Ibu, selamatkan anak daripada nafsu buas bapa - Utusan Malaysia

Ibu, selamatkan anak daripada nafsu buas bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Naluri seorang ibu itu sentiasa benar dan kuat. Tiada penjelasan yang logika ke atas kebenaran itu, tetapi ia tetap benar.

Begitulah naluri Emma (bukan nama sebenar) yang berasakan ada sesuatu yang tidak kena pada anak perempuannya yang diletakkan di bawah jagaan bekas suami selepas bercerai.

“Naluri saya sebagai seorang ibu kuat mengatakan bahawa anak perempuan saya sedang berdepan kesulitan.

“Disebabkan itu juga saya berusaha dan tidak teragak-agak menyiasat seterusnya bertindak walaupun memberi kesan kepada diri saya ketika itu,’’ demikian yang ditulis dalam kiriman emel kepada saya baru-baru ini.

Minggu ini saya kongsikan kisah Emma, seorang ibu mangsa sumbang mahram bapa kandung.

Membuka cerita kata Emma, dia tidak pernah menyangka bekas suami tergamak menjadikan anak sulung mereka sebagai pemuas nafsu sejak berusia 10 tahun dan berlarutan sehingga berusia 13 tahun.

Perbuatan jijik bekas suami terbongkar selepas Emma memaksa anaknya, Amira (bukan nama sebenar) menceritakan kejadian sebenar.

Perubahan ketara anak sulung daripada dua beradik itu mula disedari Emma apabila bertemu pertama kali selepas hampir dua tahun berpisah.
Amira banyak mendiamkan diri dan seolah-olah ketakutan berada di rumah bapa sendiri.

Setelah didesak berulang kali, Amira akhirnya membuka cerita.

“Ketika itu saya membuat helah kepada bekas suami untuk membawa Amira keluar berjalan-jalan.

“Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika itu sebaik dia memberitahu siapa pelaku sebenarnya.

“Dan ketika itulah perbuatan bekas suami terbongkar. Saya benar-benar tidak sangka dia sanggup memperlakukan anak sendiri sedemikian rupa,” tulisnya.

Terkejut dengan pendedahan Amira, Emma tanpa berlengah membuat laporan polis sebelum Sulaiman, (bukan nama sebenar) ditahan.

Menyingkap kisah lalu, Emma berkahwin dengan Sulaiman atas dasar cinta selama hampir 11 tahun.

Mereka dikurniakan dua anak, Amira dan Sani, (bukan nama sebenar) masing-masing ketika itu berusia 10 tahun dan dua bulan.

Namun jodoh mereka tidak panjang selepas lelaki itu didapati curang dengan adik sepupunya sendiri.

Selepas habis pantang, Emma menuntut untuk mengakhiri perkahwinannyan dengan alasan tidak sanggup hidup dengan lelaki curang seperti Sulaiman.

Emma cuba untuk mendapatkan hak penjagaan kedua-dua anaknya, namun gagal dengan alasan tidak mempunyai pekerjaan.

Dia hanya dibenarkan menjaga Sani yang masih menyusu badan ketika itu.

Selepas sebulan berpisah, bekas suami berkahwin dan mereka berpindah ke Johor Baharu membawa Amira bersama.

“Sejak itu saya tidak bertemu dengan Amira. Kami terus terputus hubungan. Saya tidak tahu apa niat sebenar bekas suami yang seolah-olah cuba memisahkan saya dengan Amira,” cerita Emma.

Bagi membesarkan anak bongsunya yang masih kecil dan dalam masa sama berniat untuk mendapatkan semula hak penjagaan Amira daripada bekas suami, Emma bekerja kilang.

Sepanjang tempoh dua tahun dia berusaha mengumpul wang.

Selepas berjaya mengesan tempat tinggal Sulaiman, Emma berunding untuk mendapatkan semula Amira.

Namun bekas suami tetap dengan pendirian untuk tidak membenarkan Emma menjaga Amira.

Emma hanya dibenarkan sebulan sekali berjumpa Amira dengan syarat dia sendiri perlu turun ke Johor Baharu.

Dalam emelnya juga Emma turut membuka cerita bekas suami mula ‘meratah’ Amira selepas mereka berpindah ke Johor Bharu.
Ketika itu bekas suami tidak mempunyai pekerjaan dan hanya mengharap kepada pendapatan isteri sebagai pembantu jururawat di salah sebuah klinik swasta.

Sulaiman menjadikan anak gadisnya sebagai santapan nafsunya berulang kali setiap kali isteri bertugas sebelah malam.

Kata Emma, sebaik Amira menceritakan perkara sebenar perasaannya bercampur baur.

Marah, sedih mengenangkan nasib anak perempuannya.

Dia cuba mengumpul kekuatan untuk melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

“Sekiranya saya berdiam diri, tiada jaminan perbuatan keji Sulaiman akan terhenti, malah ia akan sentiasa menghantui kehidupan Amira,” ujarnya.

Emma juga mendapat tahu bekas suami mula mengalih perhatian kepada anak perempuan mereka, apabila isteri baru enggan melayan kehendak batinnya.

Bekas suami turut mengugut Amira tidak akan membenarkannya bertemu Emma sekiranya perbuatan terkutuknya itu diceritakan kepada orang lain.

Hasil pemeriksaan perubatan mendapati terdapat banyak kesan koyakan dan melecet pada bahagian alat sulit anak perempuannya.

Selama seminggu Amira dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Tulis Emma lagi, dia tidak berniat untuk membuka aib keluarga sendiri.

Namun katanya dia menceritakan semula kisahnya itu sebagai pengajaran kepada orang lain.

“Selepas bercerai, ibu belum tentu dapat hak penjagaan anak. Tetapi seboleh-bolehnya usahakanlah untuk kita menjaga mereka terutama anak perempuan.

“Bukan menidakkan tanggungjawab dan hak sebagai seorang bapa, namun ia untuk mengelakkan perkara-perkara seumpamanya ini berlaku,” tulisnya lagi.

Menurut Emma, peristiwa itu sudah lebih sedekad berlalu dan bekas suami masih menjalani hukuman atas kesalahan yang dilakukan.

Amira pula bakal menamatkan pengajiannya di peringkat ijazah di salah sebuah universiti tempatan utara tanahair.

“Saya sudah memaafkan bekas suami atas apa yang dilakukan terhadap Amira. Namun untuk melupakan tidak mungkin,” tulisnya.

Anak-anak merupakan ujian dan mendidik mereka merupakan pengabadian kepada Allah. Sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu sedangkan kamu mengetahui. Dan ketahuilah bahawa harta-benda kami dan anak-anak kamu adalah ujian (bagi kamu), dan sesungguhnya Allah di sisiNya pahala yang besar. (Al-Anfal 27-28)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya