Bereksperiment dengan ruangan yang kecil memerlukan lebih kreativiti untuk mengelakkan suasana yang padat.
Kebiasaannya ramai yang memilih tatarias bertemakan warna cerah bagi memberikan ilusi ruang yang lebih luas.
Berlainan pula dengan pemilik kediaman, Mardhiah Syazwani Md. Said yang berani menggunakan rona hitam dalam menata rias kediamannya yang berkeluasan 750 kaki persegi.
Dengan ruangan yang agak terhad itu, katanya, dia perlu menggunakan lebih kreativiti dan berhati-hati dengan permainan warna agar ruang tidak kelihatan sarat.
“Tapi saya tetap memilih perabot kebanyakan warna hitam kerana bagi saya hitam nampak kemas selain ia juga warna selamat.
“Jadi, saya seimbangkan ia dengan rona dinding yang cerah iaitu warna krim.
Dengan teknik ini saya rasa ia menjadi kerana apabila masuk ke rumah tidak rasa padat atau sarat,” katanya sudah menetap di kediaman itu sejak tiga tahun lalu.
Tambahnya, bagi melengkapkan tatarias kediaman itu, dia menggunakan konsep ringkas dan moden untuk kekal relevan.
Katanya, pemilihan itu kerana rekaan moden tidak lapuk dek masa yang membolehkan dia menatarias kediaman dengan lebih mudah.
“Selain itu, dengan keluasan rumah yang sederhana, saya rasa konsep ringkas adalah yang paling sesuai supaya ruang tetap kelihatan luas dan selesa.
“Bagi mengekalkan konsep moden pula, saya membuat pemilihan teliti bagi rekaan perabot. Sudah semesti pilihan saya adalah rekaan perabot terkini kerana ia akan memberikan efek elemen moden,” jelasnya yang turut aktif berkongsikan dekorasi kediaman di akaun Instagram AD Sweet Home.
Bagaimanapun, katanya, pemilihan perabot berwarna gelap seperti hitam sememangnya memerlukan penjagaan yang lebih.
Lebih-lebih lagi apabila dia juga mempunyai seekor kucing.
“Habuk memang mudah nampak dan saya pula ada bela kucing jadi bulu-bulu dia yang gugur mudah nampak pada perabot.
“Jadi, meja dengan rak televisyen (tv) memang saya akan lap setiap hari untuk kelihatan bersih dan kemas sentiasa,” katanya lanjut.