakil rakyat mewakili kawasan kita buat kerja atau tidak.
Saya kira ramai yang berfikiran begitu sejak negara kita kerap bertukar-tukar pemimpin. Kalau tak percaya tengoklah komen di media sosial. Maaflah kalau telahan saya salah. Tetapi itulah yang saya rasakan.
Sampai bila kita nak melihat kempen pilihan raya itu sebegitu acuannya? Sedari saya mulai boleh membaca, kempennya sebegitulah, seolah-olah turun temurun.
Anak saya yang usianya sudah boleh mengundi pun sudah boleh baca pattern orang politik berkempen sesedap rasa dan bahasa.
Kita pandai merungut bila remaja berbahasa kesat tetapi kita lupa ada segelintir golongan berusia sebenarnya ramai yang tidak menjaga adab dalam berbahasa.
Saya percaya YB muda yang ada di negara kita hari turut menjadikan orang lama sebagai panduan digunakan untuk berkempen. Sebab itu acuan kempen politik pada tahap yang sama, banyak yang tabur janji daripada menceritakan mengenai situasi semasa dan perancangan membangunkan kawasan masing-masing.
Saya kira badan pemantau perlu ada dalam menangani hal ini. Ambil saja dalam kalangan wanita mengenai apa kesalahannya, mesti banyak yang dijumpai. Mana-mana yang keterlaluan kena merit.
Menangani hati pengundi, tidak susah pun sebenarnya. Selalulah turun padang mendengar keluhan rakyat.
Kehidupan keluarga khususnya di ibu kota realitinya memang warganya tidak senang dan selalu berdepan stress dan perkara yang paling mendesak ialah kos hidup yang semakin tinggi termasuk harga barangan mentah yang mencanak naik.
Sepinggan nasi boleh mencecah RM10 ringgit. Kalau tiga kali makan sehari, berapa nak kena tanggung demi kelangsungan hidup?
Itu belum lagi isu pekerja seperti gaji tidak setimpal dan pekerja e-hailing yang tersepit akibat kos yang bukan-bukan dikenakan oleh operator.
Kita berbanggakah kalau seorang rakyat ada dua tiga kerja semata-mata menampung hidup dan membayar caj dan harga yang tidak masuk akal?
Kita bukan alat untuk diperah keringat, apa-apa kos semuanya kena tanggung. Kalau begitu, senang sangatlah hidup pihak berwajib.
Sebagai isteri dan ibu, saya pun tidak rela suami melakukan dua tiga pekerjaan pada suatu masa. Kalau 24 jam diisi dengan mencari duit, ke mana erti sebuah keluarga? Namun kisah masyarakat ini sering dikaburi kisah-kisah ahli politik yang menyesakkan dada.
Nor Afzan Mohamad Yusof Pengarang Rencana, Utusan Malaysia