skandal tempat kerja

Kawan jangan sampai terbabas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Semua orang perlukan kawan dalam hidup apatah lagi kawan baik atau lebih sinonim dengan perkataan best friend forever (BFF) untuk menjadikan kehidupan lebih bermakna.

Namun, memiliki BFF berlainan jantina tidak sesuai untuk semua orang terutamanya bagi golongan yang sudah mendirikan rumahtangga.

Lebih-lebih lagi, di tempat kerja yang merupakan tempat ramai orang menghabiskan masa setiap hari.

Pakar Psikologi Kaunseling Hospital Kuala Lumpur (HKL), Ruhana Mahmod berkata, keakraban antara antara rakan sekerja yang berlainan jantina menyebabkan mereka saling tertarik antara satu sama lain.

Ruhana Mahmod

“Apatah lagi apabila sering bersama, meluangkan masa yang panjang untuk menyelesaikan sesuatu tugasan serta berkongsi pengalaman dan minat yang sama.

“Lumrahnya manusia akan mudah tertarik kepada seseorang yang mempunyai persamaan dari segi pandangan dan matlamat hidup. Ini boleh membawa kepada perhubungan intim sesama rakan sekerja,” katanya kepada SERI.

Ruang dan peluang

Katanya, perkara itu kemudiannya akan membawa pula kepada perhubungan skandal di tempat kerja.

Hubungan intim yang terjalin itu diperkukuh dengan adanya ruang dan peluang di pejabat.

“Pertemuan setiap hari di atas urusan kerja yang mungkin bermula tanpa sengaja akhirnya mencetuskan perasaan suka, minat atau syok yang akhirnya mendapat balasan sehingga terjalinnya hubungan terlarang.

“Peluang sebegini juga dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang yang telah biasa berkelakuan curang dan sentiasa mencari-cari hubungan baharu. Begitu juga dengan golongan yang suka test market bila ada pekerja baharu yang menarik perhatian,” ulasnya lagi.

Tambahnya, senario berkenaan juga berkemungkinan terjadi kerana tiada batasan dalam pergaulan walaupun ketika melaksanakan tugasan di pejabat.

Katanya, pergaulan bebas antara lelaki dan wanita yang bekerja di pejabat yang sama berkemungkinan mampu mencetuskan bibit-bibit kecurangan terhadap pasangan.

“Ini boleh berlaku apabila terlalu banyak aktiviti sosial dengan rakan sepejabat, sehingga diluar waktu pejabat, bahkan melangkaui hujung minggu.

“Segalanya bermula dengan aktiviti social seperti mengopi, mengeteh atau main boling dan menonton wayang untuk menghilangkan kebosanan dan tekanan kerja.

“Kadangkala hubungan terlarang juga berlaku apabila tugasan kerja di luar negeri yang melibatkan bermalam di hotel. Ada pasangan sepejabat yang begitu berani melanggar adab dan larangan agama apabila berkongsi bilik hotel dan berpura-pura seperti suami isteri,” katanya.

Jaga batas pergaulan

Oleh itu, tegasnya, setiap pergaulan atau perbuatan yang dilakukan sepatutnya diletakkan batasan agar sentiasa terlindung daripada perkara tidak diingini.

“Pergaulan ini dibolehkan dengan syarat-syarat kedua-dua pihak menjaga batas-batas syarak dan adab seperti berpakaian menutup aurat dan menundukkan pandangan.

“Selain itu, berbual dengan nada suara yang normal, tidak menunjukkan gaya manja, percakapan biasa yang tidak mengandungi unsur-unsur fitnah dan tidak berkhalwat atau duduk berdua-duaan di tempat sunyi,” jelasnya lanjut.

Dalam pada itu, Ruhana turut menasihatkan agar lelaki dan wanita yang sudah berkahwin untuk lebih berhati-hati menjaga adab dan batas pergaulan demi mengelakkan tercetusnya perkara yang boleh menghancurkan perkahwinan.

Antaranya adalah berbual atau berbincang dalam suasana yang profesional dan tegas, tidak bergurau senda berlebihan sehingga menimbulkan prasangka, menahan pandangan mata dan mengawal diri, tidak berjabat tangan dan bersentuhan , berpakaian sopan serta menutup aurat dengan sempurna.

Pilih untuk berkawan rapat dengan rakan sama jantina dan berhati-hati dalam perhubungan melalui media sosial.

Elakkan daripada saling meluahkan dan berkongsi masalah peribadi atau keluarga kepada rakan berlainan jantina bagi mengelakkan ruang dan peluang mencetuskan keintiman.

Melanggar etika

Nor Wahiza Wahat

Sementara itu, Ketua Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Nor Wahiza Abdul Wahat menjelaskan, fenomena suami atau isteri orang berskandal di tempat kerja sememangnya melanggar etika di tempat kerja .

Hal ini kerana ia boleh menjejaskan reputasi organisasi apatah lagi ia juga tidak direstui oleh mana-mana ajaran agama.

Bagaimanapun, katanya, Di Malaysia tiada undang-undang yang melarang hubungan sesama rakan sekerja.

Namun, terdapat beberapa peraturan yang boleh diikuti oleh Bahagian Sumber Manusia dan majikan.

“Pekerja dan majikan perlu mematuhi Kod Etika yang ditetapkan oleh syarikat. Kod Etika ini mengandungi arahan dan peraturan yang perlu diikuti oleh semua pihak dalam syarikat, termasuk mengenai skandal hubungan di tempat kerja.

“Pekerja yang melanggar Kod Etika ini boleh dikenakan tindakan disiplin oleh majikan seperti pemecatan setelah siasatan membuktikan kesahihan berlakunya skandal tersebut. Satu lagi langkah yang boleh diambil oleh majikan adalah memberikan latihan dan pendidikan tentang etika dan integriti kepada pekerja,” jelasnya.

Kesan daripada tindakan tatatertib pastinya boleh menjejaskan pembangunan kerjaya pekerja yang terlibat dan juga sebenarnya menjejaskan reputasi organisasi itu sendiri.

Selain itu, ia juga akan turut memberi kesan psikologi kepada ahli keluarga yang terlibat seperti pasangan hidup dan anak-anak.

Mengulas lanjut, Nor Wahiza berkata, majikan perlu menghindari skandal hubungan yang melibatkan unsur-unsur seperti penganiayaan, pemaksaan atau secara seksual.

Skandal yang terjadi boleh membawa kesan yang serius kerana ia boleh mengganggu produktiviti serta komitmen kerja dan juga reputasi syarikat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya