Ibu bapa tak mampu lagi kawal penggunaan telefon anak? - Utusan Malaysia

Ibu bapa tak mampu lagi kawal penggunaan telefon anak?

Masalah psikologi dilaporkan meningkat akibat penggunaan gajet keterlaluan. GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dalam usaha mengelakkan penularan Covid-19 kira-kira tiga tahun lalu, tidak dinafikan penggunaan telefon dan komputer riba banyak membantu kanak-kanak khususnya yang berada di peringkat sekolah rendah dan menengah rendah mengikut pembelajaran secara maya.

Bagaimanapun, dalam suasana bebas bersemuka seperti hari ini, saya kira gajet dan peranti berkenaan tidak lagi menjadi keutamaan.

Bukan sebab tidak relevan dengan kehidupan kanak-kanak, tetapi memikirkan betapa ramai kanak-kanak, khususnya generasi PKP yang seolah-olah tidak lagi boleh berenggang dengan telefon dan gajet.

Kalau fungsinya digunakan ke arah kebaikan dan dikawal tempoh penggunaanya, tidaklah menjadi persoalan yang besar. Lebih-lebih lagi kalau anak itu berdisiplin.

Yang menjadi kerisauan ramai ialah bila peralatan itu dijadikan ‘cikgu’ dan sumber rujukan utama kanak-kanak dalam mendapatkan maklumat.

Maklumlah nak rujuk semua pakai klik sahaja. Peralatan skrin ini memberikan impak besar ke atas kesihatan mata dan mental kanak-kanak, antaranya ketagihan terlampau sekiranya tiada pemantauan dilakukan oleh orang dewasa.

Masalah psikologi dalam kalangan kanak-kanak juga dilaporkan meningkat kesan penggunaan gajet.

Kalau sudah begitu jadinya, memang payahlah untuk kita memisahkannya.

Penyudahnya, ibu bapa hanya ‘angkat tangan’ dan hanya akur menerima gajet sebagai peneman setia anak mereka.

Dulu saya tengok ada banyak perkongsian mengenai tips dan kawalan pengggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak.

Contohnya, memperuntukkan sejam atau dua jam sehari, atau sekali sahaja dalam seminggu boleh menghadap telefon atau gajet.

Tetapi dalam situasi normal seperti dan ibu bapa kembali bekerja, syarat entah lari ke mana.

Sudah sampai masanya kita sebagai ibu bapa refresh cara penggunaan gajet yang sihat dalam kalangan anak-anak supaya mereka dapat membesar dalam persekitaran yang sihat, iaitu beraktiviti dan bermain di luar rumah.

Manfaatnya bukan sahaja dari segi didikan disiplin kendiri anak, tetapi turut bagi mengelak ketagihan melampau yang boleh menjejaskan banyak perkara dalam diri si cilik.

Hari ini bukanlah luar biasa bila kita nak panggil anak makan bersama dalam satu rumah, kena tinggalkan pesanan atau pesanan suara di Whatsapps (WA) group keluarga “Mari turun makan”.

Bunyinya masih ‘manis’ sebab ada momen makan-makan bersama keluarga.

Tak risau ke kalau suatu masa nanti ibu bapa perlu WA anak-anak begini: “Mak nak mandi, siapa boleh tolong mak ke bilik air?”. Sebabnya semuanya ralit menghadap skrin.

Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya